Oleh Nazri Hussein
15 Februari 2024, 14:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perang mendorong manusia menghasilkan karya kemanusiaan penuh empati. Hal ini yang dicapai oleh Allahyarhamah Hiba Abu Nada, pengarang Palestin yang terkorban akibat serangan udara tentera Israel pada 20 Oktober 2023.

Hiba Abu Nada atau Hiba Kamal Abu Nadal merupakan seorang anak pelarian Palestin yang bermastautin di Arab Saudi selepas datuk dan neneknya memilih untuk meninggalkan Kem Beit Jirja sebaik termeterainya Pengisytiharan Balfour.

Perang merupakan naratif yang dipenuhi dengan kesakitan, penderitaan dan kesengsaraan yang sangat dahsyat. Malapetaka bagi sesebuah peperangan ialah kehancuran dan kemusnahan bangunan serta tempat kediaman. Kematian yang tidak terhitung jumlahnya. Mangsa-mangsa peperangan akan sentiasa hidup dalam ketakutan dan kesedihan disebabkan kehilangan ahli keluarga dan saudara-mara.

Hanya tulisan dan kata-kata akan kekal menjadi naratif duka lara tatkala meratapi kematian ahli keluarga, kehilangan harta benda, apatah lagi tanah air yang diwarisi sekian lama yang akhirnya dirampas oleh pihak lain. Para karyawan dan sasterawan meletakkan nilai yang besar pada peperangan sebagai episod drama panjang yang dipenuhi oleh kesenduan dan kesedihan, sehingga terhasilnya pelbagai karya dalam genre seni, seperti nukilan sastera, lukisan atau replika.

Perang Dunia Pertama dan Kedua merupakan ibu pada segala persengketaan maha dahsyat, yang melibatkan banyak kuasa besar dunia pada era silam. Maka, tidak dinafikan, dua pergolakan besar ini telah mengorbankan jutaan manusia, sama ada menjadi mangsa bedilan peluru atau diserang oleh jangkitan penyakit kerana ketiadaan rawatan perubatan. Tanggal 6 Ogos dan 9 Ogos 1945 menjadi titik hitam kepada penduduk Hiroshima dan Nagasaki apabila wilayah mereka menjadi lokasi pengguguran bom atom nuklear paling dahsyat dalam sejarah peperangan dunia. Sejarah menyaksikan negara kuasa Asia itu terpaksa melalui tempoh yang panjang untuk memulihkan kembali tanah air yang musnah teruk.

Seorang penyair Inggeris pada abad ke-17 pernah menukilkan sebuah puisi tentang naratif peperangan yang berjudul “For Whom the Bell Tolls” (1624). Kata-kata sayu penyair John Donne (1571–1631) ini berbunyi:

 No man is an island,
Entire of itself.
Everyman is a piece of the continent,
A part of the main.
If a clod be washed away by the sea,
Europe is the less.
As well as if a promontory were.
As well as if a manor of thy friend’s or of thine own.
Were: any men death diminishes me,
Because I am involved in mankind
and therefore never send to know
For whom the bell tolls,
It tolls for thee.

Buku dokumentasi peristiwa bersejarah tulisan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman berjudul 13 Mei: Sebelum dan Selepas memulakan prakata yang dipetik daripada terjemahan puisi klasik ini dalam bahasa Melayu. Kata-kata menarik daripada penyair Inggeris abad silam itu mengungkap bahawa nilai sebuah kemanusiaan sangat berharga bagi setiap insan yang hidup bermasyarakat. Peperangan bukan sahaja membunuh wadah empati dan ihsan, malah menambahkan kebencian dan dendam kesumat yang tiada kesudahan.

John Donne menjelaskannya secara terperinci dalam rangkap-rangkap yang indah: “Tiada manusia ibarat pulau/terpencil sendirian/setiap orang secebis dari benua, Sebahagian daripada keseluruhan/kematian sesiapa pun, memperkecil harga diriku/kerana aku sebahagian daripada kemanusiaan/dan kerana itu/janganlah bertanya untuk siapa loceng kematian berbunyi/loceng kematian itu berbunyi untukmu.

Sebuah peperangan akan menghasilkan ribuan puisi, cerpen, prosa, atau novel daripada hasil tangan seseorang penyair, karyawan dan seniman yang prihatin dan peka terhadap kemanusiaan sejagat. Hasil-hasil karya seni inilah yang akhirnya dapat ditatap dan ditekuni oleh generasi akan datang yang terkesan dengan penindasan, penganiayaan, kezaliman, dan kekejaman yang tercipta daripada siri-siri peperangan.

Hal ini jugalah yang berlaku di bumi Palestin yang sedang bergolak selepas bertahun-tahun ditindas oleh tentera Israel Zionis. Pergolakan di wilayah Arab antara penduduk Palestin dengan tentera Zionis bagaikan tiada kesudahan apabila kuasa-kuasa besar dunia turut campur tangan dengan membekalkan senjata kepada tentera Israel.

Saat dan ketika ini, semua perhatian masih tertumpu pada konflik kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza dan beberapa wilayah bergolak di Palestin, seperti di bumi Rafah, Ramallah dan Hebron. Namun begitu, di wilayah semenanjung Gazalah yang dianggap paling tragis kerana pembunuhan secara besar-besaran terhadap golongan kanak-kanak, bayi, wanita dan orang tua. Pusat perubatan dan hospital menjadi lokasi kezaliman tentera Israel, yang menyasarkan para pesakit dalam siri serangan udara yang berterusan tanpa henti.

Hiba Abu Nada atau Hiba Kamal Abu Nadal merupakan seorang anak pelarian Palestin yang bermastautin di Arab Saudi selepas datuk dan neneknya memilih untuk meninggalkan Kem Beit Jirja sebaik termeterainya Pengisytiharan Balfour yang mengiktiraf kewujudan negara Israel di bumi Palestin pada tahun 1948.

Perang Tiga Tahun antara Palestin dengan Israel bukan sahaja membawa kerosakan dan kemusnahan bangunan dan tempat kediaman, tetapi turut melupuskan nama-nama warisan orang Arab yang ditukar kepada nama tempat berbahasa Ibrani selepas pendudukan Yahudi. Antaranya termasuklah Acre, Haifa, Safad Ashkelon, Tiberias, dan banyak lagi wilayah Arab yang diduduki secara haram. Kem Beit Jirja termasuk salah satu daripada wilayah yang diterokai oleh pendatang haram Yahudi sehingga memaksa penduduk asal yang memilih untuk mencari lokasi baharu yang lebih selamat demi kelangsungan hidup.

Hiba Abu Nada lahir pada 24 Jun 1991 di Arab Saudi. Ibu bapanya sangat mengutamakan pendidikan demi membina kecemerlangan dalam bidang akademik. Justeru, beliau diberikan pendidikan formal pada peringkat rendah dan menengah. Anak gadis yang kekal dengan perwatakan Muslimah ini memilih bidang biokimia dan pemulihan pendidikan sebagai bidang akademiknya ketika menyambung pendidikannya di pusat pengajian tinggi.

Sejarah dan susur galur keluarganya tidak sesekali meminggirkan cita-cita dan impian untuk bergelar ahli akademik yang berjaya. Gadis cantik berperwatakan menarik ini memilih untuk mengungguli ilmu pengetahuan setinggi mungkin pada era maklumat menjadi sangat berguna kepada generasi moden.

Di Arab Saudi, Hiba Kamal menjalani rutin hidup sebagaimana anak keluarga Palestin lain yang diberikan taraf pemastautin untuk menerima pelbagai kemudahan pembelajaran yang disediakan. Penguasaan hebatnya dalam bahasa Inggeris dan Arab membolehkan gadis ini meneruskan pengajian dalam bidang biokimia di Universiti Islam Gaza sebelum menyambung pengajian Sarjana di Universiti Helwan di Mesir dalam bidang pemakanan klinikal.

Selepas menamatkan pengajian, beliau memilih untuk berkhidmat sebagai guru yang mendidik anak-anak pelarian Palestin di khemah pelarian demi memastikan pendidikan anak-anak Palestin tidak terabai. Pada waktu inilah, perawan pencinta sastera ini mula menghasilkan karya-karya indah dalam bentuk sajak dan prosa yang menginterpretasikan wacana perang dan perjuangan leluhur di bumi bergolak Palestin.

Beliau mengutuskan seni karyanya ke banyak jurnal antarabangsa dengan harapan suara kemanusiaan itu didengar oleh semua orang. Selain puisi, Hiba Abu Nada tidak terlepas untuk mengasah seni tulisannya dengan menghasilkan genre novel.

Baca Bahagian Kedua Refleksi |

_________________________

Nazri Hussein atau Husna Nazri lahir di Kemaman, Terengganu pada 12 September 1966. Setelah tiga dekad berkarya, beliau telah menghasilkan sembilan buah novel, lima kumpulan cerpen serta lima kumpulan puisi persendirian. Beberapa buah buku beliau telah berjaya merangkul pelbagai anugerah penulisan peringkat negeri dan kebangsaan. Antara anugerah yang diterimanya termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Darul Iman, dan Hadiah Sayembara Novel Sejarah DBP/PSM. Mutakhir, beliau berjaya merangkul Hadiah Utama Sayembara Penulisan KLWBC 2020 bagi buku puisi dengan judul Ratib Fakir dan Qasidah Zikir Terakhir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.