Diterbitkan pada 10 Julai 2025, 07:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Benedict Samling meneliti jika pesta buku yang sering diadakan di negara kita masih relevan pada era digital sekarang.

Pesta buku turut mengangkat penulis (prestij dan berpengaruh), para intelektual dan penerbit kepada suatu bentuk penghargaan yang tidak boleh dinilai dengan angka semata-mata.

Ketika dunia sedang dan akan dikuasai oleh teknologi maklumat, apabila pengetahuan boleh diakses di hujung jari, timbul beberapa persoalan yang tidak salah untuk difikirkan: masih relevankah pesta buku? Adakah pesta buku sekadar sebuah pesta untuk mengembalikan nostalgia (umpama kenangan lalu mengusik jiwa) bagi golongan pencinta buku atau masih menjadi medan penting dalam usaha membina tamadun ilmu dan budaya membaca? Atau hanya sekadar aktiviti untuk memenuhi jadual tahunan persatuan tertentu? Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu meletakkan pemikiran kita pada kedudukan yang tertinggi agar dapat melihat pesta buku bukan hanya sebagai acara jual beli buku semata-mata, tetapi sebagai institusi sosial, budaya dan ekonomi yang memainkan peranan besar dalam pembentukan masyarakat berpengetahuan.

Sebelum mendalami persoalan “masih relevankah pesta buku?”, adalah lebih molek untuk kita menelusuri teori habitus yang dipelopori oleh ahli sosiologi Perancis Pierre Bourdieu. Dalam sosiologi kontemporari, Bourdieu muncul sebagai seorang pemikir yang menjambatani jurang antara institusi dengan struktur organisasi. Konsep habitus, yang merupakan tunjang dalam teori praktik Bourdieu, menolak pandangan struktur sosial mahupun voluntaristic agency. Sebaliknya, Bourdieu memperlihatkan bahawa tindakan manusia dibentuk oleh sistem perwatakan yang diwarisi dan diperoleh sepanjang kehidupan, lalu menjelma dalam bentuk pilihan, cita rasa dan tindakan harian yang kelihatan seperti “semula jadi”.

Dalam konteks ini, habitus menjadi kunci untuk memahami cara struktur sosial diberi nafas baharu secara tidak keterlaluan, dan bagaimana kedudukan kelas, pendidikan serta budaya menentukan perbezaan simbolik dalam masyarakat. Melalui teori habitus, beliau menjelaskan bahawa setiap ruang sosial mempunyai struktur dan dinamika yang menghasilkan nilai dan kuasa. Bourdieu mentakrifkan habitus sebagai:

Sistem perancangan kognitif dan motivasi yang diperoleh merupakan hasil penjelmaan pengalaman sosial masa lalu ke dalam tubuh dan minda, yang membimbing persepsi, pertimbangan dan tindakan.

Oleh hal yang demikian, habitus terbentuk dalam kontrak sosial dan tidak dihasilkan secara sedar. Hal ini bukan peraturan, tetapi kecenderungan. Hal ini juga bukan skrip tetap, tetapi logik tindakan yang fleksibel dan responsif. Habitus menyerap sejarah sosial ke dalam tubuh, menjadikan tindakan sosial seperti pilihan gaya hidup, pemilihan makanan, sikap terhadap pendidikan, dan cita rasa seni sebagai cerminan struktur kelas dan kuasa yang lebih luas. Dalam konteks pesta buku, Bourdieu membayangkan medan ini sebuah field of cultural production, iaitu medan berlangsungnya interaksi budaya antara penulis, pembaca, penerbit, pengkritik, dengan syarikat pencetakan.

Justeru, pesta buku telah membentuk habitus intelektual, iaitu tabiat dan kecenderungan budaya yang tidak hanya merujuk minat membaca, tetapi juga keinginan untuk berfikir secara kritikal, berdiskusi dan memberikan reaksi dalam wacana semasa. Hal ini menjadikan pesta buku bukan sekadar aktiviti perdagangan, tetapi satu lapangan simbolik bagi mereka yang menghargai kuasa ilmu. Pesta buku turut mengangkat penulis (prestij dan berpengaruh), para intelektual dan penerbit kepada suatu bentuk penghargaan yang tidak boleh dinilai dengan angka semata-mata.

