Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAlor Setar – “Saingan pada tahun ini amat sengit dan tidak menyangka akan diumumkan sebagai pemenang, mungkin tuah menyebelahi saya dalam pertandingan kali ini.”
Demikian luahan pemenang Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Negeri Kedah 2024, Zaheera Ibrahim sekali gus akan mewakili Kedah ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Selangor, kelak.
Beliau yang berasal dari Sungai Petani, Kedah mempertaruhkan puisi yang berjudul “Warisan Keberanian” karya S M Noor merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Sungai Petani, Kedah.
Puisi yang dibawanya itu mempunyai kata-kata semangat yang boleh memberikan kekuatan kepada diri untuk lebih yakin dalam pertandingan itu.
Beliau yang juga Ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) pernah mewakili Negeri Kedah ke peringkat kebangsaan pada tahun 2006, 2015, 2016, 2017 dan 2021.
Pada tahun 2009 dan 2013, beliau telah mewakili Selangor dan Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan dan pencapaian terbaik beliau dalam SDPK adalah dengan mendapat tempat ketiga pada peringkat kebangsaan tahun 2016 dan naib juara peringkat kebangsaan pada tahun 2017.
Terdahulu, SDPK pada tahun ini telah dianjurkan oleh ASASI dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).
Pertandingan itu merupakan acara tahunan yang dilaksanakan pada setiap tahun untuk memilih seorang peserta yang akan mewakili negeri ke SDPK Peringat Kebangsaan yang akan diadakan di Shah Alam, Selangor pada 23 Ogos 2024.
Seramai 21 orang telah mengadunkan suara mengambil bahagian dalam SDPK, akhirnya pihak juri sebulat suara memilih Zaheera Ibrahim sebagai pemenang.
Naib johan pula disandang oleh Mohd Aidil Firdaus Mohd Suk, 35 tahun dari Sungai Petani, Kedah menerusi puisi yang berjudul “Menjulang Bahtera Madani”, hasil karya Mohd Radzi Mohd Hamid.
Manakala tempat ketiga disandang oleh Sarminadira Shaikh A. Rahim, 30 tahun dari Lunas, Kulim, Kedah menerusi puisi yang berjudul “Wujud Yang Menipis” hasil karya Mohd Ghazali Taib.