Oleh Nazri Hussein
5 Mac 2024, 13:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perang mendorong manusia menghasilkan karya kemanusiaan penuh empati. Hal ini yang dicapai oleh Allahyarhamah Hiba Abu Nada, pengarang Palestin yang terkorban akibat serangan udara tentera Israel pada 20 Oktober 2023.

Hiba Abu Nada menjadi ikon sastera di bumi Arab yang sedang bergolak. Puisi dan cerpen tulisannya dinanti-nantikan oleh setiap orang kerana wacana puitis dambaannya terasa menyentuh perasaan sesiapa sahaja yang pernah menjadi mangsa peperangan.

Salah satu novel nukilan Hiba Abu Nada atau Hiba Kamal Abu Nadal yang berjudul Oxygen Isn’t for the Dead diberi pengiktirafan yang besar apabila merangkul kategori penghargaan Sharjah sebagai novel kedua terbaik di dunia Arab pada tahun 2017. Sharjah Award for Arab Creativity menguatkan iltizam untuk wanita ini terus menerokai dunia kesusasteraan. Tidak cukup dengan itu, suara kemanusiaan yang dilaungkan oleh pengarang berketurunan Gaza ini dalam cerpen-cerpen karangannya turut mendapat perhatian sarjana sastera sehingga terpilih merangkul anugerah pertama untuk kategori cerpen di tanah kelahiran moyangnya di Palestin.

Hiba Abu Nada menjadi ikon sastera di bumi Arab yang sedang bergolak. Puisi dan cerpen tulisannya dinanti-nantikan oleh setiap orang kerana wacana puitis dambaannya terasa menyentuh perasaan sesiapa sahaja yang pernah menjadi mangsa peperangan.

Meskipun pada usia yang masih muda, wanita Arab ini gigih menterjemahkan naratif sebagai simbol kesedihan, kelukaan dan penderitaan dirinya dan keluarga yang terpaksa menjadi pelarian di bumi asing. Malah, pengalaman duka itu diterjemahkan ke dalam puisi, cerpen dan novel, termasuklah melakar kembali situasi tegang yang berlaku angkara pencerobohan tentera Zionis di tanah Baitulmuqaddis demi melampiaskan nafsu untuk merampas Masjid Al-Aqsa yang merupakan tempat suci ketiga umat Islam.

Ketelitian dan kecaknaan Hiba Abu Nada dalam menghasilkan puisi syahdu yang menyentuh kalbu dapat dirasai melalui sebuah karya beliau yang berikut:

Langit malam begitu gelap
Kecuali cahaya dari misil
Begitu sunyi – kecuali suara ledakan bom
Begitu menakutkan
Kecuali ketenteraman dari doa
Begitu gelap
Kecuali cahaya dari para syuhada.

Rangkap-rangkap ini dilantunkan di paparan media sosial hanya beberapa ketika sebelum serangan tentera Israel terhadap penduduk Palestin di wilayah Khan Yunis, Genting Gaza tanggal 20 Oktober 2023.

Roket dan peluru berpandu meranapkan apa-apa sahaja, baik manusia atau bangunan. Jasad Hiba Kamal ditemui oleh pasukan penyelamat di bawah runtuhan kediamannya yang ranap bersama-sama beberapa orang ahli keluarga, termasuk anak tunggalnya. Kematian pengarang prolifik muda ini ditangisi bukan sahaja oleh peminat sastera di bumi Arab, tetapi dirasai oleh seluruh warga pencinta keamanan di seluruh pelosok dunia. Pemergiannya yang terlalu cepat sungguh memberikan kesan kepada dunia sastera, baik di timur atau di barat. Hiba Abu Nada dianggap sebagai simbol cahaya bintang yang menyinari alam sastera dengan wadah sastera yang prolifik dan matang.

Dalam sajak yang lain, Hiba Abu Nada mengungkapkan perasaan terhadap natijah perang kepada warga yang dibunuh kejam dengan lakaran kata buat syahadah yang terkorban.

