Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDr. Ghazali Lateh meneliti fenomena kepengaruhan segelintir para penulis tempatan terhadap karya dan tokoh penulis luar.
Kepengaruhan tokoh adalah apabila penulis atau sarjana sastera kita terlalu taasub dengan tokoh-tokoh luar negara, sama ada dari negara serumpun mahupun negara-negara luar.
Sastera kita merupakan satu bentuk warisan yang telah kita warisi sejak zaman-berzaman. Sastera Melayu mempunyai jati diri dan keunggulan tersendiri yang telah diterima oleh semua pihak. Sebagai pencinta sastera Melayu, kita perlu berbangga dengan warisan ini dan tidak menganggap bahawa sastera kita sebagai serpihan daripada mana-mana sastera dari luar.
Dalam hal ini, ada satu fenomena yang wajar kita renung kembali. Fenomena tersebut ialah keterujaan terhadap sastera luar. Keterujaan ini tidak kira sama ada terhadap sastera luar yang serumpun mahupun bukan serumpun. Secara tidak sedar, kadang-kadang golongan penulis kita yang sangat memandang tinggi akan sastera luar sehingga mempengaruhi karya mereka secara mikro dan pembawaan sastera mereka secara makro. Barangkali kita menganggap fenomena kepengaruhan sebagai fenomena biasa, namun seandainya dibiarkan berterusan maka pengaruh luar ini akan mendominasi sekali gus menghilangkan jati diri sastera Melayu sendiri.
Sesungguhnya, fenomena kepengaruhan ini wujud dalam pelbagai aspek. Secara mikronya, penggunaan bahasa, pemikiran sastera, diksi, dan pelbagai unsur dalam dilihat menyerlahkan pengaruh luar. Perkara ini turut melibatkan rujukan dalam penulisan ilmiah sastera yang rata-rata mengambil tamsil dan tokoh-tokoh luar untuk menyokong hujah. Untuk melihat perkara ini dengan lebih jelas, aspek kepengaruhan ini boleh dibahagikan dalam beberapa kategori.
Kepengaruhan tokoh adalah apabila penulis atau sarjana sastera kita terlalu taasub dengan tokoh-tokoh luar negara, sama ada dari negara serumpun mahupun negara-negara luar. Makalah-makalah yang ditulis dan dibentangkan, rata-rata mengambil tokoh luar sebagai rujukan. Lebih buruk lagi apabila seseorang tokoh luar itu mendominasi kebanyakan makalah yang ditulis oleh sarjana tempatan. Sarjana sastera kita dilihat sangat taasub dan terlalu mengagung-agungkan tokoh-tokoh luar sehingga mengabaikan tokoh-tokoh sastera kita sendiri.
Apabila mereka memetik nama-nama luar untuk menyokong hujah, mereka berasa sangat bangga dan sangat berpengetahuan luas. Contohnya, apabila mereka memperkatakan sesuatu teori sastera, nescaya tokoh-tokoh luar yang diambil sebagai rujukan, sedangkan dunia sastera kita tidak kurang dengan tokoh-tokoh sastera yang mempelopori teori-teori tertentu, menghasilkan karya-karya prosa yang besar, dan menggarap puisi-puisi yang luar biasa. Malahan, ada sarjana kita yang menulis buku akademik secara khusus untuk mengagung-agungkan tokoh mancanegara. Natijahnya, tokoh-tokoh sastera tempatan, teori-teori sastera tempatan, karya-karya besar tempatan, dan puisi-puisi hebat penyair tempatan kurang menyerlah kerana tidak diperkatakan dengan maksimal.
Kepengaruhan karya pula adalah apabila seseorang penulis menulis karya yang mengutamakan unsur luar negara, sama ada dari segi isinya, gaya bahasanya dan juga diksi. Jika kita membaca tulisan penulis-penulis tertentu, adakalanya kita berasa seperti membaca karya penulis luar. Selain menerapkan isi cerita yang ada pengaruh luar, gaya bahasa dan diksi juga sangat jelas menunjukkan ketaasuban mereka terhadap sastera luar. Contohnya penggunaan diksi dalam puisi dan prosa yang bernuansakan bahasa kesusasteraan luar. Walaupun amalan ini kelihatan remeh, namun situasi kepengaruhan terhadap karya luar jelas dapat ditanggapi dengan jelas. Sekali pandang, perkara ini hanya sebagai pemilihan diksi penulis, namun secara kritis, pembaca akan nampak aspek kepengaruhan wujud sama ada disedari oleh penulis atau tidak. Malahan, ada karya tempatan yang dihasilkan sepenuhnya dalam gaya bahasa dan diksi yang tidak dianggap normal dalam bahasa Melayu. Amalan ini sebenarnya merendahkan martabat bahasa Melayu itu sendiri kerana sastera Melayu adalah berlandaskan bahasa Melayu, bukan bahasa luar negara meskipun bahasa negara serumpun.
