9 Februari 2023, 18:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Awang Abdul Muizz Awang Marusin memperkatakan tentang gagasan ‘Malaysia Madani’ dalam konteks pembangunan kesusasteraan dan kebudayaan di Sabah.

Masih segar dalam ingatan penulis adalah antara soalan yang ditanya oleh sahabat penulis yang juga wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ozieal Joachim Mathew, “Apakah yang ingin difokuskan dalam liputan media kali ini?” Saya menjawab dengan bersahaja, “Aku menjangkakan YB akan memberi maklum balas kepada gagasan ‘Malaysia Madani’ yang diamanatkan oleh Perdana Menteri. Aku sendiri akan menyampaikan ucapan berkenaan gagasan tersebut.”

“YB” yang dimaksudkan dalam hal ini ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia,  YB Mustapha Sakmud. Beliau telah diundang oleh Ikatan Penulis Sabah (IPS) untuk menyampaikan ucaptama dalam Mesyuarat Agung Tahunan IPS 2023 yang berlangsung pada 21 Januari 2023 di Rumah Puisi Hasyuda Abadi, Kampung Gudon, Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah. Di samping merasmikan mesyuarat tersebut, beliau telah sudi berdialog dan beramah mesra dengan komuniti penulis Sabah serta kepimpinan masyarakat setempat.

Wartawan RTM, Ozieal Joachim Mathew (kiri) menemuramah Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Mustapha Sakmud (dua dari kanan) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan IPS 2023.

Beliau memulakan ucapannya dengan pernyataan tentang generasi penerus yang tidak rajin menulis dan membaca. Beliau merujuk kepada Generasi Z dan Generasi Alpha yang lebih merasai kehidupan dalam alam maya berbanding alam nyata sehinggakan nilai penerimaan seseorang yang datang daripada generasi penerus ini dinilai dalam alam maya, bukannya alam nyata. Menyedari hakikat ini, beliau mengajak komuniti penulis di Sabah untuk tidak menjadikan mereka ‘generasi yang hilang’ dan sebaliknya mendekati mereka sesuai dengan corak kehidupan mereka.

Selain itu, beliau juga mengesyorkan komuniti penulis di Sabah untuk memanfaatkan aplikasi media sosial yang biasa digunakan oleh generasi penerus untuk membolehkan bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan di Sabah terus hidup merentasi zaman. Beliau turut menyarankan komuniti penulis di Sabah agar dapat menguasai kemahiran menggunakan aplikasi tersebut agar karya sastera dapat ditatarkan dan dikupas dengan bahasa yang mudah dan yang mampu menarik minat golongan muda untuk menghayatinya.

YB Mustapha Sakmud menyampaikan ucaptama dalam Mesyuarat Agung Tahunan IPS 2023.

Beliau merujuk kepada aplikasi TikTok yang amat dekat dengan generasi penerus sehinggakan sudut pandang mereka terhadap sesuatu perkara banyak dipengaruhi oleh aplikasi TikTok. Daripada permainan Lato-Lato yang semakin dikenali sehinggalah kepada pemilihan pemimpin, semuanya boleh diketahui dengan mudah oleh generasi penerus di TikTok.

YB Mustapha Sakmud juga sebenarnya pernah membukukan kisah wira-wira di Sabah yang tidak pernah didendang dalam sebuah buku sejarah ketika zaman beliau aktif dalam pergerakan belia di Sabah.

Wira-wira yang dimaksudkan antaranya termasuklah Datu Tating, Sharif Osman, Embo Ali, Panglima Ali, Pak Musa dan Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan Damsani. Mereka merupakan pahlawan Sabah yang telah mengorbankan jiwa dan raga menentang penjajahan Jepun dan Inggeris serta mempertahankan keamanan dan kemakmuran Sabah. Beliau mengajak komuniti penulis di Sabah untuk menjadikan mereka sebagai contoh dan teladan yang dapat diikuti oleh masyarakat masa kini dalam usaha menjayakan gagasan ‘Malaysia Madani’ yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Selanjutnya, beliau juga turut mengajak komuniti penulis di Sabah untuk menghayati dan menterjemahkan gagasan tersebut dalam penulisan. Perkara ini, menurut beliau, penting bagi merealisasikan hasrat negara untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, berbudaya dan berakhlak mulia.