Kami berada di langit yang paling atas
Kami dirikan bandar kedua di sana
Para doktor tanpa pesakit dan tanpa pembunuhan
Para guru tanpa gerombolan dan hingar bingar
para pelajar
keluarga yang baru tanpa kesakitan dan tanpa kesedihan
para wartawan melaporkan tentang syurga
para penyair yang mendeklamasikan tentang
cinta abadi
Mereka semua dari Gaza
di syurga terdapat Gaza yang baru
tanpa sekatan dalam apa jua bentuk pun.

Hiba Abu Nada tahu yang usia hidupnya tidak akan panjang. Nyawanya di tanah terancam itu seperti berada di hujung tanduk. Sebagai warga Gaza, bila-bila masa sahaja bedilan roket tentera Israel akan meledak di mana-mana sahaja. Justeru, beliau memilih untuk menukilkan puisi tentang perjalanan roh para syuhada yang diangkat oleh Allah ke sebuah wilayah terindah di alam baharu. Kematian paling indah tiada lain hanyalah syahid di jalan Allah.

Pada 20 Oktober tahun lalu, dalam usia yang masih muda, berakhirlah kembara hidup wanita yang sangat mencintai dunia kepengarangan dan kesusasteraan ini. Sajak dan cerpen lakarannya akan terus dikenang menjadi tatapan semua orang. Novel tulisan syuhada ini akan kekal memberi inspirasi kepada dunia, betapa kekejaman dan kezaliman wajar dihentikan dengan cara apa-apa sekali pun. Seluruh umat manusia perlu bersatu dalam solidariti, demi memastikan keamanan dan kemakmuran terus kekal terpelihara. Sastera perlu menjadi alat utama untuk suara keramat demi legasi kesejahteraan dan kemanusiaan sejagat.

Naratif perang dalam setiap karya penulis berdarah Palestin ini sewajarnya ditekuni dan dikaji oleh para sarjana dan intelektual sastera. Tema yang ditanganinya bukan sekadar ilusi atau khayalan pengarang, melainkan kisah dan pengalaman sebenar yang dilaluinya, sebelum diterjemahkan ke dalam bait-bait kreatif dan puitis. Pertubuhan sastera dan agensi perbukuan di seluruh dunia sewajarnya mengutuk pembunuhan terhadap Hiba Abu Nada. Beliau seorang guru, pendidik, sukarelawan, serta karyawan sastera yang sedang meningkat naik di persada kepengarangan kreatif.

Puisi dan tulisan syuhada Hiba Abu Nada akan kekal sebagai santapan batin. Bait-bait pilihannya seperti diksi cinta. Kegelapan malam, cahaya dan doanya mengungkapkan makna yang luar biasa, menjadi suatu hasil proses kepengarangan yang kekal magis dan cukup unik. Semoga Allah mengangkat martabat insan tulus ini pada taraf yang tinggi. Semoga karya dan impiannya menjadi inspirasi untuk orang lain melakar cita-cita damai manusiawi yang seterusnya.

Baca Bahagian Pertama Refleksi |

_________________________

Nazri Hussein atau Husna Nazri lahir di Kemaman, Terengganu pada 12 September 1966. Setelah tiga dekad berkarya, beliau telah menghasilkan sembilan buah novel, lima kumpulan cerpen serta lima kumpulan puisi persendirian. Beberapa buah buku beliau telah berjaya merangkul pelbagai anugerah penulisan peringkat negeri dan kebangsaan. Antara anugerah yang diterimanya termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Darul Iman, dan Hadiah Sayembara Novel Sejarah DBP/PSM. Mutakhir, beliau berjaya merangkul Hadiah Utama Sayembara Penulisan KLWBC 2020 bagi buku puisi dengan judul Ratib Fakir dan Qasidah Zikir Terakhir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.