Oleh Asrar Ab Latif
27 Februari 2023, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – “Ke manakah penulis muda dan baharu ini akan ditempatkan? Adakah kita ingin membiarkannya seperti bunga kiambang di air yang terbiar? Kita perlu menjadikan bunga kiambang ini seperti di rumah, cantik dihias.” Demikian petikan ucaptama oleh YBhg. Profesor Dr. Abdul Halim Ali, Pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Projek Merekabentuk Hasyuda Abadi: Model untuk Meletakkan Hala Tuju Sastera” dalam Wacana Sasterawan Sabah pada 25 Februari di Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RupHA), Kampung Gudon, Manggatal.

YBhg. Profesor Dr. Abdul Halim Ali sedang membentangkan kertas kerjanya.

Kerisauan beliau adalah apabila penulis yang muncul di Sabah tidak ditempatkan dalam suatu tempat khusus. Antara cadangan yang dikemukakannya ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memainkan peranan dalam membantu persatuan penulis Sabah menggerakkan karya penulis Sabah agar dibincangkan dalam karya akademik.

Selain itu, penulis Sabah juga perlu dipromosikan lagi ke dalam pelbagai bentuk wacana, di samping menginstitusikan rumah puisi persatuan penulis seperti rumah yang dibina oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu “Rumah Beta”. Institusi seperti ini boleh dijadikan sebagai tempat rujukan ilmiah. Selanjutnya, beliau juga menyarankan agar penulis Sabah bergiat aktif dengan menjalinkan hubungan strategik dengan semua pihak seperti institusi pendidikan dan pihak sekolah.

Selanjutnya, Encik Awang Abdul Muizz Awang Marusin, Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah yang juga merupakan Pensyarah di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu membentangkan kertas kerja bertajuk “Sudut Pandang Hasyuda Abadi dalam Konteks Sastera Islam di Sabah”. Beliau melihat sastera sebagai sebuah seni dan budaya yang liberal dan kreatif serta menempatkannya dalam konsep Malaysia Madani melalui karya-karya Sasterawan Negeri Sabah Hasyuda Abadi.

Encik Norawi Haji Kata, Presiden Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS) pula membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Analisis Kesepaduan Stail dengan Perutusan Agama dalam Kumpulan Puisi ‘Kembali di Lahad Rahsia’”. Antara inti pati kertas kerja beliau ialah berkaitan dengan keupayaan seseorang penulis dalam menghasilkan suatu karya dinilai dalam aspek pemikiran selain nilai estetika keindahannya. Selain itu, pembentangannya juga tertumpu kepada isi kandungan teks puisi yang berkaitan dengan kesepaduan gaya bahasa, pemikiran (stail) dan agama.

Puan Fauziah Moksin yang merupakan guru akademik Bahasa Melayu SMK Bandin, Tuaran merangkap Ketua Dua Ikatan Penulis Sabah pula membentangkan kertas kerja bertajuk “Sumbangan Hasyuda Abadi terhadap Pendidikan Kesusasteraan dan kebudayaan di Sabah”. Dalam pembentangannya, beliau menerangkan aspek budaya berkaitan dengan kepengarangan Hasyuda Abadi sendiri yang banyak terlibat dengan teater, seni tari adai-adai dan linggai. Pembentangan beliau diakhiri dengan kata-kata Hasyuda Abadi kepada anak muda, iaitu:

 Sastera ialah masa depan, bukan mengkhayalkan, rebutlah peluang untuk menuntut ilmu.

Wacana Sasterawan Sabah ini turut diserikan dengan persembahan deklamasi puisi oleh Puan Oneh Latifah yang mengangkat karya Hasyuda Abadi. Seterusnya, majlis disusuli dengan ucapan penghargaan oleh Tuan Haji Sukor Haji Usin, Pengerusi Majlis Penasihat Ikatan Penulis Sabah merangkap Sasterawan Negeri Sabah Ketiga. Beliau berharap generasi muda menyimpan segala data dan sijil untuk menilai pencapaian seseorang tokoh sastera.

Majlis itu diakhiri dengan ucapan oleh Puan Aminah Awang Basar, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Beliau menyatakan rakaman penghargaan dan kesyukuran atas kejayaan pengiktirafan Sasterawan Negeri Sabah dilaksanakan buat kali ketiga dan berharap agar DBP dapat menjadi urus setia yang berterusan untuk anugerah ini. DBP Cawangan Sabah juga akan berusaha agar Sasterawan Negeri Sabah dicalonkan dalam menjadi Sasterawan Negara. Beliau juga menyatakan bahawa DBP akan sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan program yang bertepatan dengan usaha memperbanyak perbincangan ilmiah untuk mengukuhkan peranan sastera sebagai wadah pembangunan insan, sejajar dengan gagasan Malaysia Madani.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.