Jelaslah, antara nilai utama pesta buku adalah untuk menjadi alat pendidikan alternatif dan tidak formal. Menurut Paulo Freire dalam Pedagogy of the Oppressed (1970), pendidikan seharusnya bersifat terbuka, boleh dibicarakan secara dua hala dan membebaskan, bukannya sekadar menanam fakta ke dalam minda pelajar atau memaksa masyarakat menelan kata-kata yang dikaburkan. Buktinya, pesta buku memanifestasikan konsep ini melalui ruang interaktif seperti perbincangan buku, wacana ilmiah, bengkel penulisan, dan sesi bersemuka dengan penulis.

Dalam ruang lingkup Malaysia dan rantau serumpunnya, budaya membaca sering kali dilihat lemas tertimbus dalam hal-hal seputar kehidupan. Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia membaca 24 naskhah buku dalam masa satu tahun, dan majoritinya berbentuk ringan dan hiburan. Rentetan daripada itu, pesta buku boleh bertindak sebagai pencetus kesedaran literasi, bukan sahaja literasi bacaan, tetapi juga literasi media, literasi sivik dan literasi kritikal yang merupakan elemen penting untuk membentuk masyarakat demokratik yang matang dalam pemikiran dan perbuatan.

Seterusnya, pesta buku dilihat bersifat inklusif, yakni sejajar dengan teori habitus. Tidak seperti persidangan akademik yang bersifat eksklusif, pesta buku terbuka kepada semua lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak sehingga warga emas, daripada pembaca santai sehingga pemikir profesional.

Hal ini menjadikan pesta buku sebagai contoh sebenar ruangan awam, seperti yang dikemukakan oleh Jürgen Habermas, yang membayangkan pesta buku sebuah lapangan warga masyarakat berkumpul untuk berbincang dan berdebat secara rasional dengan menjaga batas-batas pertuturan serta berlandaskan undang-undang. Habermas percaya bahawa komunikasi rasional dan argumentatif ialah asas demokrasi. Dalam ruang awam, individu tidak sekadar menyuarakan pendapat, tetapi berdialog secara terbuka dan penuh sedar dengan penulis mahupun penerbit atau dengan editor untuk mencari kebenaran bersama-sama.

Meskipun menghadapi pelbagai cabaran, pesta buku boleh diberikan nafas baharu dengan pendekatan baharu.

Dari perspektif ekonomi, pesta buku merupakan pemangkin penting dalam sirkulasi modal budaya dan ekonomi. Pesta buku menjadi platform utama bagi penerbit, penulis baharu dan perniagaan kecil untuk mendapatkan pendedahan. Di Malaysia, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) mencatatkan jutaan pengunjung setiap tahun, menjana jutaan ringgit hasil jualan buku dan aktiviti berkaitan.

Jabatan Perangkaan menyatakan bahawa ekonomi berlandaskan buku merupakan sebahagian daripada industri kreatif yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pesta buku menggalakkan pertumbuhan ekosistem ini dengan menyediakan platform untuk kolaborasi antara penulis, penerbit, penterjemah, dengan pendidik.

Namun begitu, harus diakui bahawa pesta buku juga menghadapi cabaran daripada pasaran digital. Buku dalam bentuk e-buku, podcast (audio siar) dan video pendidikan menawarkan kemudahan yang sukar ditandingi oleh bahan cetakan. Walau bagaimanapun, seperti yang dihujahkan oleh Marshall McLuhan dalam Understanding Media (1964), setiap medium membawa bentuk pengalaman yang berbeza. Pesta buku menawarkan tactile experience dan social engagement yang tidak dapat ditiru oleh peranti digital. Keadaan mengharunginya ialah suatu pengalaman budaya, bukan semata-mata transaksi maklumat.

