Oleh Harlym Yeo
29 November 2022, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program baca puisi bulanan PEMUISI di DBP 11.0 bertemakan “Tajam Mata Pena, Inspirasi Sukma” anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berlangsung dengan jayanya di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur. Lebih 20 persembahan melibatkan penggiat seni, penulis, mahasiswa, pelajar sekolah, dan peminat puisi dengan persembahan deklamasi sajak, dendangan syair, gurindam, mak yong, dikir barat, dan lagu puisi memeriahkan program tersebut.

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sedang memberikan ucapan.

Program tersebut dirasmikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Timbalan Persiden GAPENA dan Presiden PENA. Menurut beliau sewaktu berucap merasmikan program tersebut, sastera mempunyai dampak yang besar dalam menstrukturkan sesebuah negara dan bangsa sekali gus berpotensi menjadi kuasa kelima selepas kuasa media massa, perundangan, kehakiman, dan eksekutif. Ujarnya,

Dengan adanya sumbangan daripada pengkarya dan penulis, maka sastera itu sampai ke dalam masyarakat. Cara berfikir masyarakat akan dapat dibina.

Selainnya, beliau juga meluahkan harapan agar kegiatan sastera di negara ini memiliki sikap keterbukaan dan tidak dicerakinkan dengan pelaksanaan secara berpuak-puak. Jelasnya,

Mengadakan program mudah, tetapi memastikan kekekalannya dan kesinambungan itulah yang susah. Jika ada kesungguhan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, perkara ini boleh dilaksanakan.

Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim sedang menyampaikan kata-katanya.

Menurut Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, dalam usaha menyambut pembentukan kerajaan baharu yang bergelar Kerajaan Perpaduan, penulis atau pemuisi diseru mengambil pendekatan yang sama iaitu perpaduan dalam kalangan ahli persatuan agar pelaksanaan program dapat dijalankan secara berterusan dan berkekalan.

Penulis atau pemuisi harus berpadu dalam menggerakkan aktiviti bagi faedah bersama. Kita harus tolong-menolong dan bantu-membantu dalam menggerakkan aktiviti persatuan kerana matlamat kita sama, iaitu untuk memartabatkan bahasa Melayu melalui hasil karya kita.

Menyentuh tentang tema program itu, beliau berkata pemilihannya ialah berdasarkan peribahasa “mata pena lebih tajam daripada mata pedang” dan menjelaskan bahawa, “pendapat yang dikemukakan secara bertulis kadangkala lebih berbisa daripada dipotong dengan pedang. Setajam manapun senjata seperti pedang atau pisau, lebih tajam lagi mata pena.” Ujarnya lagi,

Setiap tulisan yang digoreskan daripada mata pena boleh sampai ke dalam kalangan pembaca dan menusuk jauh ke dasar kalbu. Melalui mata pena, khalayak menjadi lebih ramai kerana ia cepat tersebar di luar atau melalui alam maya tanpa sempadan.

Program pada malam itu menepati matlamat penganjurannya iaitu untuk memasyarakatkan puisi yang menyaksikan lebih ramai peminat puisi dalam kalangan pelajar sekolah yang juga turut tampil membuat persembahan. Para pelajar tersebut adalah daripada Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Sekolah Seni Malaysia, Johor, dan Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist, Kuala Lumpur.

PEMUISI merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama pelajar Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya.
Harlym Yeo sedang mengacarakan majlis.

Antara yang hadir menyemarakkan lagi majlis dengan persembahan mereka ialah Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Adiwangsa Sukma, Letfee Ahmad, Sani Sudin, Dani, Man Bakri, Ferry Anugerah Makmur, Awang Abdullah & Miey GM, Julia Ikin, Zack Kirana Ibrahim, Iema Shams, Diani Kancil, Hamir Habeeb Mohd, R’zie Ibrahim, Marwadah Marzelan, Chow Yan Lin, Chuah Pei Xi, Hawa Damia Zafirah, Nur Arifah, Nur Heliza Naifah, Nur Eldaryanna, Aliyah Asyikin, Kavinaah Sree dan lain-lain. Manakala Harlym Yeo, Exco PEMUISI sebagai pengacara majlis yang mengemudikan program itu dalam suasana santai dan ceria.

Edisi ke-12 program PEMUISI di DBP dijangka akan bersiaran pada 31 Disember, Sabtu di DBP yang juga turut dipancarkan dalam media sosial DBP dan FB PEMUISI Nasional Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.