4 Mac 2023, 02:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Malam Anugerah Pena Kinabalu yang bertujuan untuk mengangkat martabat bahasa dan sastera kebangsaan selain memberikan pengiktirafan kepada penulis dan penggiat sastera Sabah telah diadakan dengan penuh gemilang di Grand Ballroom, Hotel Shangri-La, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah pada malam tadi. Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, iaitu YBhg. Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, YBhg. Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, dan Setiausaha Persekutuan Sabah, YBhg. Dato’ Makhzan Mahyuddin.

Malam Anugerah Pena Kinabalu menggabungkan tiga pengiktirafan tertinggi yang hadiahnya dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sabah. Tiga pengiktirafan tersebut ialah Anugerah Sastera Negeri Sabah (ASNS), Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah, dan Hadiah Sastera Sabah.

Anugerah Sastera Negeri Sabah merupakan pengiktirafan tertinggi kepada sasterawan Sabah yang masih hidup yang memberikan sumbangan cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya yang bermutu tinggi, khususnya di negeri Sabah. Penerima ASNS yang pertama (1990) ialah YBhg. Datuk Ismail Abbas (Amil Jaya), manakala penerima kedua (2020) ialah Azmah Nordin.

Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah pula merupakan pengiktirafan yang diberikan berasaskan penghasilan atau penerbitan buku yang bermutu dan dapat menyumbang kepada pembangunan pemikiran masyarakat, manakala Hadiah Sastera Sabah pula merupakan pengiktirafan kepada karya terbaik yang diterbitkan dalam tempoh penilaian.

YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah kerana sentiasa memberikan sokongan kepada aktiviti dan kegiatan memartabatkan bahasa dan kesusasteraan. Jelasnya lagi,

Dalam konteks negeri Sabah, karya sastera dan penulisan buku umum yang menampilkan warna tempatan tentunya menjadi ciri istimewa dan keutamaan. Perkembangan kesusasteraan dan kebudayaan tidak seharusnya diketepikan dalam usaha membentuk bangsa dan negara yang maju, selaras dengan peredaran sains dan teknologi.

Penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Ketiga pada kali ini menjadi milik Haji Sukor Haji Usin atau lebih dikenali dengan nama pena, Hasyuda Abadi. YBrs. Dr. Mohd Hanafi Ibrahim selaku panel penilai bagi anugerah tersebut dalam ucapannya menyatakan bahawa para panel penilai telah bersetuju sebulat suara mengangkat Hasyuda Abadi sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Ketiga. Ujarnya,

Penilaian tersebut berdasarkan kepada pencapaian karya dan kepengarangan beliau, yang dinilai dari segi kesan pemikirannya kepada masyarakat, pengiktirafan karya dan ketokohan serta kegiatan pengarang, khususnya dalam gerakan kesusasteraan dan kebahasaan, bukan sahaja di negeri Sabah bahkan pada peringkat kebangsaan.

YBrs. Dr. Mohd Hanafi Ibrahim semasa menyampaikan ucapan penilaian Anugerah ASNS.

Sebagai penerima ASNS Ketiga, Hasyuda Abadi membawa pulang watikah penghargaan, wang bernilai RM30 000 ringgit, dan diberikan kemudahan penerbitan karya serta penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing.

Beliau dalam ucapan penerimaan bagi anugerah tersebut merakamkan penghargaan kepada para penilai dan rakan seperjuangan beliau. Selanjutnya, beliau juga turut menyatakan penghargaan kepada DBP Cawangan Sabah kerana sentiasa menjadi agensi penting dalam memayungi keberhasilan sastera dan bahasa penulis Sabah. Ujarnya lagi ketika mengulas tentang genre penulisannya, iaitu puisi:

Setelah melalui tempoh lebih 40 tahun mencenderungi dunia sastera, saya mempunyai peranan yang bukan kecil agar sastera bukan semata-mata melahirkan puisi yang bagus. Puisi harus membuka jalan-jalan kecil dan rumit kepada ruang yang dituju dengan aman dan membahagiakan.

Hasyuda Abadi semasa menyampaikan ucapan penerimaan Anugerah Sastera Negeri Sabah Ketiga.

