Oleh Ezura As'ad Azam
15 Disember 2022, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Hadiah Sastera Sabah diwujudkan bagi menilai dan memberikan penghargaan kepada karya penulis Sabah. Antara kategori yang dipertandingkan ialah novel kanak-kanak, novel remaja, novel dewasa, puisi eceran, kumpulan puisi, kumpulan cerpen, cerpen eceran, esei kritikan sastera separa ilmiah dan esei kritikan sastera ilmiah. Kepelbagaian kategori ini mencerminkan kesungguhan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah untuk mengangkat sastera Sabah.

Melalui penghargaan dan pengiktirafan sebegini, banyak manfaat akan diperoleh. Bukan sahaja daripada segi kepengarangan individu, malahan dalam misi pembinaan sebuah negeri yang maju rohani dan material. Industri penerbitan akan berkembang dan masyarakat juga akan disertai oleh golongan pengarang yang boleh membangunkan bangsa.

Pada tahun penilaian Hadiah Sastera Sabah 2020/2021, Panel Penilai memperakukan novel Cinta Ichiro di Lembah Padas (2021) yang ditulis oleh Saindah Kanalam terbitan DBP sebagai pemenang kategori Novel Dewasa. Novel ini bersifat melodrama yang menceritakan percintaan antara dua bangsa. Dengan menggunakan dua latar masa, iaitu zaman pemerintahan fasis Jepun dan latar zaman selepas kemerdekaan, isu-isu kemanusiaan padat diujarkan dalam novel ini.

Selain itu, isu berkaitan dengan penandaan imej wanita tradisional dan moden turut dipaparkan dalam novel ini. Kekuatan novel ini juga adalah pada pewarnaan isu setempat yang berkaitan dengan sosiobudaya masyarakat. Antaranya ialah adat resam, pandangan tentang alam kosmologi, adat istiadat dan kepercayaan. Keistimewaan novel ini juga terlihat kepada data tentang kearifan tempatan yang berkaitan dengan ilmu firasat dan ilmu perubatan tradisional yang bersumberkan alam.

Seterusnya, novel Gema di Lembah Ayangan (2021) karya Zainab Nawab Khan juga terbitan DBP memenangi kategori Novel Remaja. Novel ini membawa isu pelestarian alam yang berkaitan dengan ekspedisi penyelidikan untuk menjejaki gajah pigmi yang terancam kepupusan. Selain itu, novel ini menggerakkan sikap eksploratif remaja dan seterusnya membawa motif penjagaan dan pengekalan kesejahteraan alam.

Novel Rentak Tari Fatiha (2021) yang ditulis oleh Mohd. Firdaus Salam terbitan DBP pula memenangi kategori Novel Kanak-kanak. Novel ini mengetengahkan nilai budaya daripada perspektif kanak-kanak. Kekuatan novel ini ialah kesedaran budaya yang dianjurkan untuk disemai kepada kalangan kanak-kanak agar mencintai seni warisan dan menjadi generasi penerus kesenian. Novel ini juga memiliki kekuatan daripada segi pewarnaan setempat dan budaya tempatan.

Jasni Matlani memenangi kategori kumpulan cerpen menerusi bukunya iaitu Perempuan Aneh yang Meletupkan Diri di dalam Gelas (2020) terbitan Iris Publishing & Distributors. Kumpulan cerpen ini mempunyai kekuatan yang sekata dan dilihat mewakili sebuah aliran kepengarangan yang disusun khusus. Kekhususan ini menjadikan buku ini berbeza daripada kumpulan cerpen saingannya dan membangunkan kekuatan tersendiri.

Kumpulan puisi Dalam Mimpi yang Bermimpi (2021) nukilan Indra Jokina terbitan Persatuan Penulis Nasional (PENA) pula memenangi kategori Kumpulan Puisi. Buku puisi ini memuatkan sebanyak 40 buah puisi yang memperlihatkan gaya pengucapan yang segar dengan pemilihan kata-kata yang berseni. Antara kekuatan kumpulan puisi ini ialah kesepadanan wacana yang menghubungkan gaya bahasa dengan kesatuan idea. Kesan estetika dapat dirasai menerusi penggunaan bahasa figuratif yang berupaya menumbuhkan pencitraan baharu serta penggunaan metafora yang segar menimbulkan kesan estetik, sekali gus ekspresif. Selain itu, kumpulan puisi ini juga menawarkan ketaksaan makna menerusi penggemblengan unsur seperti sinikaliti, paradoks, dan perlambangan yang berupaya menggerakkan keseluruhan wacana.

