Oleh Zaidin Abadi
30 Januari 2023, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Pentas utama Bazar Buku Kedah 2023 yang bertempat di pasar raya Star Parade, Alor Setar, Kedah telah dibuka oleh Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA) dengan persembahan deklamasi puisi selama hampir satu jam.

Acara tersebut dikendalikan oleh Adi Muzaffar, Setiausaha SWADAYA, yang memperkenalkan matlamat dan peranan SWADAYA dalam arena seni dan budaya sebelum dua orang deklamator negeri Kedah menjayakan persembahan tersebut, iaitu Puzi Hadi dan Zaidin Abadi.

Kelainan persembahan pada kali ini ialah setiap deklamator memberikan penerangan ringkas tentang puisi yang akan dideklamasikan dengan matlamat supaya audiens dapat memahami isi dan maksud puisi tersebut terlebih dahulu sebelum menghayati deklamasi yang disampaikan.

Puzi Hadi, selaku Presiden SWADAYA telah memulakan persembahan dengan membaca fragmen puisi “Bujang” yang ditulisnya pada tahun 1974. Puisi tersebut berkisahkan tentang sejarah ketamadunan Kedah Tua dan candi yang terletak di tapak arkeologi Lembah Bujang. Selanjutnya, Zaidin Abadi mendeklamasikan puisi Bahasaku Berjiwa Bangsa yang memperkatakan tentang bahasa kebangsaan yang dipandang remeh oleh sesetengah ahli masyarakat. Puisi tersebut ditulis pada tahun 2013.

Puzi Hadi sedang mendeklamasikan puisi.

Selain itu, Adi Muzaffar juga turut mendeklamasikan sebuah puisi tulisannya sendiri bertajuk “Nota Al-Muhandis”. Puisi tersebut menceritakan tentang Yahya Ayyash, seorang jurutera yang merupakan ketua bahagian pembuatan senjata Briged Al-Qassam yang sangat digeruni oleh Israel. Puisi tersebut dipetik daripada antologi puisi Konflik Israel – Palestin: Gaza Genting terbitan SWADAYA.

Puzi Hadi, Presiden SWADAYA sedang menyampaikan cenderamata kepada penonton yang tampil mendeklamasikan puisi di atas pentas.

Persembahan deklamasi puisi tersebut telah menarik minat penonton yang mengunjungi Bazar Buku Kedah 2023 untuk turut serta mengambil bahagian secara spontan. Setiap penonton yang tampil mendeklamasikan puisi di pentas telah menerima cenderamata daripada SWADAYA.

Seorang calon guru dari IPG Kampus Darulaman sedang mendeklamasi puisi secara spontan.

Bazar Buku Kedah 2023 yang bermula pada 26 Januari hingga 30 Januari 2023 anjuran Persatuan Penyelidikan dan Pembudayaan Sejarah Negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis (PESKAP) telah disertai oleh beberapa penerbit buku terkemuka tanah air termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka dan UUM Press selain melibatkan pedagang buku tempatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.