Oleh Rasoul Manan
18 Januari 2023, 11:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur “Bicara Penulis: Selagi Pena Menari” anjuran Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Bahagian Pengembangan Sastera Kanak-Kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah dianjurkan, baru-baru ini.
Bertempat di Bilik Kiambang, APM, majlis ini menampilkan dua penulis kreatif iaitu Khairul Hafiz atau lebih dikenali dengan nama pena beliau, Serunai Faqir dan Dr. Ummi Hani Abu Hassan, seorang pensyarah sastera. Manakala, Dr. Abdul Muqit Muhammad bertindak sebagai moderator sewaktu majlis ini berlangsung.
Majlis ilmu ini bertujuan memberi pendedahan kepada golongan remaja dan pelajar universiti  tentang bidang penulisan kreatif dan sebagai wadah perkongsian pengalaman para panelis.
Pengamatan tajam seseorang penulis terhadap perkara kecil dalam mengolah penulisan sangat penting untuk menjadikan sebuah karya itu berjaya.  Menurut Khairul Hafiz, dirinya suka berangan dan duduk diam sambil memerhati kawasan persekitarannya yang turut mahir mengarang tanjak.
Serunai Faqir sedang berkongsi pengalaman beliau mendapatkan ilham untuk menulis sesuatu.
“Sebagai penulis, saya sentiasa memerhatikan objek yang berada di persekitaran dan saya akan gunakan objek tersebut untuk menjadi subjek di dalam karya saya”.

 

 

 

Khairul Hafiz atau Serunai Faqir bukanlah nama asing. Sehingga kini sudah menghasilkan 10 novel, 2 kumpulan cerpen, 11 antologi cerpen dan 1 kumpulan puisi. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Cerpen Berunsur Islam 2005,  Hadiah Sastera Johor Darul Takzim 2007, 2009, 2011, dan menerima Anugerah Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor dan Kumpulan Cerpen Terbaik 2011.

Berbeza dengan Khairul, Dr. Ummi Hani pula mengatakan antara sebab dirinya menjadi penulis adalah beliau mula menulis diari ketika umurnya menginjak 16 tahun. Namun, itu hanya tulisan untuk simpanan peribadi.

“Saya suka menulis diari, curahkan segala rasa yang terpendam di dalam diari tersebut”.
Dr. Ummi Hani bercerita bagaimana dengan menulis diari menjadikan beliau ketagih membaca dan menulis novel.
Dr. Ummi Hani Abu Hassan merupakan pensyarah kanan di Jabatan Kesusasteraan Melayu, APM, UM. Beliau mendapat pendidikan tingginya di UM dalam bidang Usuluddin dan Pengajian Media serta di Hankuk University of Foreign Studies Seoul dalam bidang Sastera Bandingan. Beliau telah menghasilkan 11 buah buku kreatif dan lebih 50 buah cerpen yang tersiar di pelbagai media. Pada tahun 2021, beliau telah memenangi Hadiah Penulisan Kreatif Mastera bagi kategori cerpen.
Perkongsian ilmu sebegini terutama dalam bidang sastera Melayu perlu diperbanyak dalam usaha menambah minat masyarakat untuk menjadi penulis dan menghasilkan karya yang berkualiti.
Para pelajar yang menghadiri tekun mendengar perkongsian daripada panelis.

Tonton program “Bicara Penulis: Selagi Pena Menari”  di pautan ini berikut:

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.