Oleh Asrar Ab Latif
5 Disember 2022, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kundasang – “Dalam konteks negara yang bertutur dalam bahasa Melayu, kita ingin mengangkat sastera dan tradisi Sabah setinggi-tingginya ke peringkat kebangsaan dan seterusnya ke peringkat antarabangsa”, ujar Dr. Azlan Shafie @ Raymond Majumah, Presiden Kelab Penulis Kadazan Dusun Murut Rungus Sabah Malaysia (MOMOGUNSIA) dalam ucapan alu-aluannya bersempena dengan Seminar Penulis Etnik Serantau 3.0 pada 3 Disember lepas di Fen Homestay, Kundasang.

Encik Rusdi Awang, Timbalan Pengarah I, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) yang mewakili Pengarah DBPCS menjelaskan bahawa seminar ini diadakan bertujuan mencungkil bakat serta memberi pendedahan dan peluang kepada para penulis menjadi penceramah dan pembentang kertas kerja. Menurutnya, impak seminar tersebut bersifat serantau walaupun dibuat secara kecil-kecilan.

Dalam seminar ini, sebanyak tujuh pemakalah dari Indonesia, Brunei dan Malaysia membentangkan kertas kerja masing-masing. Sesi pembentangan dimulakan oleh Dr. Romzi Ationg yang membahaskan kertas kerja bertajuk “Unsur Politik dan Pentadbiran dalam Pesta Magahau”. Selain beliau, antara yang turut membentangkan kajian ialah Presiden MOMOGUNSIA, Dr Azlan Shafie (Etnik Bonggi dan Tradisinya), Dr. Sri Ningsih Sukirman dari Indonesia (Tarian Bedhaya Ketawang Keraton Kesukanan Surakarta Indonesia: Satu Penelitian Terhadap Aspek Persembahan dan Unsur Estetik), Puan Nurlina Bagu mewakili Sabah (Sisindion Warisan Nenek Moyang Kampung Togudon Penampang), Puan Patricia Ganing dari Sarawak (Kata Sapaan dalam Entelah Masyarakat Iban sebagai Cerminan Nilai Hormat Menghormati), Dr. Chong Ah Fok dari Brunei (Sastera Lisan “Kejhung” Tradisional Etnik Dusun-Yang Berbentuk Bukan Naratif), dan Encik Witer Gunik (Sehari Dalam Hidup Jinggat sebagai Sebuah Cerpen Etnik: Persilangan Kesan Seorang Luar dan Kejujuran Kemanusiawian dari Sabah).

Secara umumnya, kesemua pemakalah tersebut mendedahkan pelbagai jenis kebudayaan etnik dan tradisi khususnya yang berkaitan dengan sastera etnik dan tradisi lisan. Seminar ini diteruskan dengan penyampaian hadiah buat para pemenang Sayembara Penulisan Puisi dan Cerpen.

 

Pada sebelah malam pula, diadakan Malam Tradisi Nusantara. Kemeriahan malam tradisi tersebut dimulakan dengan persembahan nyanyian etnik Rungus oleh Presiden MOMOGUNSIA sendiri, Dr. Azlan Shafie Abdullah. Majlis kemudiannya diteruskan dengan persembahan nyanyian etnik Kadazan oleh Kathrina Tati Sitaim dan dimeriahkan dengan nyanyian etnik Kimaragang oleh Ony Latifah Osman. Beberapa persembahan lain juga dipersembahkan pada malam tersebut daripada serantau Indonesia, Sabah, Sarawak dan Brunei. Acara malam tradisi ini ditutup dengan tarian Pinakang oleh Ony Latifah dan Puan Kims Diwa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!