Oleh Firdaus Mul
17 Februari 2023, 12:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Sesi kedua Seminar Kesusasteraan Kedah yang berlangsung pada 10 hingga 11 Februari di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, menampilkan tiga orang pembentang iaitu Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid, Dr. Phat a/l Awang Deng dan Haji Zulkefle Dollah.

Sesi kedua seminar tersebut memfokuskan kajian berkenaan tokoh sastera Kedah. Pembentangan pertama dimulakan oleh Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia (USM), dengan kertas kerjanya bertajuk “Sudut Pandangan Pengarang dalam Cerpen-cerpen terpilih A. Rahmad: Satu Analisis Tekstual”. Beliau membuka lembaran pembentangannya dengan menyatakan keperluan sudut pandang dalam sesebuah penulisan prosa. Hal ini demikian kerana, dengan sudut pandang, pangarang dapat memikirkan atau menentukan terlebih dahulu tentang cara bagaimana sesuatu cerita tersebut disampaikan. Jelasnya,

Melalui sudut pandang, pengarang mesti menetapkan dalam sesuatu cerita yang hendak dihasilkan itu bahawa siapa yang akan bercerita, dan di manakah letaknya diri pengarang dalam sesuatu karya tersebut. Seperti yang kita tahu dalam penghasilan karya sastera, pengarang dan karya sememangnya tidak dapat dipisahkan.

Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid sedang membentangkan kertas kajiannya.

Antara cerpen karya A. Rahmad yang menjadi tumpuan beliau dalam pembentangan tersebut ialah “Santakruzan”, ”Mengetuk Jendela Jauhari”, ”Lemparkan Tongkat Saktimu”, ”Loy Khartong” dan ”Ke Makam Habib”.

Melalui hasil kajiannya, terdapat sudut pandang pengisahan orang pertama, sudut pandang pengisahan orang ketiga terbatas, sudut pandang pengisahan orang ketiga serba tahu dan sudut pandang arus kesedaran dalam cerpen-cerpen tersebut. Tambah beliau lagi, “pengarang juga ada menggunakan sudut pandang arus kesedaran, tetapi A.Rahmad melalui dapatan saya tidak beberapa cekap atau tidak dapat menguasai sudut padang arus kesedaran, namun A. Rahmad sangat bijak menggunakan sudut pandang yang lain”.

Kemudian, pembentangan diteruskan oleh Dr. Phat a/l Awang Deng daripada Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan tajuk pembentangannya ”Mencari Faham Makna Masa Lalu: Imbas Kembali Pemilik Cerita dalam Cerpen Osman Ayob”.

Cerpen yang menjadi bahan kajian beliau ialah cerpen bertajuk ”Sebuah Surau Sebuah Rumah di Tepi Kondominium” yang berpaksikan kepada salah satu elemen ”Puitika Sastera Melayu”. Bertitik tolak daripada perkara tersebut, beliau mencerakinkan pembentangannya kepada tiga pengisian utama, iaitu mengimbau sejarah dan pengalaman watak, mengolah pengetahuan khalayak sebagai cerita dan hakikat kehidupan manusia sebagai idea. Selanjutnya, beliau sempat menyimpulkan hasil pembentangannya dengan menyatakan bahawa,

Pemilihan dan penggunaan cerita atau kisah kehidupan manusia, imaginasi kreativiti dan pengalaman diri pengarang mencipta karya yang meninggalkan kesan pelbagai kepada khalayak. Idea cerita daripada pelbagai sumber meliputi imbauan kisah lalu, pengalaman individu, kelompok bangsa atau kelompok yang berbeza perjuangan dan sebagainya digunakan oleh pengarang di sana sini. Elemen ‘Yang Asli itu indah’ dapat dikesan pada pemilihan cerita oleh pengarang.

Selepas itu, pembentangan ketiga dilanjutkan pula oleh Encik Haji Zulkefle Dollah dengan pembentangannya bertajuk ”Bacaan Berfokus: Sentuhan Terhadap Antologi Cerpen Remaja Bebaling” karya Putraery Ussin.

Encik Haji Zulkefle Dollah sedang menyatakan tentang karya Putraery Ussin.

Menurutnya, antologi tersebut merupakan antologi cerpen yang begitu baik, berkualiti dan sesuai untuk dibaca oleh golongan remaja. Tambah beliau lagi,

Saya menganggap bahawa apa-apa yang ditulis oleh Putraery Ussin dalam antologi tersebut memang menonjolkan ketokohan beliau sebagai penulis cerpen dengan bahasa yang lancar, idea yang begitu bagus dan elemen keremajaan yang segar.

Beliau juga sempat menyatakan hasrat agar cerpen tersebut dijadikan sebagai bahan dalam buku teks pelajar sastera di sekolah.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.