Oleh Ezura As'ad Azam
15 Disember 2022, 11:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Haji Sukor Haji Usin atau nama penanya Hasyuda Abadi, telah dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Ke-3. Panel Penilai sebulat suara memilih beliau berdasarkan pencapaian karya dan kepengarangannya banyak memberi kesan kepada masyarakat. Beliau bahkan turut memberi sumbangan dalam gerakan kesusasteraan dan kebahasaan, bukan sahaja di negeri Sabah malah pada peringkat kebangsaan.

Kepengarangan Hasyuda Abadi sering dikaitkan dengan genre puisi. Sejak tersiarnya puisi beliau yang berjudul “Mengapa Oh Mengapa” dalam Sabah Times, bakatnya terus berkembang apabila sejumlah besar puisinya diterbitkan dalam pelbagai medium penerbitan. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan lebih daripada 400 buah puisi yang tersiar dalam akhbar dan majalah. Manakala, 8 buah kumpulan puisi perseorangan dan lebih daripada 60 buah antologi puisi, bersama-sama dengan pengarang lain, justeru tidaklah menghairankan jika dikatakan kekuatan Hasyuda Abadi ialah puisi.

Di samping itu, Hasyuda Abadi telah menghasilkan kira-kira 45 buah cerpen, 300 buah esei sastera dan 15 buah skrip drama pentas dan radio. Cerpen Hasyuda Abadi telah diterbitkan dalam beberapa antologi dan kumpulan cerpen, antaranya Rantau Utara (1989), Ibrah (2003), Sepasang Sayap Jelita (2004), Ega (2008) dan Aki Sompoton 2 (2008). Esei beliau diterbitkan dalam pelbagai buku dan prosiding, antaranya, Idealisme dan Intelektualiti dalam Karya (2005), Kumpulan Esei Kritikan Penulis Sabah (2010) dan Bahasa-Sastera Negara Serumpun dalam Perspektif Sejarah dan Masa Depan (2015). Skrip drama beliau diterbitkan secara bersama dalam buku Unduk Ngadau (2005). Hasyuda Abadi ternyata memiliki bakat kepengarangan yang cukup ampuh dalam pelbagai genre.

Sejak tahun 1990, beliau bersama-sama penulis-penulis kreatif di Sabah telah menyertai Ikatan Penulis Sabah (IPS). Hasyuda Abadi pernah memegang jawatan penting dalam IPS, iaitu sebagai Ketua Dua pada tahun 1992 dan kemudiannya menjadi Ketua Satu bermula tahun 1999 sehingga 2019. Dalam tempoh 20 tahun menerajui persatuan, pelbagai kegiatan persuratan dilaksanakan dengan jalinan kerjasama agensi lain, antaranya Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Kegiatan pengembangan dan pemasyarakatan sastera digerakkan oleh beliau dengan penuh iltizam mencakupi pelbagai bengkel penataran dan penulisan, wacana, pertemuan sastera dan juga penerbitan. Suatu pencapaian yang penting IPS semasa kepimpinannya ialah tertubuhnya Institut Penilaian Sastera atau INPES pada tahun 2001. INPES ditubuhkan di bawah Amanah Raya Berhad (ARB). Misi INPES semasa penubuhannya antaranya memberikan penilaian terhadap karya dan penulis serta membuat kajian ilmiah mengenai budaya, bahasa dan sastera.

Hasyuda Abadi

Berdasarkan khidmatnya yang panjang dan cemerlang di IPS, beliau diangkat sebagai Ahli Kehormat dan Pengerusi Majlis Penasihat. Beliau juga merupakan ahli seumur hidup Badan Bahasa dan Sastera Sabah.

Kejayaan Hasyuda Abadi meraih hadiah sastera peringkat kebangsaan, seperti Hadiah Sastera Malaysia yang kemudian diberi nama baharu Hadiah Sastera Perdana Malaysia, menyerlahkan keunggulannya sebagai karyawan yang berdiri sama tinggi dengan pengarang-pengarang nasional yang lain. Sepanjang penglibatan Hasyuda Abadi dalam ranah sastera, kecemerlangan pencapaian karyanya dalam pelbagai kegiatan pengiktirafan sastera membuktikan daya pengucapan seninya yang bermutu tinggi. Empat tahun selepas tersiar puisi pertamanya pada tahun 1980, puisi “Salam Buat Kekasih” memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada tahun penilaian 1984/1985. Pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang penulis muda ketika itu. Kemenangan ini disusuli pula dengan kejayaan puisinya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004/2005 melalui puisinya “Tsunami Bukan Hanya Namamu”. Pencapaian ini turut diraih melalui puisinya “Pada Hari-hari yang Berharga” dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun penilaian 2017/2018.

Tokoh ini memiliki dimensi kreativiti puisi yang menyeluruh, Justeru, selayaknyalah Hasyuda Abadi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Ke-3. Majlis penganugerahan bagi pengiktirafan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan diuruskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah ini dijangka akan diadakan pada suku tahun pertama 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.