1 Jun 2023, 10:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Penyelidik daripada Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS) DBP merakamkan momen kenangan bersama-sama dengan masyarakat Orang Asli Bateq di Kampung Bukit Gam@Bengoi .

Jerantut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS) sekali lagi bersinergi dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) Daerah Jerantut, Pahang dalam meneruskan pendokumentasian dan rakaman cerita rakyat Orang Asli Bateq.

Kerja-kerja pendokumentasian dan rakaman cerita tersebut dilakukan pada 24 hingga 25 Mei yang lalu bertumpu di dua buah perkampungan Orang Asli, iaitu Kampung Sungai Keniam dan Kampung Bukit Gam, atau lebih dikenali dengan nama Kampung Bengoi.

Cerita rakyat merupakan suatu bentuk naratif yang dimiliki oleh sekumpulan masyarakat tertentu. Cerita yang bersifat kolektif ini perlu dijaga dan dipelihara serta disebarluaskan bukan sahaja kepada masyarakat penuturnya, malahan juga kepada masyarakat di luar.

Penyelidik BPS, Puan Fathenwan Wan Mohd Nor (kiri) dan Puan Nor Adilah Abu Bakar  (tiga dari kiri) sedang tekun mendengar cerita rakyat yang dituturkan.

Menyedari peri pentingnya khazanah warisan sastera lisan Orang Asli ini, maka kumpulan penyelidik dari BPS terus proaktif dalam mengangkat dan memartabatkan sastera lisan khususnya dalam kalangan Orang Asli suku kaum Bateq.

Para penyelidik BPS terdiri daripada Puan Fathenwan Wan Mohd Nor, Encik Nor Muhamad Mat Zain, Puan Nor Adilah Abu Bakar dan Encik Mohd Asri Zainudin. Manakala, pegawai JAKOA Daerah Jerantut berperanan sebagai informan dan pengiring sepanjang kerja pendokumentasian berkenaan dilaksanakan. Antara pegawai JAKOA yang terlibat ialah Encik Ku Mohd Haniff Ku Ahmad (Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah), Encik Mahayudin Mohamad, Puan Surianti Ismail, Encik Asyraf Naim Ying dan Encik Asrol Izam Omar@Bahri.

Pendokumentasian dan rakaman cerita rakyat siri ketiga ini lebih mengujakan kerana para penyelidik dihidangkan dengan cerita-cerita yang berkaitan dengan unsur fauna.

Penyelidik BPS, Encik Nor Muhamad Mat Zain (bertopi hitam) sedang berbual-bual dengan generasi muda masyarakat Orang Asli Bateq.

Malah, bilangan data atau cerita rakyat yang diperoleh juga melebihi sasaran yang ditetapkan. Bukan itu sahaja, penutur cerita juga kebanyakannya terdiri daripada golongan muda yang berumur dalam lingkungan 30-an hingga 40-an.

Ujar salah seorang penutur iaitu Ijan a/l Sahad, pemuda Orang Asli Bateq di Kampung Sungai Keniam,

Kami pernah mendengar cerita-cerita lama, terutamanya cerita-cerita binatang. Tetapi kami tidak mengetahui bahawa itulah cerita rakyat kami. Kami beranggapan cerita tersebut sekadar hiburan semata-mata. Ada juga cerita binatang yang lucu yang orang tua pernah cerita. Ada banyak pengajaran dalam cerita tu.

Cerita binatang yang kerap muncul dan dituturkan adalah seperti cerita Sang Kancil, Sang Gajah, pelanduk, rusa dan Sang Harimau. Antara yang menarik perhatian para penyelidik ialah cerita “Siput Sedut dan Sang Harimau”, “Ikan Kelah dan Beruang”,  dan “Kera dan Kura-kura Batu”.

Cerita-cerita yang berlatarbelakangkan watak binatang ini mempunyai nilai pengajaran yang tinggi. Malah, elemen jenaka yang diselitkan mampu menggeletek hati pendengar cerita-cerita tersebut.

Ujar Muhamad Pin, salah seorang pemuda di Kampung Bukit Gam@Bengoi,

Walaupun kami ini ‘orang baru’, iaitu penduduk yang lebih muda, tetapi kami masih ingat dengan jelas cerita-cerita yang dituturkan oleh ayah dan nenek. Cuma kami hanya sekadar mendengar sahaja. Tidak terfikir pula cerita itu sangat penting.

Cerita-cerita yang diperoleh daripada masyarakat tersebut dilihat berkaitan dengan kehidupan binatang di sekeliling mereka.

Hal itu bukanlah perkara luar biasa kerana Orang Asli sendiri dilihat akrab dan mesra dengan alam semula jadi. Oleh itu, pengamatan mereka terhadap unsur flora dan fauna lebih tajam dan seterusnya diserapkan dalam kehidupan seharian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.