2 Mac 2023, 11:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) Malaysia telah menganjurkan Bengkel Penyelidikan Perkembangan Persatuan Penulis Sastera di Malaysia pada 28 Februari lepas di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP.

Sebanyak 16 buah kertas kerja telah dibentangkan oleh para pembentang yang mewakili persatuan penulis seluruh Semenanjung Malaysia yang bernaung di bawah GAPENA. Kertas kerja utama yang bertajuk “GAPENA: Penyatu Gerakan Persatuan Penulis di Malaysia” telah dibentangkan oleh Tuan Haji Hamzah Hamdani, Naib Presiden GAPENA. Antara pembentang lain ialah:

  • Tan Sri Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar (Lembaga Bahasa Melayu Melaka)
  • Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hj. Mohd Mansor Abdullah (Dewan Persuratan Melayu Pahang)
  • Dato’ Haji Anuar Ahmad (Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang)
  • Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (Persatuan Penulis Nasional Malaysia)
  • Dr. Haji Abdul Aziz Haji Mahmood (Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan)
  • Dr. Husairi Hussin (Angkatan Sasterawan Nasional Kedah)
  • Encik Mohamad Musip (Persatuan Penulis Melaka)
  • Tuan Haji Abd. Razak Adam (Ikatan Persuratan Melayu)
  • Puan Farah Wahidah Abd. Aziz (Perkumpulan Penulis dan Peminat Bahasa Muar)
  • Encik Abdul Hadi Yusoff (Persatuan Penulis Kelantan)
  • Tuan Haji Abd Rashid Ahmad Rafie (Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) Perak)
  • Encik Azmi Ismail (Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Perak)
  • Tuan Sharif Tuan Putera (Persatuan Sasterawan Terengganu)
  • Puan Nor Azah Abd. Aziz (Persatuan Penulis Negeri Sembilan)
  • Encik Mohd Khatim Othman (Persatuan Penulis Johor)
  • Encik Mohd Azree Mohd Ariffin yang mewakili Puan Nurul Syahida Hassan (Persatuan Kebajikan Penulis Selangor).
Tan Sri Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar (Lembaga Bahasa Melayu Melaka) sedang membentangkan kertas kajiannya.

Selain itu, bengkel ini turut mengundang Prof. Dr. Hashim Ismail, Encik Zainal Mohd Jais dan Encik Mohd Khair Ngadiron daripada GAPENA Malaysia sebagai moderator bagi sesi pembentangan.

Tuan Haji Hamzah Hamdani (Naib Presiden GAPENA Malaysia) sedang membentangkan kertas utama.

Selanjutnya, majlis penutupan bengkel telah disempurnakan dengan ucapan alu-aluan oleh Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan, Presiden GAPENA Malaysia. Ucapan penutupan pula disempurnakan oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola, DBP. Dalam ucapannya, beliau berharap agar usaha untuk menerbitkan hasil kajian ini menjadi realiti. Jelasnya lagi,

Usaha untuk mendokumentasikan sejarah perkembangan persatuan penulis ini harus dipuji kerana jika tiada dokumentasi, maka sebahagian sejarah tentang perkembangan kesusasteraan itu akan lenyap.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan sedang memberikan ucapan penutupan program.

Bengkel ini merupakan salah satu usaha yang dilaksanakan oleh Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS), DBP bagi menghasilkan korpus penulisan kajian tentang sejarah dan perkembangan persatuan penulis sastera di Malaysia. Kajian tersebut dapat menyebarluaskan maklumat hasil penulisan kepada khalayak dan dapat dijadikan sebagai rujukan. Selain itu, perkara ini juga selari dengan Pelan Strategik DBP 2021 – 2025, di bawah Teras Strategik Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dan di bawah Tema Strategik yang ketiga, iaitu penyelidikan berwibawa dalam bidang kesusasteraan.

Pembentang kertas kerja dan para hadirin merakamkan gambar kenang-kenangan.

Program ini bakal menjadi suatu rakaman sejarah yang penting bagi perkembangan persatuan penulis sastera. Rakaman sejarah persatuan penulis belum pernah dilakukan oleh mana-mana badan atau persatuan sebelum ini. Rakaman sejarah perkembangan sesebuah persatuan biasanya hanya dilakukan secara mandiri dan tidak dilakukan secara kolektif.

Bengkel penyelidikan ini telah diadakan buat julung kalinya oleh BPS dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada semua persatuan penulis yang bernaung di bawah GAPENA yang membentangkan sejarah perkembangan persatuan penulis masing-masing.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyampaikan cenderamata kepada Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan, Presiden GAPENA Malaysia. Presiden GAPENA Malaysia.

Program seumpama ini wajar diteruskan bagi mengisi kelompongan dalam usaha pendokumentasian sejarah perkembangan penulis. Acap kali sejarah perkembangan sastera negara dilihat menerusi sejarah polemik, pengharaman buku dan peristiwa lain yang dianggap penting namun terlepas pandang dalam aspek perkembangan persatuan-persatuan penulis yang juga turut menyumbang kepada pembangunan tamadun dan kebijakan bangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.