19 Mei 2023, 16:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Miri – Program Wacana Citra Bandar Raya Miri menonjolkan kearifan tempatan sebagai aset yang mampu mengangkat kesejahteraan dan warisan bandar raya Miri melalui karya sastera. Program ini telah diadakan pada 16 Mei lepas di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, Miri.

Menurut salah seorang ahli panel bagi wacana tersebut iaitu YBhg. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai (Pengarah DBP Cawangan Sarawak), Hikayat Panglima Nikosa (1876) yang merupakan karya Ahmad Shawal Abdul Hamid dapat membuka mata masyarakat tempatan untuk lebih berfikiran global.

Dari kiri: YBhg. Datu Dr. Rashidah Bolhassan, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak; Encik Razak Haji Rambili, Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak, Miri; Encik Nasir Hamid selaku pengerusi dan Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak.

Manakala, YBhg. Datu Dr. Rashidah Bolhassan (Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak) pula menambah bahawa karya luar seperti buku Art of Africa (1988) juga boleh dijadikan contoh oleh penulis untuk menonjolkan keunikan dan kepelbagaian tempatan dalam penulisan. Beliau turut menyatakan hasratnya untuk menjenamakan bandar raya Miri sebagai Kota Sastera atau “Literary City”.

Sesi wacana lain pula mengupas isu ‘Sastera Pelancongan’ dalam buku Antologi Sajak Hari Bandar Raya Miri 2023 Miri Kota Inspirasi.

Dari kiri, Encik Poul Nanggang, Encik Mohamad Faizal Jamil (pengerusi) dan Encik Ja’afar Haji Hamdan mengupas isu dalam buku berjudul Antologi Sajak Hari Bandar Raya Miri 2023 Miri Kota Inspirasi.

Dalam sesi itu, menurut Encik Poul Nanggang, seseorang penyajak tidak akan lari daripada memiliki variasi perasaan. Perasaan yang lazimnya diekspresikan dalam sajak merupakan perasaan gundah-gulana atau tidak keruan yang lalu dizahirkan dalam penulisan.

Encik Ja’afar Haji Hamdan turut menambah bahawa sajak dapat dibezakan melalui gaya penulisannya, sama ada penulis baharu ataupun penulis mapan. Gaya penulisan penulis mapan lebih terarah dan matang kerana telah banyak liku dan cabaran yang dilalui berbanding penulis baharu yang lebih moden pendekatannya.

Kedua-dua ahli panel tersebut sependapat bahawa ekspresi perasaan dan citra dalam karya tempatan mampu mengangkat Miri sebagai Kota Sastera dan seterusnya berperanan dalam menjadikan karya sastera sebagai produk pelancongan dan memacu ekonomi tempatan.

Sebelumnya, Encik Mohd. Awis Haji Abu Bakar telah berkongsi dengan para hadirin tentang perkhidmatan “Penghantaran Buku Percuma” yang disediakan oleh Pustaka Negeri Sarawak, Miri.

Perkhidmatan ini membolehkan pinjaman buku secara dalam talian melalui aplikasi Angka.sa2 dan kemudiannya buku akan dihantar ke rumah. Aplikasi ini boleh dimuat turun dalam Google Play Store.

Perkhidmatan yang lebih dikenali sebagai Bookbear ini merupakan inisiatif Pustaka Negeri Sarawak untuk memastikan pengguna mendapat akses kepada koleksi buku yang disediakan.

Para panel dan pengerusi wacana merakamkan foto kenangan bersama-sama tetamu jemputan yang lain. Encik Zainal Abidin Suhaili atau lebih dikenali sebagai Abizai yang juga merupakan Sasterawan Negeri Sarawak (tiga dari kiri) dan Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah (empat dari kanan).

Wacana ini dihadiri oleh Yang Berbahagia (YBhg.) Datu Dr. Rashidah Bolhassan, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Encik Razak Haji Rambili, Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak, Miri dan Encik Zainal Abidin Suhaili (Abizai), Sasterawan Negeri Sarawak.

Wacana yang dianjurkan tersebut merupakan kerjasama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan Pustaka Negeri Sarawak, Miri, Majlis Bandaraya Miri (MBM), Pejabat Residen Bahagian Miri, Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak, Miri dan Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA).

Wacana ini merupakan salah satu program yang diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-18 Hari Bandar Raya Miri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.