14 Disember 2022, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nyawa di Hujung Pedang merupakan sebuah novel ringkas berlatarbelakangkan suasana ketika Tanah Melayu diduduki Jepun. Nur Muhammad menyorot kembali kisah kejam ini dengan melihat kesedihan dan pilu tindakan balasan tentera Jepun terhadap Yazid  Ahmad (watak utama).

Sebagai kenang-kenangan kepada sahabatku yang dikasihi, Allahyarham Yazid Ahmad yangmenjadi korban Jepun kerana mempertahankan tanah air.” – Ahmad Murad Nasaruddin.

Nyawa di Hujung Pedang merupakan kisah benar Yazid Ahmad, seorang pemuda yang telah melalui kesengsaraan dan keperitan zaman kependudukan Jepun di Tanah Melayu. Novel ini telah mendapat perhatian pembaca sehingga telah diulang cetak sebanyak tujuh kali, iaitu dari tahun 1975 hingga tahun 1993. Menariknya, karya ini turut diterbitkan oleh ITBM pada tahun 2011 dan cetakannya dibuat secara dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Korea. Asalnya, novel ini merupakan naskhah pemenang pertama dalam Peraduan mengarang cerita anjuran Jabatan Penerangan Tanah Melayu pada tahun 1946.

Mengapakah karya seumpama ini penting menjadi bacaan orang muda? Salah satunya, bukan sekadar memberi pengajaran dan panduan tetapi yang lebih penting adalah  membina identiti rakyat yang sayangkan negara, serta memperlihatkan nilai kesetiaan yang amat tinggi terhadap negara. Sebagai contoh, walaupun diugut, didesak, diseksa, Yazid Ahmad tidak sekalipun mendedahkan nama-nama individu yang berjuang dalam gerakan anti-Jepun. Biarpun, dia sedar bahawa hal ini akan membawa kesan buruk terhadap dirinya.  Pengorbanan sebegini terlalu mahal harganya.

Dengan membaca novel ini, kita akan melihat betapa kejamnya pihak musuh mendera penduduk ketika itu. Yazid dan mangsa lain dalam tahanan hanya diberikan makan sekali sahaja dalam sehari, iaitu berbekalkan sekepal nasi sebesar sebiji bola tenis. Mereka direnjat elektrik, dipukul pada bahagian anggota badan dan dibakar jari kaki serta tangan. Lebih kejam, ada mangsa penahanan ditoreh dengan senjata tajam pada bahagian anggota badan, dipaksa menelan air sehingga penuh, dan sebagainya. Keadaan penjara pula amatlah kotor dan dipenuhi dengan najis.

Seperti mana yang diceritakan dalam buku ini, halaman 51:

Lebih menjijikkan lagi, tong-tong najis terdapat di dalam bilik itu juga. Najisnya melempah keluar. Baunya amat busuk, hancing dan meloyakan.

Tercampaknya Yazid ke “sangkar jijik” berpunca fitnah yang dilemparkan oleh tali barut Jepun, yang dahulunya merupakan rakan karib sejak remaja lagi. Said, seorang yang bekerja di bawah pentadbiran Jepun, iaitu sebagai pemberi maklumat atau informer kepada pihak Jepun. Saat kekejaman Jepun di Tanah Melayu, telah memunculkan gerakan atau pasukan anti-Jepun, dan kebangkitan mereka telah tersebar luas di serata tempat.

Kelompok ini berjuang berasaskan matlamat untuk membela nasib semua bangsa yang teraniaya. Bukan hanya bangsa Cina yang terlibat dalam gerakan anti-Jepun, malah orang Melayu juga sebahagiannya turut serta mengganggotai gerakan tersebut. Yaakub, salah seorang yang menjadi pasukan hadapan atau pemimpin dalam perjuangan menentang kerakusan tentera Jepun.

Namun begitu, Yazid dan beberapa orang pemuda tidaklah menyertai dan menganggotai pasukan anti-Jepun, walaupun dia tahu asas perjuangan itu mempunyai matlamat yang baik. Pilihan untuk tidak menyertai gerakan itu bukanlah bermakna menolak kesungguhan mereka menegakkan keadilan secara gerila, tetapi melalui gaya ini, terjaminnya keselamatan nyawa anak kecil, wanita dan orang-orang tua. Dia meletakkan keselamatan umum sebagai kaedah dan cara yang paling baik. Namun, mereka tetap memberi sokongan kepada perjuangan gerakan tersebut, termasuklah bantuan makanan, maklumat serta duit bagi tujuan pembelian senjata.

Hal ini dapat dilihat melalui kata Yazid di hadapan penduduk kampung dan gerakan anti Jepun (Yaakub, Ah Soo dan Ah Keng):

Sekiranya MP dan polis atau tentera Jepun tahu penduduk kampung ini jadi ahli gerakan anti-Jepun, bermakna nyawa kita berada dalam bahaya. Rumah kita akan dibakar oleh Jepun. Kita akan ditembak dan ditikam dengan benet. Mayat kita akan dihumban ke dalam api. Jadi saya harap saudara Yaakub dan teman-temannya tak akan berkecil hati jika saya cadangkan penduduk kampung ini yang cintakan aman damai, dibebaskan daripada menjadi ahli gerakan anti-Jepun. Tentang yuran, akan kami bayar pada tiap bulan asalkan keamanan kampung ini terjamin.

(Nyawa di Hujung Pedang, 1993:20)

Penjajahan Jepun pada waktu itu juga bukan sahaja dilihat kepada fizikal dan emosi,  tetapi juga menyentuh kesucian agama Islam. Antaranya, penyembelihan haiwan haram (khinzir) di dalam kawasan rumah ibadat (masjid). Malahan undang-undang yang ditetapkan oleh Jepun bahawa solat berjemaah untuk diadakan di masjid dan surau juga tidak dibenarkan. Bahkan bahasa dan budaya mereka juga diajar, dan hal ini menjadikan penekanan penting  buat penduduk untuk diikuti.

Jika Jepun menang dalam peperangan ini, bala besar akan menimpa bangsa Melayu. Agama Islam akan ternoda. Adat resam dan bahasa Melayu juga akan musnah.

Kata -kata akhir Yazid sebelum dirinya disumbat ke dalam sangkar berdarah, ciptaan tentera Jepun yang amat kejam.

Akhir sekali, bab yang mengesankan jiwa dan emosi pembaca adalah sewaktu Yazid akan dikenakan hukuman mati oleh Yosyimura. Yosyimura seorang tentera berpangkat sarjan, memiliki sifat yang kejam dan tiada perikemanusiaan. Hujung pedang yang bakal memisahkan kepala dari badannya, tercerai dan tergolek ke dalam lubang!

Pada 24 Mei 1946, Yosyimura bakal digantung sampai mati. Benarkah?

_________________________

Nor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan fauna. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo. Beliau pernah menjadi editor di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.