Pesta buku juga merupakan medan pertemuan antara pelbagai bahasa, agama dan bangsa. Di Malaysia misalnya, pesta buku menjadi pentas penting untuk karya dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Tamil, dan bahasa ibunda etnik minoriti bertembung. Medannya menjadi medan dialog peradaban. Dalam erti lain, pesta buku bukan hanya menjual buku, tetapi merayakan pelbagai suara dalam masyarakat.

Di sinilah peranan pesta buku dalam pembentukan identiti nasional. Menurut Imagined Communities: Reflections on the Origin and Spread of Nationalism (1983), bangsa ialah komuniti bayangan yang terbentuk melalui medium cetak. Buku, majalah dan surat khabar membentuk naratif kebangsaan. Dalam konteks ini, pesta buku memperkukuh komuniti bayangan tersebut melalui perayaan kolektif terhadap naratif kebangsaan, serantau dan global.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan, terdapat sisi gelap pesta buku yang harus diakui. Sebahagian pesta buku terlalu menjurus kepada komersialisasi, iaitu buku dijual secara borong, digabung dengan produk kosmetik dan gajet elektronik, dan forum lebih bersifat hiburan daripada intelektual.

Menurut Theodor Adorno dan Max Horkheimer dalam Dialectic of Enlightenment, industri kreatif yang mendukung potensi kritis seni dan ilmu cenderung tunduk pada kehendak pasaran. Hal ini boleh berlaku dalam pesta buku, apabila buku dijadikan komoditi semata-mata, bukan alat perubahan sosial. Justeru, penganjur pesta buku perlu lebih bijak mengimbangi antara tuntutan komersial dengan tanggungjawab intelektual.

Meskipun menghadapi pelbagai cabaran, pesta buku boleh diberikan nafas baharu dengan pendekatan baharu. Pesta buku sedia ada perlu direka semula sebagai pesta ilmu untuk menggali pemikiran, bukan sekadar pesta diskaun. Pelibatan komuniti, penterjemahan, teknologi realiti maya, perbincangan pelbagai bahasa dan tema harus diperluas. Penulis muda, suara marginal dan isu-isu kontemporari seperti iklim, gender dan keadilan sosial perlu diberikan ruang dan pentas, sebaris dengan karya kreatif “popular”.

Pesta buku juga boleh mengambil ilham daripada gerakan perpustakaan bebas dan ruang kreatif yang menjadikan buku sebagai alat intervensi sosial. Dalam dunia yang menuntut kebenaran, kejujuran dan menolak berita palsu, pesta buku boleh menjadi simbol ketahanan wacana rasional dan kritis. Karya-karya yang dibincangkan bukan hanya tertumpu pada karya yang “bernilai komersial tinggi”, tetapi perlu juga dibincangkan karya yang membawa nilai sastera.

Justeru, perlukah pesta buku? Jawapannya bukan sekadar ya, tetapi sangat perlu. Dalam dunia yang semakin bising dengan ledakan maklumat, pesta buku menjadi ruang yang subur untuk menanam semula benih fikiran serta membajai pelbagai kemungkinan. Pesta buku bukan sahaja dilihat sekadar acara tahunan, tetapi sebuah institusi budaya, ekonomi dan pendidikan yang perlu dipertahankan dan diperkasakan. Apa yang perlu ialah imaginasi dan keberanian baharu untuk menjadikan pesta buku bukan sekadar pelengkap jadual tahunan, potong reben, meraikan buku dan penulis, tetapi perayaan akal dan ketamadunan manusia.

_________________________

Benedict Samling berasal dari Sarawak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Kimia dari Universiti Sains Malaysia. Karyanya pernah tersiar dalam Dewan Sastera, Tunas Cipta, Utusan Borneo, Dewan Kosmik, Dewan Budaya, dan SelangorKini. Memenangi beberapa sayembara penulisan kreatif termasuk cerpen STEM anjuran Unisel-DBP, cerpen kearifan tempatan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, cerpen kebudayaan anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak dan Majlis Seni Sarawak, serta cerpen legasi anjuran Pustaka Negeri Sarawak. Beliau menerima Hadiah Sastera Tunas Sarawak kategori cerpen dan puisi pada tahun 2023.

Kredit Foto: Freestocks/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi