18 Februari 2024, 08:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Malam Puisi Kemanusiaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) 2024 yang bergema di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) malam tadi telah memberikan pengalaman yang sangat bermakna kepada para penonton dengan lantunan puisi oleh barisan pemuisi daripada pelbagai latar belakang serta organisasi dari dalam dan luar negara dalam menyampaikan pesanan dan mengangkat nilai kemanusiaan di sebalik semua kesulitan yang berlaku di serata dunia akibat krisis kemanusiaan.

Program anjuran Bulan Sabit Merah Malaysia dengan kerjasama DBP itu telah berjaya mengetengahkan dan mengangkat nilai luhur kemanusiaan menerusi kata-kata, ungkapan hati dan perasaan yang diekspresikan dalam bentuk karya sastera.

“Puisi ialah bahasa sejagat yang bercakap terus ke hati, mengatasi halangan dan mengingatkan kita tentang kemanusiaan dan berfungsi sebagai jambatan yang merentangi jurang antara budaya, bahasa dan pengalaman,” kata Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia (YTM) Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah merangkap Pengerusi Kebangsaan BSMM sebagai pembuka bicara program berkenaan.

Ucapan alu-aluan oleh Tunku Temenggong Kedah, YTM Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah merangkap Pengerusi Kebangsaan BSMM.

Dalam ucapannya juga, YTM Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah menyatakan bahawa puisi yang dideklamasikan oleh para pemuisi memberikan inspirasi bagi membina dunia yang lebih adil, aman dan inklusif untuk generasi akan datang dan berperanan sebagai pemangkin perubahan, sekali gus berusaha untuk melahirkan masyarakat yang lebih penyayang.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek merangkap Naib Presiden BSMM ketika merasmikan program Malam Puisi Kemanusiaan BSMM 2024 pula berkata bahawa puisi merupakan karya sastera yang indah dan dijadikan sebagai bahan perenungan kehidupan kerana di dalamnya terkandung kata-kata yang penuh makna.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek ketika menyampaikan ucapan perasmian program Malam Puisi Kemanusiaan BSMM 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Menurut beliau, mesej kemanusiaan yang diekspresikan melalui kesusasteraan dapat membuka ruang dalam pengantarabangsaan kesusasteraan Melayu.

Beliau menambah,

Manusia yang hidup di dunia ini memerlukan bahasa untuk meneruskan kelangsungan hidup dan bahasalah yang menjadi medium yang menunjukkan akal budi dan pemikiran seseorang individu.

Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan bahawa elemen kesusasteraan adalah antara faktor utama dalam pembinaan kekuatan jiwa bangsa yang terserlah daripada pertimbangan pemikiran logik akal dan emosi hati nurani.

Program Malam Puisi Kemanusiaan BSMM 2024 dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek sambil disaksikan oleh Tunku Temenggong Kedah, YTM Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan tetamu kehormat.

Program yang bertemakan “Melangkaui Nilai Kemanusiaan” itu menampilkan 20 orang pemuisi dan menyampaikan pelbagai puisi yang membawa kisah-kisah unik, suara-suara yang penting dan visi-visi yang membangkitkan semangat kemanusiaan berlandaskan tujuh prinsip asas Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, iaitu kemanusiaan, kesaksamaan, keberkecualian, kebebasan, khidmat sukarela, bersatu dan kesejagatan.

 

Sebahagian daripada pemuisi yang mendeklamasikan puisi dalam program Malam Puisi Kemanusiaan BSMM 2024.
Para pemuisi ketika mendeklamasikan puisi masing-masing dalam program Malam Puisi Kemanusiaan BSMM 2024.
Sajak “Duka Gaza“ disampaikan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dengan penuh penghayatan.
Sasterawan Negara, YBrs. Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh mendeklamasikan puisi beliau yang bertajuk “Balikkanlah Halaman”.
Sasterawan Negara merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan mengakhiri persembahan puisi dalam program Malam Puisi Kemanusiaan BSMM 2024 dengan mendeklamasikan puisi yang bertajuk “Ria dan Lara Wilayah Ini”.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia merangkap Pengerusi Malam Puisi Kemanusiaan BSMM, YBhg. Dato’ Sri Suhaimi Hj Yacob; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohammed; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunus; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Encik Sharrul Rizal Hashim; Ahli Majlis Tertinggi Bulan Sabit Merah Malaysia; ahli jawatankuasa program Malam Puisi Kemanusian BSMM 2024; rakan media dan tetamu undangan lain.

Tetamu kehormat bergambar bersama-sama para hadirin yang hadir dalam program Malam Puisi Kemanusiaan BSMM 2024 sebagai tanda kenang-kenangan.

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.