Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNor Muhamad Mat Zain yang turut serta dalam program Sembang Santai Sasterawan Negara (SN) memberikan selayang pandang apa yang boleh dicungkil daripada kepengarangan SN, selain menyelit ringkas untaian kata-kata SN dalam program tersebut.
“Untuk kita kenal Sasterawan Negara, kenalilah karyanya,” jelas Encik Saifullizan Yahaya (Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP) selaku moderator dalam Sembang Santai Sasterawan Negara (SN) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, sempena Pesta Buku Kuala Lumpur 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 1 Jun lepas.
Setiap Sasterawan Negara mempunyai perbezaan dari aspek kepengarangan dan kecenderungan menghasilkan genre tertentu. Sesetengah individu mengelaskan Sasterawan Negara berpandukan kepada pemerhatian mereka melalui jumlah karya berdasarkan genre. Misal Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, Zurinah Hassan, Rahman Shaari dikatakan cenderung terhadap genre puisi, manakala A. Samad Said dikatakan seorang yang prolifik dalam bidang prosa terutamanya novel.
Sekalipun begitu, pada pandangan penulis, pengkategorian seumpama itu adalah tidak adil dan saksama kerana masing-masing Sasterawan Negara mempunyai karya dan hasil tulisan dalam berbagai-bagai bentuk dan genre – cerpen, novel, drama, esei kritikan selain mencipta karya puisi.
Sememangnya, rata-rata Sasterawan Negara telah menghasilkan puisi, dan bagi penulis, genre ini antara karya yang paling sukar untuk dihasilkan kerana menuntut penciptanya berfikir dan membuat taakulan berulang kali meliputi bahasa yang indah, susunan kata yang tepat, perlambangan dan simbol yang memberikan tafsiran yang pelbagai serta meninggalkan dua, tiga atau lebih lapisan makna.
Bagi pembaca dan peneliti karya-karya Sasterawan Negara, seberapa banyak karya yang dihasilkan bukan semuanya meninggalkan kesan kepada jiwa dan akal. Biasanya satu atau dua buah karya yang meninggalkan impak dalam benak fikir pembaca. Karya SN A. Samad Said seperti Salina, Hujan Pagi dan Sungai Mengalir Lesu contohnya membawa kesan besar apabila karya itu dibaca, diteliti dan dianalisis.
Bukan kerana kesedapan ceritanya atau olahan bahasa tetapi kepada mesej besar yang mahu ditonjolkan. Begitu juga dengan karya SN Muhammad Haji Salleh seperti Perjalanan Si Tenggang dan Salju Shibuya; Karya SN Zurinah Hassan seperti Pujangga Tidak Bernama, Keberangkatan, dan Salasilah, Karya SN Siti Zainon Ismail seperti Pulau Renek Ungu dan Alam Puisi; serta karya SN Rahman Shaari seperti Mufarakah dan Anjung Persinggahan.
Dalam program tersebut, ketika ditanya oleh salah seorang audiens tentang kepengarangan beliau, SN Baha Zain menyatakan secara ringkas dan menarik tentang hal kepengarangan tersebut. Ujarnya ringkas,
Saya tidak menganalisa diri saya. Jadi adakah jawapan saya tepat atau tidak, saya tidak pasti. Saya cuma boleh nyatakan begini. Kalau saya tulis puisi, saya mesti menyuarakan perasaan, fikiran dan pandangan. Buku kumpulan puisi saya, iaitu Perempuan dan Bayang-bayang saya tulis ketika masih muda. Ada proses perkembangannya selepas itu. Proses perkembangan tersebut bukan saya seorang sahaja yang alami, tetapi barangkali majoriti penulis lain juga. Pada mulanya mungkin romantik dan pada satu tahap kita sedar bahawa kita perlu menyumbang kepada bangsa.
SN Baha Zain pula dengan kumpulan cerpennya, Berguru pada Binatang membawa satira dan kritikan halus sebagai mauduk utama. Uniknya, unsur metafora dan sifat haiwan itu yang menjadi perlambangan dan kiasan kepada sifat manusia.
