Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 14 November 2025, 12:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bidang kebahasaan dan kesusasteraan memainkan peranan besar dan signifikan dalam pemerkasaan prinsip MADANI, selain menjadi tunjang utama bagi sesebuah masyarakat yang berpegang pada gagasan tersebut.

Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan berkata, prinsip MADANI merujuk nilai kemanusiaan, peradaban dan ketamadunan yang menjadi asas pembentukan masyarakat berilmu, berakhlak dan harmoni.

“Unsur MADANI terserlah melalui peranan bahasa sebagai wahana komunikasi beradab, dan sastera sebagai cerminan jiwa bangsa dan wadah pembinaan nilai murni,” katanya ketika menyampaikan perkongsian dalam Syarahan Hikmah MADANI yang berlangsung di ibu negara pada Rabu.

Menurut beliau, bahasa dan sastera bukan sahaja membentuk minda dan memelihara warisan budaya, malah membimbing manusia ke arah kebijaksanaan dan keharmonian.

Beliau menegaskan bahawa masyarakat yang menghargai kedua-dua bidang ini akan terus berkembang dari aspek pengetahuan, kreativiti dan kekuatan moral yang merupakan manifestasi prinsip MADANI.

“Bahasa dan sastera memupuk masyarakat menghargai kebijaksanaan, keadilan dan belas kasihan,” tegasnya.

“Karya sastera mengingatkan khalayak tentang kemanusiaan sejagat dan membimbing mereka ke arah dunia yang lebih terang dan harmoni, seiring dengan ciri masyarakat MADANI,” tambahnya lagi.

Melalui bahasa dan sastera, kata beliau, masyarakat bukan sahaja dapat berkomunikasi dengan beradab, tetapi turut menghayati nilai kemanusiaan yang membina tamadun yang seimbang antara akal, rohani dan moral.

Selain menangani keperluan asas dalam kehidupan, beliau mengingatkan bahawa umat manusia wajar mengangkat martabat diri mereka ke alam pemikiran, kerohanian serta penciptaan kebendaan yang melampaui perkara tersebut.

“Hal ini merupakan sinar fajar awal nilai MADANI kehidupan sesebuah masyarakat yang akan terus menerangi jalan kehidupan generasi seterusnya kelak,” katanya.

Bagi Anwar, asas ini dikesan bermula seawal Tamadun Sumeria pada sekitar tahun 3200SM dan penubuhan Bait al-Hikmah di Baghdad, sebuah pusat keilmuan dan keintelektualan terkemuka semasa era Abbasiyyah.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa unsur MADANI dalam bidang sastera dapat dilihat melalui karya yang mengangkat nilai kemanusiaan, keadilan sosial, kasih sayang dan tanggungjawab moral.

“Puisi, cerpen, novel dan drama sering digunakan untuk menyampaikan mesej kemanusiaan, mengkritik ketidakadilan dan menyeru ke arah perpaduan dan kesejahteraan sejagat,” ujarnya.

Kata Anwar, sastera membentuk pemikiran rakyat agar lebih beretika, empati dan prihatin terhadap isu masyarakat yang merupakan nilai teras tamadun yang MADANI.

“Sastera juga mencerminkan jiwa sesebuah tamadun, merekodkan emosi, perjuangan dan aspirasi manusia, sekali gus menawarkan pandangan tentang perkembangan moral dan intelek.

“Karya sastera yang bermutu berupaya memberikan inspirasi kepada empati, pemikiran kritis dan kreativiti, iaitu kualiti yang mengangkat masyarakat daripada kewujudan semata-mata kepada tamadun serta prinsip MADANI yang sebenar,” katanya.

Beliau menambah bahawa unsur MADANI dalam bidang bahasa dapat dilihat melalui penggunaan bahasa yang sopan, berhemah dan menghormati perbezaan pandangan.

Bahasa berfungsi menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan budaya, sekali gus memperkukuh perpaduan dan identiti nasional selaras dengan pembinaan masyarakat MADANI yang menolak perpecahan dan prejudis.

Sementara itu, program Syarahan Hikmah MADANI merupakan sebahagian daripada pengisian bagi penganjuran Mesyuarat Pemukiman Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tahun 2026.

Program syarahan itu turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pendidikan, YB Tuan Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad dan pengurusan tertinggi KPM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi