Oleh Saif Dhi Yazan
1 Mac 2023, 18:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Singapura – Sejak dimulakan di Singapura pada tahun 1977, Pertemuan Sasterawan Nusantara (PSN) telah diadakan secara bergilir-gilir oleh empat buah negara pendirinya di ASEAN, iaitu Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Pada tahun ini, penganjuran PSN yang genap 45 tahun telah diadakan di Wisma Geylang Serai (WGS), Singapura setelah tertangguh hampir tiga tahun akibat wabak Covid-19.

PSN yang berlangsung selama dua hari bermula pada 25 hingga 26 Februari lepas yang lalu, penganjurnya iaitu Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 dengan dukungan Jawatankuasa pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Kementerian Pendidikan Singapura dan Lee Foundation telah berjaya menghimpunkan lebih 40 sasterawan, aktivis dan peminat sastera dan seni budaya dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, dan Singapura.

Pertemuan kali ini yang mengangkat tema “Sastera Melayu dalam Era Negara Bijak” sebagai landasan perbincangan oleh para pembentang kertas kerja dan panel forum sangat bertepatan dengan cabaran semasa iaitu pendigitalan dan teknologi maklumat.

Oleh itu, melalui tiga sesi dan satu forum perdana, seramai 19 orang pembentang kertas kerja dan ahli panel forum telah berkongsi pandangan dan dapatan bahawa setiap sasterawan dan penggiatnya harus berhadapan dengan era digital ini dengan lebih bijaksana.

Antara khalayak PSN.
Tuan Haji Hamzah Hamdani sedang membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Menyatukan Elit dan Masyarakat melalui Sastera: Pengalaman Malaysia”.

Subtema bagi tiga sesi PSN pada kali ini ialah “Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dalam Dunia Pendidikan”, “Perkembangan Kesusasteraan Melayu dan Cabarannya,” dan “Menyatukan Elit dan Masyarakat Melalui Sastera”. Antara pembentang bagi tiga sesi tersebut ialah Sastri Sunari (Indonesia), Prof. Dr. Umar Zein (Indonesia), Dr. Morshidi Haji Muhamad (Brunei), Haji Hamzah Hamdani (Malaysia), Ja’afar Haji Hamdan (Malaysia), Rasiah Halil (Singapura), dan Dr. Mohd Pitchay Gani M.A Aziz (Singapura). Para pembentang tersebut menyatakan anggapan bahawa para sasterawan setiap negara berbahasa Melayu harus memainkan peranan untuk membentuk generasi baharu dalam perkembangan arus digital kini.

Antara pembentang kertas kerja dalam PSN kali ini.

Selanjutnya, para pembentang menegaskan bahawa bahasa dan sastera perlu berperanan sebagai saluran pendidikan bagi membina generasi yang semakin cepat matang dengan lambakan informasi. Sastera juga boleh menjadi salah satu medium untuk menyedarkan generasi baharu tentang nilai-nilai baik yang harus dipelihara dan dikekalkan.

Encik Saifullizan Yahaya sebagai salah seorang ahli panel forum (wakil rasmi DBP) sedang menyampaikan pandangannya.

“Forum Perdana: Sastera Melayu dalam Era Negara Bijak” yang telah menghadirkan lima orang panel dari setiap negara pula melihat bahawa sasterawan harus beradaptasi dengan perkembangan dan teknologi semasa untuk terus relevan agar sastera dapat berperanan sebagai salah satu seni yang membina kemanusiaan.

Encik Yatiman Yusoff sedang menyampaikan ucapan perasmian PSN.

PSN-20 ini telah dirasmikan oleh Encik Yatiman Yusoff, iaitu Pesuruhjaya Tidak Bermastautin Singapura ke Republik Kenya. Beliau yang juga merupakan salah seorang pengasas PSN sangat terharu dengan kerjasama yang berterusan oleh para sasterawan setiap negara dalam menjayakan PSN pada kali ini. PSN pada kali ini juga dilihat sebagai salah satu medan untuk para sasterawan serantau menyemarakkan dunia kesusasteraan berbahasa Melayu.

Dalam PSN kali ini seperti lazimnya, telah dirumuskan enam resolusi sebagai landasan bagi para sasterawan di empat buah negara beradaptasi dalam era digital, iaitu antaranya memanfaatkan teknologi media sosial terkini untuk menghadapi perubahan era Revolusi Industri 4.0 demi kemajuan kesusasteraan Melayu di wilayah Nusantara. PSN yang seterusnya akan dilaksanakan oleh negara Indonesia dengan GAPENA sebagai Sekretariat Majlis Sasterawan Nusantara.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.