Bagi kategori Cerpen Eceran, pemilihan dibuat berdasarkan pengolahan cerita yang menepati konsep sesebuah cerpen, kekemasan serta keindahan bahasa, isi cerita yang bermakna, kejituan teknik serta stail dalam penulisan, dan ketinggian pemikiran yang bergerak seiring dengan pertukangan seninya. Berikut merupakan cerpen eceran yang menerima Hadiah Sastera Sabah 2020/2021:

  1. “Cerita Burung yang Muncul di Jendela, Si Pemikat Burung dan Pemancing Aneh” oleh Jasni Matlani (Wadah, Oktober 2020)
  2. “Cik Manis Lawan Daim” oleh Ruhaini Matdarin (Wadah, Oktober 2020)
  3. “Senja Paitan” oleh Jamail Masador (Wadah, Disember 2020)
  4. “Bagaimana Aku Dapat Bersama Mayatmu” oleh Rita Robert Rawantas (Berita Harian, Februari 2020)
  5. “Aini Tag An, Kekasih 14 Hari” oleh Mohd Azrone Sarabatin (Wadah, Disember 2020)
  6. Hujung Tepoh” oleh Yatim Ahmad (Wadah, Jun 2020)
  7. Matanya Berkaca-kaca” oleh Welin Ebal (Wadah, Jun 2020)
  8. Kedai Buku di Negara Antah Ber-Entah” oleh Nur Fatina Muhammad (Tunas Cipta, Jun 2020)
  9. “Ladang Anggur dan Sekeping Kertas Putih” oleh Juri Durabi (Wadah, September 2020)
  10. “Jejak-jejak yang Tertinggal” oleh Kathirina Tati (Antologi Sayembara Penulisan Cerpen 50 Tahun GAPENA, 2020)

Bagi kategori Drama Pentas, naskhah yang mengungguli kategori tersebut ialah Dengarlah Cerita oleh DK Mastura Pg Ismail (Dewan Sastera, Julai dan Ogos 2021) yang menampilkan persoalan tentang perjuangan budaya tradisi yang semakin terhakis lantaran ketiadaan generasi pelapis. Skrip ini mengetengahkan usaha segelintir ahli masyarakat yang berjuang untuk melestarikan budaya tradisi yang menampilkan nilai keperibadian masyarakat.

Bagi kategori Puisi Eceran, kesemua puisi yang dinilai menampilkan kepelbagaian tema dan persoalan, juga gaya pengucapan yang beragam. Berikut merupakan puisi eceran yang menerima Hadiah Sastera Sabah 2020/2021:

  1. “Kota Kami Kekasih Terluka; Sepetang di Gat Prangin” oleh Rita Robert Rawantas (Wadah, Oktober 2020)
  2. “Lidah yang Dirindui Ular” oleh Norawi Haji Kata (Dewan Sastera, Julai 2021)
  3. “Melihat Mural di Tembok Jati Diri” oleh Saibil Madun (Utusan Borneo, 2021)
  4. “Tetamu” oleh Dayana Dian (Selangor Kini, Mac 2020)
  5. “Seperti Engkau” oleh Mabulmaddin Shaiddin (Media Cakra Bangsa, Jun 2021)
  6. “Pusara Adalah Ingatan” oleh Siti Alimah Kamarudin (Kek Hari Jadi, Penerbit Kata Pilar, 2021)
  7. “Lorong Umar Lorong ke Muthmainnah” oleh Siba Nita As (Utusan Borneo, September 2020)
  8. “Pusaka” oleh Hasyuda Abadi (Antologi Suara dari Satu Musim, Jom Sastera, Ogos 2020)
  9. “Perjalanan Merentas Waktu” oleh Jed Stellarose (Wahyu Merah Ungu, Penerbit Kata Pilar, 2020)
  10. “Perlawanan” oleh Ruhaini Matdarin (Wadah, Disember 2020)

Selanjutnya, esei kritikan yang ditulis oleh Norawi Haji Kata bertajuk “Kesepaduan Stail dengan Perutusan Agama dalam Kumpulan Puisi Nyanyian Kuda Sembrani” memenangi kategori Esei Kritikan Sastera Ilmiah. Esei tersebut disiarkan dalam Majalah e-Kreatif (September 2021). Secara umumnya, esei ini menganalisis Kumpulan Puisi Nyanyian Kuda Sembrani melalui penerapan teori estetika bersepadu. 

Secara keseluruhan, Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 mengekalkan momentum peningkatan mutu karya dalam genre penulisan kreatif. Dalam kategori eceran mahupun buku, perkembangan pengkaryaan penulis Sabah dalam karya kreatif berada pada aras yang baik. Penerima Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 akan diraikan dalam sebuah majlis yang dijangka diadakan pada suku tahun pertama 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.