Oleh Firdaus Mul
23 Februari 2023, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sastera dan politik merupakan perkara yang saling berkaitan rapat, hatta kedua-duanya bertolak daripada tindakan atau perilaku manusia. Hal ini dijelaskan oleh Encik Che Abdullah Che Ya, pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam “Webinar Pemikiran SN Arena Wati’’ anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), yang dilangsungkan secara dalam talian.

Beliau yang juga merupakan seorang pengkaji sastera sering memfokuskan kajian sasteranya berdasarkan analisis politik dalam sesebuah karya. Dalam seminar tersebut, beliau membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Pemikiran Politik Dalam Karya Arena Wati”. Kajian tersebut berfokuskan kepada tiga buah novel Arena Wati, iaitu Busa Hati, Busa Sukma dan Busa Kalbu yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau membuka tirai perkongsiannya dengan menjelaskan serba sedikit berkenaan latar belakang Arena Wati. Tegas beliau, untuk memahami politik dalam novel karya Arena Wati, pembaca harus tahu terlebih dahulu serba sedikit tentang latar dirinya. Ujarnya berkenaan hal tersebut,

Arena Wati bukan suatu yang nama asing. Dalam penulisannya, beliau mengangkat pelbagai pemikiran meliputi sosial, ekonomi, agama dan politik.

Menurutnya, novel seperti Sandera, Mevrouw Toga, Sukma Angin, Trilogi Busa, Begawan, dan Panrita merupakan antara karyanya yang mengangkat pemikiran politik secara dominan atau tidak langsung. Tema seperti nasionalisme, perjuangan menentang penjajah, perang, Kesatuan Malaysia dan Indonesia, dan politik kepartian merupakan tercermin dalam karya-karyanya. Jelasnya,

Politik yang cuba diangkat ialah suatu konsep Nusantara. Kalau kita melihat dalam karya-karyanya, seolah-olah masih ada impian beliau yang tidak tercapai, iaitu penyatuan antara Indonesia dengan Malaysia, terutamanya dalam novel Panrita. Apabila beliau mengakhiri cerita dengan kemusnahan yang berlaku di dunia, hanya negara Malaysia dan Indonesia sahaja yang tinggal. Baginya, Malaysia sebagai negara tempat tinggal dan Indonesia sebagai negara kelahiran. Kedua-duanya dijunjung oleh beliau.

Bertitik tolak daripada perkara tersebut, beliau melanjutkan pembentangannya dengan menjelaskan perihal hubungan sastera dan politik. Menurutnya lagi,

Karya sastera merupakan cerminan kepada masyarakat. Jadi apa-apa yang berlaku di persekitaran akan membekalkan bahan untuk dikaryakan dalam bentuk kreatif. Pengarang sering kali menggunakan karya sastera mereka sebagai media pengucapan politik mereka.

Beliau melanjutkan lagi sesi pembentangannya dengan menyatakan perihal novel Busa Hati, Busa Sukma dan Busa Kalbu. Beliau turut menegaskan bahawa justifikasi utama ketiga-tiga novel tersebut dipilih adalah disebabkan novel-novel tersebut berkisarkan tentang pergolakan politik di Malaysia.

Busa Hati berkisarkan persoalan politik di Sabah, dan kemudian Busa Sukma pula memaparkan politik di Sarawak, yakni pertentangan yang berorientasikan politik serta penolakan terhadap beberapa dasar ekonomi. Busa Kalbu pula memperlihatkan konflik politik yang berlaku di Semenanjung Malaysia.

Berdasarkan pengamatan dan analisisnya, beliau mendapati ketiga-tiga novel tersebut berdasarkan perihal pertentangan ideologi, perebutan kuasa, kronisme, politik wang dan rasuah. Tambah beliau lagi,

Karya-karya Arena Wati ini bukan karya yang kosong. Ia lahir daripada penyelidikan, pemerhatian, dan analisis yang diterjemahkan dalam bentuk kreatif.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.