Oleh Tan Bok Hooi
17 Mac 2023, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tan Bok Hooi meneliti bagaimana sistem penterjemahan yang mantap dan keyakinan diri yang tinggi dapat membawa jati diri kita ke persada dunia.

Mungkinkah ada karya tempatan kita pada satu hari nanti boleh dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Nobel sekali gus meletakkan karya bahasa Malaysia di persada dunia?

Pramoedya Ananta Toer pernah dicalonkan untuk Hadiah Nobel Kesusasteraan beberapa kali sepanjang kariernya. Anak Indonesia itu dengan kepetahan penanya telah menghasilkan karya yang menyinari dunia sastera, seperti Gadis Pantai, Perburuan dan Keluarga Gerilya. Atas kejayaan hasil sasteranya, bahasa Indonesia diperkenalkan kepada persada dunia dengan pengurniaan hadiah antarabangsa, seperti Chancellor’s Distinguished Honor Award dari Universiti California, Amerika Syarikat pada tahun 1999, dan Fukuoka Asian Culture Prize dari Jepun pada tahun 2000.

Anak Malaysia Dr. Wu Lien-Teh, yang berasal dari Pulau Pinang juga mengharumkan negara apabila dicalonkan untuk Hadiah Nobel Perubatan pada tahun 1935. Penuntut dari Sekolah Penang Free itu merupakan insan yang diakui sebagai wira yang telah berjaya mengekang wabak yang mencengkam dunia, Wabak Manchuria pada tahun 1910 agar tidak merebak ke seluruh dunia. Beliau juga insan yang mencipta pelitup muka yang lebih berkesan, yang dipanggil sebagai “Pelitup Muka Wu” untuk melindungi warga Manchuria, China, dengan sebaik mungkin agar tidak terdedah pada wabak tersebut.

Seorang lagi anak Malaysia, Tan Twan Eng, yang juga berasal dari Pulau Pinang, telah berjaya menaikkan imej negara di mata dunia apabila namanya disenaraikan dalam senarai pendek Hadiah Man Booker apabila novelnya The Garden of Evening Mists menemui dunia sastera pada tahun 2012. Karya besar itu juga merangkul Man Asian Literary Prize dan Walter Scott Prize for Historical Fiction. Tan Twan Eng sekali gus merupakan anak Malaysia pertama yang mendapat pengiktirafan daripada ketiga-tiga hadiah berprestij tersebut.

Sastera bermutu tinggi bahasa Malaysia, khususnya daripada barisan Sasterawan Negara juga pernah diterjemahkan dalam beberapa bahasa asing. Hal ini termasuk karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, Ranjau Sepanjang Jalan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, No Harvest but a Thorn. Sasterawan Negara Prof. Muhammad Haji Salleh juga telah berjaya menterjemahkan Hikayat Hang Tuah dalam bahasa Inggeris untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan secara luas di seluruh dunia, sama ada untuk urusan perniagaan ataupun bahasa pengantara dalam dunia pendidikan. Maka, usaha penterjemahan yang membabitkan karya penting bahasa Malaysia kepada bahasa lain seperti bahasa Inggeris perlu dipergiatkan untuk menaikkan taraf bahasa Malaysia di mata dunia.

Negara China dan Jepun merupakan gergasi ekonomi dunia dan setiap urusan perniagaan yang dijalankan perlu didedahkan pada bahasa tempatan supaya segala urusan berjalan dengan lebih lancar. Tidak dapat dinafikan bahawa dalam urusan perniagaan antarabangsa, bahasa Inggeris merupakan bahasa utama tetapi bahasa tempatan memainkan peranan yang penting juga.

Dengan usaha memperkenalkan karya tempatan di pasaran antarabangsa, secara tidak langsung hal ini juga akan mendedahkan para pembaca antarabangsa kepada penulis bahasa Malaysia yang berkaliber. Hal ini dapat dilihat apabila dunia mengagumi karya terjemahan Pramoedya Ananta Toer yang turut dibumbui oleh budaya dan bahasa Indonesia. Begitu juga apabila multibudaya dan multibahasa Malaysia ditampilkan dalam karya berbahasa Inggeris Tan Twan Eng, Preeta Samarasan dan Tash Aw. Mungkin sebab itu juga, karya-karya baik berbahasa Inggeris oleh penulis tempatan ini sudah sepatutnya dialihkan kepada bahasa Malaysia, agar anak tempatan juga boleh menghayati karya masyhur mereka yang telah mendapat pengiktirafan dunia.

