Oleh Azrin Eddy
20 Februari 2023, 10:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Program Secangkir Kopi Siri 1 bagi tahun 2023 yang dilaksanakan oleh Unit Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) membicarakan Novel Remaja Kaysa Kesateria karya Lailah Elok dan Kumpulan Cerpen Pelari Waktu karya Ruhaini Matdarin. Program ini diadakan di Dewan Perhimpunan, Institut Pendidikan Guru Kampus Kent (IPGK Kent) dan dihadiri oleh para pelajar serta pensyarah institut berkenaan.

Bermula dari tahun lepas, program ini diadakan sebanyak empat siri sepanjang tahun bagi membuka ruang kepada khalayak umum untuk berjumpa secara bersemuka dengan penulis tempatan. Bicara karya yang bersifat santai ini juga secara tidak langsung mempromosikan buku baharu terbitan DBP karya penulis-penulis Sabah.

Ruhaini Matdarin merupakan salah seorang Pemenang Hadiah Sastera Sabah (HSS) 2022, manakala LailahElok pula telah menerima Anugerah Personaliti Radio Paling Versatil, Anugerah Seri Angkasa 2005. Dalam bicara karya tersebut, Encik Ismail Ag Piut, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Ismail bertindak sebagai Panel Penilai dan Cik Amirah Syafiqah, pelajar IPGK Kent pula sebagai Moderator.

Kedua-dua karya tersebut mengetengahkan persoalan serta tema yang berbeza, namun mempunyai persamaan daripada segi inspirasinya, iaitu menggunakan cerminan realiti kehidupan sebenar. Ujar Lailah ketika ditanya berkenaan inspirasi beliau,

Saya memanfaatkan pengalaman sebagai anak jati Sabah yang membesar di sebuah kampung di Kinabatangan dan menggunakan sebanyak 30 latar tempat untuk menyelesaikan novel ini.

Cikgu Ismail ketika mengulas Kumpulan Cerpen Pelari Waktu karya Ruhaini Matdarin pula menyatakan bahawa keistimewaan kumpulan cerpen ini ialah kebolehan Ruhani untuk menceritakan kisah setiap banduan yang datang daripada latar yang berbeza-beza dan menggunakan kata ganti nama diri β€œdia” bagi merujuk kepada watak setiap banduan tersebut. Teknik ini memudahkan pembaca untuk mengenal pasti watak banduan dalam setiap cerpen.

Pelajar IPGK Kent sedang menyatakan pandangannya.

Secangkir Kopi kali ini mendekati bakal pendidik untuk mempergiatkan diskusi buku dan menambah pengetahuan melalui amalan membaca. Antara maklum balas yang diberikan oleh bakal pendidik yang menghadiri program tersebut ialah berkenaan pengetahuan tentang herba semula jadi yang sekarang kurang dikenali khasiat dan manfaatnya.

Khalayak merakamkan gambar kenang-kenangan.
Khalayak sedang berkunjung ke pameran dan jualan buku DBP.

Turut hadir dalam program ini ialah Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBPCS, Dr. Hamidah Samsuddin, Pengarah IPGK Kent dan YM Tuan Haji Awang Suip Haji Abdul Wahab, Pemangku Pengarah DBP Brunei.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.