Oleh Suyuthi Yusuf
22 Februari 2023, 20:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seminar Pemikiran Sasterawan Negara (SN) Arena Wati anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) telah diadakan secara dalam talian pada hari ini. Seminar tersebut yang membicarakan kepelbagaian aspek kepengarangan SN Arena Wati melibatkan sebanyak lima orang pembentang, termasuklah SN Anwar Ridhwan.

Beliau memulakan pembentangannya yang bertajuk “Pengalaman Menyunting Lima Novel Arena Wati” dengan mengisahkan permulaan perkenalannya dengan Arena Wati. Hubungan awal persahabatan tersebut terjalin melalui bacaannya terhadap karya-karya Arena Wati. Pada tahun 1970-an ketika masih belajar di Universiti Malaya, beliau membaca novel Lingkaran dan sejak itu mengikuti karya-karya Arena Wati yang seterusnya.

Novel Lingkaran.

Anwar Ridhwan ketika bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka telah menimba ilmu berkaitan penyuntingan dengan beberapa orang tokoh seperti Hassan Ahmad, Asraf, dan Ismail Dahaman. Segala pengalaman dan ilmu tersebut sedikit sebanyak telah membuatkannya bersedia untuk menyunting novel Arena Wati yang pertama disuntingnya, iaitu Sudara. Ujarnya ketika memperkatakan hal tersebut,

Ketika itu saya diarahkan oleh Ketua Pengarah DBP iaitu Dato’ Haji Jumaat untuk menyunting novel Sudara. Arena Wati datang kepada saya dan menyerahkan sebuah manuskrip yang tebalnya hampir 900 halaman. Permulaannya, saya membaca terlebih dahulu manuskrip tersebut untuk melihat apakah tema yang ingin disampaikan oleh beliau. Setelah itu, saya mencatit perkara yang patut dibuang untuk memudahkan penyuntingan. Saya telah membuang hampir 250 halaman.

Novel Sudara.
SN Anwar Ridhwan ketika memperkatakan pengalamannya menyunting novel-novel SN Arena Wati.

Menurutnya lagi, Arena Wati merupakan seorang penulis yang berpengalaman luas dan banyak ilmu serta sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Oleh kerana itu, karya-karyanya sering memberikan pengalaman seni dan intelektual kepada khalayak. Beliau turut menyatakan bahawa Arena Wati merupakan seorang penulis yang pantas dan berdisiplin kerana beliau boleh menulis 30 hingga 60 halaman sehari.

Kecintaan Arena Wati terhadap dunia penulisan terbukti sehinggalah ke penghujung usianya. Ketika itu, Arena Wati berada dalam wad hospital tetapi masih sempat untuk merangka dan menulis dua buah manuskrip yang akhirnya menjadi novel, iaitu Pada Sayap Burung Helang dan Rindu Aroma Padi Bunting. Anwar Ridhwan sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjadi editor kepada kedua-dua buah novel tersebut. Ujar Anwar Ridhwan ketika menceritakan tentang pengalamannya sebagai editor kepada lima buah novel Arena Wati, iaitu Sudara, Mevrouw Toga, Sukma Angin, Pada Sayap Burung Helang dan Rindu Aroma Padi Bunting,

Saya rasa bertuah kerana mendapat ilmu dan pengalaman yang banyak kerana menyunting lima buah novel Arena Wati yang hebat tersebut. Ia merupakan sebuah pengalaman intelektual dan seni buat saya.

Novel Pada Sayap Burung Helang.
Novel Sukma Angin.
Novel Rindu Aroma Padi Bunting.
Novel Mevrouw Toga.

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang peranan dan kualiti yang patut ada pada seorang editor. Menurutnya, seorang editor harus menjalinkan hubungan yang rapat dengan seseorang pengarang. Beliau memperkatakan tentang bagaimana pengalamannya menyunting karya Arena Wati tersebut telah membuatkannya menjadi seorang editor yang peka terhadap karya. Khusus apabila menyunting sebuah novel, beliau menyatakan bahawa beliau harus mengetahui terlebih dahulu apakah tema yang ingin dibawa oleh penulis. Ujarnya lagi,

Novel yang baik ialah novel yang digerakkan oleh watak. Novel harus kelihatan lebih padu. Editor mesti mengawal bentuk gaya bahasa dan naratif karya tersebut. Walaupun seseorang pengarang itu (seperti Arena Wati) mempunyai ilmu dan pengalaman yang luas, dan kemudiannya segalanya itu ditulisnya dalam karya, tetapi semua itu mesti diacukan dengan kemas dalam sebuah novel.

Selanjutnya, beliau juga menyatakan bahawa editor yang bagus akan membuatkan seseorang pengarang belajar juga daripadanya. Katanya lagi, “Menyunting merupakan kerja yang sunyi.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.