Satu lagi aspek yang dilihat remeh ialah penampilan para sasterawan kita yang sangat terpengaruh dengan situasi sastera luar secara makro.
Dalam dunia deklamasi pula, dapat kita lihat dengan jelas aspek kepengaruhan ini telah lama wujud. Rata-rata, deklamator kita sama ada untuk pertandingan atau acara santai, banyak menggunakan langgam bahasa seberang. Deklamator mapan dan deklamator pemula tidak terlepas daripada kepengaruhan ini, seolah-olah itulah bentuk deklamasi yang piawai dan diterima pakai. Malahan, penjurian juga melihat pengaruh ini sebagai satu kelebihan pula, tanpa menyedari bahawa langgam bahasa sendiri bakal hilang pengaruhnya.
Satu lagi aspek yang dilihat remeh ialah penampilan para sasterawan kita yang sangat terpengaruh dengan situasi sastera luar secara makro. Barangkali ramai yang tidak setuju dengan pandangan bahawa sastera tidak harus dilihat sebagai entiti yang lekeh. Sastera perlu ditampilkan dengan pembawaan yang kemas, menarik, berketerampilan, dan sejajar dengan dunia semasa. Sastera tidak harus ditampilkan dengan ciri-ciri kerendahan diri yang melampau. Cara berpakaian sasterawan kita perlu menampilkan sebuah bangsa yang madani, berdaya maju dan dipandang tinggi oleh kelompok di luar sastera. Kepengaruhan sastera luar yang kurang kemas harus dihindarkan agar sastera dipandang tinggi selaras dengan tamadun bangsa yang tinggi. Tidak salah jika seseorang sasterawan membina imej tersendiri, namun sekiranya imej yang dibina itu merupakan pengaruh kurang sesuai dengan budaya kita, maka tidak sesuai untuk diterima oleh masyarakat sastera yang semakin kritis.
Oleh itu, seharusnya kita menyedari bahawa kita tidak lagi kelompok serpihan sastera daripada mana-mana budaya walaupun kita pernah melalui penjajahan fizikal dan minda. Sudah tiba masanya kita melebihkan unsur tempatan dalam semua aspek kesusasteraan kita. Untuk memperkatakan tokoh, kita mempunyai barisan Sasterawan Negara yang luar biasa sumbangannya. Untuk memperkatakan kritikan, kita mempunyai ratusan penteori dan teori yang telah diabsahkan kehebatan dan keberkesanannya. Untuk penggunaan langgam bahasa, bahasa Melayu bukanlah calang-calang kehebatannya dan telah mengungkapkan sastera sejak ratusan tahun yang lalu. Jika kita terus berpaksikan pengaruh luar, bersedialah untuk sastera kita dipandang rendah oleh orang luar, sama ada dari sastera serumpun mahupun di luar Nusantara? Perkara ini perlu diperkatakan walaupun bakal mengundang reaksi yang pelbagai, kerana jika kita membiarkan sastera kita hanyut tanpa kemudi, kita akan kehilangan hala tuju pemartabatan bahasa dan sastera sendiri.
Kesimpulannya, sastera Melayu perlu berdiri sebagai satu entiti yang hebat dan dipandang tinggi. Sastera Melayu perlu diangkat secara menyeluruh tanpa terlalu bergantung pada pengaruh luar. Penggiat sastera perlu menggemblengkan usaha dan pemikiran untuk mengangkat warisan pusaka ini serta menyucikan sastera tempatan daripada terlalu terlibat dengan unsur-unsur yang datang dari luar. Jika kita terlalu taasub dengan sastera luar, warisan sastera kita akan kehilangan jati diri dan bakal ditenggelami oleh pengaruh negara berkenaan. Kita harus sentiasa menerapkan falsafah bahawa sastera kita kebanggaan kita.
Kredit Gambar: Firus Fansuri/Midjourney
_________________________
Ghazali Lateh (Dr.) dilahirkan di Kampung Bukit Nibong, Bukit Jenun, Kedah. Beliau mula menulis sejak tahun 1993 dan pernah memenangi pertandingan penulisan cerpen, puisi dan novel. Novel beliau, Dari Lembah ke Puncak dijadikan teks Kesusasteraan Melayu Elektif 2010–2015, selain beberapa cerpennya terpilih sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Beliau kini tinggal di Banting, Selangor.