Kegiatan penterjemahan mungkin boleh dipercepat dengan membabitkan semua institusi tempatan yang khusus dalam aktiviti penterjemahan. Peruntukan geran juga boleh dipertimbang agar tenaga penterjemahan boleh digunakan dengan sepenuhnya untuk menghasilkan karya terjemahan yang bermutu tinggi. Mungkinkah ada karya tempatan kita pada satu hari nanti boleh dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Nobel sekali gus meletakkan karya bahasa Malaysia di persada dunia?

Aktiviti terjemahan boleh dipertingkatkan kepada tahap yang lebih baik dengan memastikan bahawa bilangan ahli penterjemah yang dididik dipertingkatkan. Sekiranya bahasa Malaysia digunakan dalam arena antarabangsa, maka perlu dipertimbang dalam pemilihan barisan penterjemah yang berkaliber yang sedia untuk membantu menterjemahkan perbualan yang membabitkan bahasa Malaysia dengan bahasa dari negara asing.

Negara China merupakan gergasi ekonomi dunia yang bersaing hebat di arena antarabangsa. Sering kali delegasi perniagaan mereka diiringi oleh barisan penterjemah yang berkaliber yang telah dididik dan dibekalkan dengan bimbingan yang mencukupi untuk berdepan dengan individu negara asing yang tidak fasih berbahasa Cina. Negara Malaysia merupakan negara majmuk dengan limpahan bakat yang mencecah langit. Selagi bakat yang sedia ada itu dibajai, diasah serta diberikan bimbingan dan sokongan yang padu, maka barisan penterjemah yang disegani boleh dilahirkan dalam masa sesingkat mungkin.

Orang Korea merupakan golongan manusia yang amat berani bertarung di dunia antarabangsa. Industri tempatan bukan lagi menjadi kayu ukuran kejayaan mereka.

Realiti dunia memujuk kita untuk akur bahawa kejayaan dalam arena perniagaan, terutamanya di negara asing membuatkan perlunya kita untuk mendalami serta menguasai bahasa tempatan negara itu. Gergasi ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat, China, India, serta Jepun dengan pasaran tempatan yang begitu besar menjadi daya tarikan utama kepada ahli perniagaan untuk mencuba nasib demi menembusi pasaran tersebut. Maka, usaha yang bersungguh untuk mendalami bahasa dan budaya tempatan perlu dicaknakan. Hal ini kerana, penguasaan bahasa dan budaya tempatan akan memberikan kelebihan terhadap ahli perniagaan atas sikap kesungguhan mereka mengenali hal-hal budaya yang dikira penting oleh masyarakat negara asing.

Orang Korea merupakan golongan manusia yang amat berani bertarung di dunia antarabangsa. Industri tempatan bukan lagi menjadi kayu ukuran kejayaan mereka. Mereka mempunyai cita-cita murni untuk menakluki pentas dunia dengan budaya popular: filem dan drama bersiri bertaraf antarabangsa dan irama muziknya unik. Dalam salutan budaya popular mereka, sastera dan budaya mereka turut terjalin dalam muzik dan filemnya. Dengan kekuatan ini, kebanggaan mereka terhadap sastera dan budaya mereka (lantas mahu mengongsi hal ini kepada dunia), mereka begitu berani untuk menempa sejarah di arena antarabangsa. Mereka berani mengharungi pelbagai rintangan untuk menjadi gergasi di pentas antarabangsa.

Kita harus berjiwa besar untuk mengambil langkah konkrit memartabatkan bahasa Malaysia di pentas dunia melalui penterjemahan. Usaha untuk merealisasikan impian ini tidak akan berlaku dalam sekelip mata. Kadang-kadang, langkah yang diambil itu mungkin tidak membuahkan hasil yang diingini. Sekiranya hal ini berlaku, perbincangan bernas patut dilaksanakan demi memahami punca halangan dan seterusnya mengambil langkah alternatif yang lebih mendadak untuk memastikan kejayaan dicapai. Dalam hal ini, segala yang dilakukan perlulah bersenjatakan semangat yang berkobar-kobar serta berani untuk berhadapan dengan pentas dunia yang senantiasa dipenuhi dengan duri-duri rintangan yang seluas lautan biru. Keyakinan terhadap diri sendiri serta keinginan untuk menjadi gergasi dunia eloklah disemai, dibajai dan dihidupsuburkan, agar jati diri yang murni ini dapat membawa kita kepada kejayaan yang diingini.

Kredit Foto: Terrence Low/Unsplash

_________________________

Tan Bok Hooi merupakan seorang ahli perniagaan dalam bidang peranti perubatan yang gemar berkarya. Novel Topeng dan Sahabat diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, manakala karya Inggerisnya, A Man and his Wallet & Other Stories serta Love Will Find You & Other Stories telah diangkat sebagai 50 Best Malaysian Titles for International Rights 2016/2017 dan 2018/2019.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.