Oleh Firdaus Mul
14 Februari 2023, 19:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Sesi pertama Seminar Kesusasteraan Kedah yang berlangsung selama dua hari pada 10 hingga 11 Februari di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah dimulakan oleh Prof. Madya Dr. Ghazali Din yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Hala tuju dan Cabaran Masa Depan Sastera Kedah”. Beliau merupakan salah seorang ahli Angkatan Sasterawan Nasional Negeri Kedah (ASASI) dan merupakan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Beliau membuka lembaran bicaranya dengan berkongsi sejarah perjalanan beliau dalam dunia sastera yang bermula dengan menyertai ASASI pada sekitar tahun 1980-an. Ujarnya,

ASASI adalah antara persatuan penulis kerabat GAPENA dan persatuan penulis di Malaysia yang pada saya sangat istimewa.

Beliau melanjutkan perkongsiannya dengan menyatakan perkembangan ASASI dan sumbangannya dalam perkembangan kesusasteraan negeri Kedah. Jelasnya, “saya melihat tujuh orang kepimpinan ASASI yang ada, sebelum ini dan yang sekarang masing-masingnya memainkan peranan dan memberikan sumbangan yang sangat bererti kepada pertumbuhan sastera Kedah. Nama-nama besar yang ASASI lahirkan umpamanya seperti Cikgu Osman Ayub. Beliau merupakan antara pengarang yang sudah sampai masanya dinobatkan sebagai penerima SEA Write Award”.

Selain itu, beliau turut melontarkan cadangan bahawa sudah tiba masanya diwujudkan muzium sastera di negeri Kedah sebagaimana yang ada di negeri Melaka, yakni sebuah muzium yang menghimpunkan dokumentasi berkenaan pengarang-pengarang ternama yang ada di negeri Kedah. Beliau menegaskan,

Tiga orang Sasterawan Negara berasal dari negeri Kedah. Abdullah Hussain, Shahnon Ahmad dan juga Zurinah Hassan yang dinobatkan sebagai SN sepatutnya menjadi kebanggaan negeri Kedah.

Tambah beliau lagi, dalam zaman media sosial sekarang, penonjolan merupakan perkara penting. Baginya, ASASI perlu ada jaringan strategik dengan Kerajaan Negeri Kedah, universiti, dan sekolah.

Di akhir perkongsian, selain daripada mengharapkan agar diwujudkan Muzium Sastera di negeri Kedah, beliau turut mengharapkan agar diwujudkan rumah penulis bagi ASASI, sebagaimana Rumah Pena yang ada di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.  Jelasnya,

Saya kagum dengan PENA kerana mereka dapat merealisasikan bacaan puisi PENA hampir setiap bulan. Kalau ASASI dapat menterjemahkan program seperti yang dilaksanakan PENA, kita akan dapat mengimarahkan sastera di negeri Kedah. Apabila ada rumah seperti itu, kita bebas untuk bermesyuarat dan melaksanakan program. Saya juga ingin menyarankan kalau boleh suatu hari nanti diadakan satu perkampungan pengarang Kedah, sama ada dia daripada ASASI ataupun dari luar ASASI, asalkan kelahiran Kedah atau bermastatutin di Kedah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.