YB Mustapha Sakmud (duduk, tengah) bergambar bersama kepimpinan IPS setelah selesai merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan IPS 2023. Turut serta ialah Timbalan Pengarah I, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Rusdi Awang (duduk, kiri).

Dalam hal ini, beliau menyarankan komuniti penulis di Sabah untuk memberi tumpuan kepada nilai yang diterapkan dalam gagasan ‘Malaysia Madani’ seperti hormat dan ihsan. Beliau juga turut berkesempatan membaca sebahagian daripada puisi Prof. Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud bertajuk “Aku Bimbang, Khuatir” sebagai menggambarkan pentingnya gagasan ‘Malaysia Madani’ yang mementingkan kesejahteraan insan diangkat dan dibudayakan pada masa kini.

Bagaimana kita akan bangkit semula
memimpin dunia mendapat syurga?
Jika ibu-bapa pintar melahir anak cuma
Jika pelajar hanya mahu lulus periksa dan cari kerja
Jika guru, pensyarah kehilangan arah
ilmu terpaku di dada ijazah
Jika peniaga bermain politik, bertuhankan laba
ahli politik memperniaga prinsip dan akhlak segala
Jika cendekiawan cuma mengikut dan membuat komentar-
cekap mengubah fakta, meminda makna, mengejar kuasa
Adam akan menyesal
dan Iblis berkenduri besar.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Sepanggar mengesyorkan komuniti penulis di Sabah, terutamanya yang berada di kawasan Parlimen Sepanggar, agar dapat membantu beliau menjayakan visi “Sepanggar Sejahtera” menerusi penganjuran aktiviti bertemakan pendidikan, pembangunan kemahiran, kebudayaan, kesenian dan kesusasteraan. Beliau turut mencadangkan agar suatu pasukan petugas khas dibentuk di peringkat Parlimen Sepanggar dengan melibatkan IPS sebagai anggotanya bagi membolehkan aktiviti penulisan yang menyumbang kepada perkembangan ilmu dan kemahiran dapat digiatkan.

Terdahulu, penulis dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa komuniti penulis di Sabah telah mendukung gagasan ‘Malaysia Madani’ sejak sekian lama. Menurutnya, IPS dengan kerjasama dan sokongan daripada sahabat-sahabat persatuan penulis di Sabah telah mengangkat gagasan tersebut sebelum ditatarkan sebagai hasrat negara menerusi penulisan, pengkaryaan, penataran media, perkongsian keilmuan dan perkongsian kepakaran. Persatuan-persatuan penulis di Sabah yang dimaksudkan oleh penulis termasuklah Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS), Kelab Penulis Kadazan Dusun Murut Sabah (Momogunsia), Kelab Komuniti Penggiat Buku Negeri Sabah (KEBUKU), Persatuan Penulis Alam Maya Malaysia (Jom Sastera) dan Persatuan Karyawan Sastera Utara Sabah (PKSUS).

YB Mustapha Sakmud (tengah) bergambar dengan komuniti penulis di Sabah dan pemimpin masyarakat setempat di perkarangan Rumah Puisi Hasyuda Abadi.

Salah satu daripada dukungan tersebut ialah menerusi penerbitan 14 buah buku kumpulan puisi karya 14 orang penyair dari seluruh negeri Sabah yang diketuai oleh Presiden PSBS, Norawi Haji Kata, yang pada masa ini sedang dalam proses untuk disiapkan. Kesemua buku tersebut dijangka dapat dilancarkan seawal bulan Mei. Amat besarlah harapan penulis dan rakan-rakan agar buku-buku tersebut dapat ditatarkan dan disebarluaskan ke perpustakaan awam, pusat sumber jabatan Kerajaan dan institusi pendidikan di dalam dan luar negeri Sabah.