Selain itu, penerima anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah 2020/2021 turut diumumkan. Bagi kategori terbitan DBP, pemenangnya ialah Rasid Mail dengan bukunya yang bertajuk Pelaksanaan Perakaunan Asas Akruan dalam Sektor Awam di Malaysia: Isu Kewajaran dan Kesesuaian. Bagi kategori terbitan luar pula menjadi milik Joseph Tangah dan Arthur Y.C. Chung dengan bukunya yang bertajuk Monyet Bangkatan di Hutan Bakau Sabah. Para pemenang tersebut menerima watikah penghargaan, buku terbitan DBP dan wang bernilai RM5000 ringgit.

YBhg. Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin bergambar kenang-kenangan dengan pengurusan DBP dan tetamu kehormat lain.

Bagi kategori Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 pula, pemenang masing-masing membawa pulang sijil penghargaan dan wang bernilai RM2000 ringgit. Pemenang bagi buku Kumpulan Puisi ialah Indra Jokina dengan karyanya Dalam Mimpi yang Bermimpi. Manakala Kumpulan Cerpen Perempuan Aneh yang Meletupkan Diri di Dalam Gelas nukilan Jasni Matlani telah memenangi kategori bagi kumpulan cerpen. Bagi kategori Drama Pentas, penerimanya ialah Dk Mastura Pg Ismail dengan karyanya “Dengarlah Cerita” dan untuk kategori Esei Kritikan Separa Ilmiah, esei “Kesepaduan Stail dengan Perutusan Agama dalam kumpulan Puisi Nyanyian Kuda Sembrani” nukilan Norawi Haji Kata dipilih sebagai pemenang.

Tiga karya terbitan DBP juga telah dipilih sebagai pemenang. Pertama, dalam kategori Novel Dewasa, iaitu buku Cinta Ichiro di Lembah Padas nukilan Saindah Kanalam. Seterusnya, buku Rentak Tari Fatiha nukilan Mohd. Firdaus Abd Salam bagi kategori Novel Kanak-Kanak, dan untuk kategori Novel Remaja pemenangnya ialah Zainab Nawab Khan dengan karyanya Gema di Lembah AyanganYang berikut merupakan pemenang bagi kategori eceran:

Kategori Puisi Eceran (pemenang menerima sijil penghargaan dan wang bernilai RM750 ringgit)

  1. “Kota Kami Kekasih Terluka; Sepetang di Gat Prangin” oleh Rita Robert Rawantas
  2. “Lidah yang Dirindu Ular” oleh Norawi Haji Kata
  3. “Melihat Mural di Tembok Jati Diri” oleh Soibil Madun
  4. “Tetamu” oleh Dayana Dian
  5. “Seperti Engkau” oleh Mabulmaddin Shaiddin
  6. “Pusara adalah Ingatan” oleh Siti Alimah Kamarudin
  7. “Lorong Umar Lorong ke Muthmainnah” oleh Siba Nita As
  8. “Pusaka” oleh Hasyuda Abadi
  9. “Perjalanan Merentas Waktu” oleh Jed Stellarose
  10. “Perlawanan” oleh Ruhaini Matdarin

Kategori Cerpen Eceran (pemenang menerima sijil penghargaan dan wang bernilai RM1000 ringgit)

  1. “Cerita Burung yang Muncul di Jendela Si Pemikat Burung dan Pemancing Aneh” oleh Jasni Matlani
  2. “Cik Manis Lawan Daim” oleh Ruhaini Matdarin
  3. “Senja Paitan” oleh Jamail Masador
  4. “Bagaimana Aku Dapat Hidup Bersama Mayatmu” oleh Rita Robert Rawantas
  5. “Aini Tag An, Kekasih 14 Hari” oleh Mohd Azrone Sarabatin
  6. “Hujung Tepoh” oleh Yatim Ahmad
  7. “Matanya Berkaca-kaca” oleh Welin Ebal
  8. “Kedai Buku di Negara Antah Ber-Entah” oleh Nur Fatina Muhammad
  9. “Ladang Anggur dan Sekeping Kertas Putih” oleh Juri Durabi
  10. “Jejak-jejak yang Tertinggal” oleh Kathirina Tati
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.