Cerpennya berjudul “Seekor Katak: Dari Tempurung ke Tong Sampah” mengisahkan seekor katak yang sering melompat ke tong sampah yang dianggap luas, baik, tenang, dan selesa. Namun, kawasan itu sangat berbahaya sehingga meragut nyawa sang katak. Pada fikiran penulis, kritikan ini ditujukan atau dikhususkan kepada politikus yang berjuang demi kepentingan dan keselesaan diri sendiri, dan membidas perbuatan orang-orang politik yang gemar beralih sokongan, dan melarikan diri dalam perjuangan asalnya.
Akhirnya, perjuangan itu tidak dapat bertahan lama kerana sikap orang politik yang semberono menyertai pihak yang disokong. Aspek intrinsik haiwan sebagai sindiran terhadap sifat sebenar manusia inilah yang membawa kepada tahap yang luar biasa selaku pemikir yang merentas zaman. Begitu juga puisi beliau, “Topeng-topeng” yang begitu dikenali sehingga mendapat perhatian daripada khalayak sastera dan bukan sastera.
Selain keenam-enam Sasterawan Negara yang diperkatakan, Allahyarham SN Shahnon Ahmad juga merupakan antara pengarang yang mempunyai identiti tersendiri, dan dapat dikatakan sebagai pengarang novel politik tanah air tersohor. Karya beliau cukup “keras”, tegas dan berani apabila menyentuh tentang isu sosiopolitik, kebobrokan dan kerakusan pemimpin, terutamanya dalam karya Sutan Baginda, Tunggul-tunggul Gerigis, Seketul Hati Seorang Pemimpin, dan Patriarch.
Antara keenam-enam Sasterawan Negara tersebut, SN Muhammad Haji Salleh dan SN Rahman Shaari merupakan pengasas kepada teori sastera tempatan. Teori yang diperkenalkan ini mendapat sambutan yang baik dalam kalangan sarjana sehingga digunakan teori tersebut dalam beberapa kajian ilmiah, malah dibahaskan oleh para sarjana ke dalam bentuk wacana ilmu.
SN Muhammad Haji Salleh memperkenalkan Puitika Melayu sebagai teori yang menerapkan prinsip dasar yang menjadi landasan kepada pemikiran dan penciptaan sastera Melayu termasuklah menyentuh tentang teks, genre, pengarang, bahasa, estetika (keindahan) dan khalayak.
Menariknya dalam sembang santai tersebut, beliau memberi untaian kata yang sangat bermakna apabila ditanyakan secara ringkas apakah itu sastera.
Apakah itu sastera? Ramai orang mencari apakah makna sastera itu, tetapi pada dasarnya sastera ialah kata-kata yang cuba mengungkapkan pengalaman sesuatu bangsa dalam berbagai hal yang cuba disusun cantik, berirama dan bermuzik. Sastera juga ialah pengalaman dan fikiran yang sedap didengar, serta ada rentak dan permainan bunyinya. Juga sastera ialah pandangan yang penting serta pemerhatian yang akan buat kita terus berfikir dan juga membuat kita mahu merenung terus berkaitan dengan kehidupan ini.
SN Rahman Shaari pula memperkenalkan Anjakan Makna, iaitu teori yang memperkatakan tentang perubahan makna dan maksud perkataan mengikut tafsiran dan situasi atau keadaan yang bersesuaian.
Oleh itu, setiap penulis, pengarang dan sasterawan pasti meninggalkan “tanda”, dan tanda itu merupakan karya-karya yang hidup dalam ingatan pembaca serta menimbulkan konflik dan polemik dalam kalangan pengkritik tanah air.
Selain itu, dalam sembang santai itu juga SN Siti Zainon bercerita secara ringkas tentang pengalaman hidupnya yang berani merantau keluar dari tanah air. Beliau menerangkan bahawa keberanian merantau tersebut mempunyai kaitannya dengan kehidupan masa kecilnya yang sering dikelilingi penulis.
Sejak kecil saya banyak berkawan dengan orang tua. Apabila masuk sekolah menengah, saya banyak berjumpa dengan penulis keturunan Indonesia. Ayah saya suka membawa sasterawan ke rumah. Bung Dollah Hussain (SN Abdullah Hussain) dibawa ke rumah kami.
_________________________
Nor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan fauna. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo. Beliau pernah menjadi editor di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.