Oleh Mohd Azizul Asri
1 Disember 2022, 11:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan Nadwah Sastera Islam Serantau 2022 pada 29 November 2022 yang lalu. Program ini merupakan kerjasama antarabangsa yang melibatkan tiga negara, iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia dan dilaksanakan secara hibrid.

Program ini disempurnakan oleh YBhg. Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia merangkap Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dan menampilkan Encik Awang Abdul Muizz Awang Marusin sebagai pengendali program. Manakala ucap utama program disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin.

Program Nadwah Sastera Islam Serantau 2022 disempurnakan oleh Datuk Jasni Matlani.

Menerusi ucap utamanya, Prof. Madya Dr. Kamariah Kamaruddin mengatakan bahawa kesusasteraan Islam merupakan pemangkin kemakmuran manusia sejagat melalui hasil karya daripada pengarang yang mempunyai ilmu bahasa dan agama yang tinggi. Karya ini mampu memberikan keutuhan kepada manusia daripada terlampau taasub terhadap zaman kemodenan dan pengaruh kebaratan yang boleh memberikan impak kerapuhan jiwa terutamanya dalam kalangan anak muda.

Para pemakalah dalam Sesi Pembentangan 1.

Program dimulakan dengan  Sesi Pembentangan 1 yang menampilkan pembentangan kertas kerja oleh Dr. Sabariah Bahrun, Tuan Haji Sukor Haji Usin dan Encik Noordin Zainal Abidin. Sesi Pembentangan 2 yang berlangsung pada sebelah petang pula diteruskan dengan pembentangan oleh Dr. Mohd Taufik Arridzo Mohd Balwi, Profesor Ampuan Dr. Haji Brahim Ampuan Hj. Tengah (Universiti Brunei Darussalam) dan Profesor Dr. Bani Sudardi (Universitas Sebelas Maret).

Secara keseluruhannya, pemakalah mengetengahkan hasil karya yang terdahulu hingga kini yang menjadi pemangkin kepada persuratan sastera Melayu-Islam. Sebagai contoh, karya Raja Ali Haji, Hamka dan Amir Hamzah banyak memberikan kesan terutamanya dalam usaha menuju kemakmuran melalui penyebaran sastera Islam. Inti pati setiap karya sastera Melayu-Islam memperlihatkan nilai Islam yang membentuk hubungan dengan budaya masyarakat Melayu di benua Nusantara ini.

Selain itu, para pemakalah juga menegaskan bahawa khazanah kesusasteraan Melayu-Islam harus diperjuangkan dan dipertahankan. Khazanah ini menjadi tonggak dalam kelestarian dan keindahan seni Islam yang dipersembahkan melalui kesenian dalam muzik dan lagu. Khazanah ini juga harus dikekalkan agar sastera Melayu-Islam sentiasa mendapat tempat terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu dan Nusantara.

Tambah Dr. Sabariah Haji Bahrun, khazanah warisan persuratan Melayu-Islam merangkumi dua aspek, iaitu persuratan dalam lisan dan tulisan yang merupakan kesan daripada kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Pengaruh Islam yang kuat telah memberikan ruang kemunculan tulisan Jawi yang menjadi asas permulaan sastera Melayu-Islam.

Walau bagaimanapun, menurut Dr. Mohd Taufik Arridzo Mohd Balwi melalui sesi pembentangannya yang bertajuk “Mengarang adalah Amanah”, teknologi moden perlu dimanfaatkan dalam usaha untuk meneruskan penyebaran sastera Melayu-Islam agar kekal relevan.  Kemunculan laman sesawang seperti laman Wattpad.com yang kini menjadi platform utama dan tumpuan pembaca memperoleh karya kreatif untuk dibaca perlu diberi perhatian.

Perkembangan ini membawa kepada kebimbangan kerana kurangnya kawalan atau pembatasan terhadap konten atau isi karya yang dihasilkan yang didapati boleh memberikan kesan akidah umat Islam.

Rakaman sesi pembentangan program ini boleh ditonton melalui pautan yang berikut:

Sesi Pembentangan 1 dan Sesi Pembentangan 2

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.