YB Mustapha Sakmud meninjau Pustaka Iqbal Nazim yang terdapat di Rumah Puisi Hasyuda Abadi. Turut serta ialah pemilik Pustaka yang juga Sasterawan Negeri Sabah, Hasyuda Abadi.

Salah satu dukungan yang lain ialah Wacana Penulis Sabah yang dijangka akan diadakan di Rumah Puisi Hasyuda Abadi pada 25 Februari 2023. Selain daripada memperingati dan menghargai ketokohan dan kepimpinan Sasterawan Negeri Sabah Hasyuda Abadi, wacana tersebut dijangka akan turut mengupas dan mencerakinkan gagasan ‘Malaysia Madani’ daripada sudut pandang penulis sastera Sabah.

Tidak dilupakan ialah dukungan berbentuk pembinaan dan pencitraan Rumah Puisi Hasyuda Abadi yang menjadi cerminan kepada nilai daya cipta yang ditanamkan dalam gagasan ‘Malaysia Madani’. Rumah Puisi milik bersama Hasyuda Abadi dan Sahara Jais yang telah dibangunkan sejak beberapa tahun yang lalu bukan sahaja rumah yang ‘berpuisi’ atau ‘bersastera’ menerusi kegiatannya, tetapi juga rumah yang membolehkan anak-anak sekitar mengaji al-Quran di Rumah Ngaji Baitul Muqaddam dan membaca lebih daripada 7000 buah buku koleksi Sasterawan Negeri Sabah ketiga di Pustaka Iqbal Nazim.

Penulis sastera Sabah yang menghadiri mesyuarat ini turut senada dengan penulis mengenai gagasan ‘Malaysia Madani’. Seperti Ketua Dua IPS, Fauziah Moksin yang menyedari telah sampai masanya sastera Sabah dihidupkan dengan semangat ‘Malaysia Madani’ dengan mempromosikannya di sekolah, Hasyuda Abadi turut memandang ‘Malaysia Madani’ sebagai suatu gagasan yang mampu menghidupkan dan meneruskan sastera Sabah menerusi jalan istiqamah dan wasatiyyah. Begitu juga dengan pemimpin akar umbi seperti Ketua Kampung Gudon, Manggatal, Mohd Aruf Rajit yang memetik peribahasa Cina, “Jangan berikan kami ikan, berikan kami pancingnya,” sebagai maklum balas kepada ucaptama tersebut.

Mesyuarat, dialog dan ramah mesra yang penulis cuba gambarkan dan laporkan menerusi penulisan ini sedikit sebanyak menggambarkan masa depan gagasan ‘Malaysia Madani’ daripada sudut pandang penulis sastera di Sabah. Di samping mengenalkan komuniti penulis di Sabah dengan gagasan ‘Malaysia Madani’, penulis cuba meyakinkan semua bahawa gagasan ‘Malaysia Madani’ dapat dikedepankan dengan cara penulisan dan pelaksanaan tindakan berterusan dengan dukungan dan kerjasama pelbagai lapisan masyarakat.

‘Malaysia Madani’ daripada sudut pandang komuniti penulis di Sabah ialah penulisan, penerbitan dan penataran karya bahasa, sastera dan budaya bernuansakan Sabah yang mementingkan alam sekitar yang mapan, mengangkat kesejahteraan insan, mengukuhkan daya mencipta dan mengekalkan kepelbagaian.

_________________________

Awang Abdul Muizz Awang Marusin merupakan pensyarah subjek umum di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu. Beliau menulis sejak di bangku sekolah lagi dan sekarang merupakan Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.