Oleh Fadli al-Akiti
25 November 2022, 22:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

George Town – Saharil Hasrin Sanin, yang kumpulan cerpen terbaharunya dilancarkan petang tadi, memberikan harapan optimis terhadap Perdana Menteri ke-10 yang baru sahaja dilantik, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Saya mengharapkan yang baik-baik daripada Perdana Menteri ke-10. Benar, kita tidak tahu apa yang akan jadi pada masa depan, tapi kalau diikuti latar sastera Dato’ Seri Anwar, rasanya di tangan beliau, sastera akan diletakkan di tempat yang lebih tinggi.”

Sikap optimisme ini dapat dirasai pada majlis pelancaran kumpulan cerpennya, Seluruh Alam dalam Sebutir Debu. Kumpulan cerpen terbitan Kata-Pilar Books ini dilancarkan petang tadi dengan kerjasama George Town Literary Festival, temasya sastera antarabangsa yang diadakan pada 24–27 November 2022 di serata George Town, bandar raya Pulau Pinang. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh SN Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Kumpulan cerpen ini menghimpunkan 13 buah cerpen karya Saharil Hasrin Sanin yang pernah memenangi pelbagai hadiah sastera, malah dianggap sebagai antara cerpen-cerpen terbaiknya sewaktu beliau berkecimpung dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 1990.

Saharil amat dikenali sebagai seorang penulis yang mahir menyulam cerita. Beliau yang juga seorang ilustrator dan artis visual pernah dianugerahi Selangor Young Talents Awards, Hadiah Sastera Darul Ta’zim Johor, Hadiah Sastera Berunsur Islam, dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Apabila ditanya tentang cabaran menghasilkan kumpulan cerpen terbaharu ini, beliau mengaku bahawa tidak ada cabaran yang luar biasa dalam projek terbitan bersama-sama dengan Kata-Pilar kali ini.

“Lebih kurang sama sahaja dengan penerbit lain. Cuma mungkin, rumah penerbitan ini kecil, maka birokrasinya kurang.”

Paling manis, Saharil tidak dapat melupakan proses reka bentuk kulit Seluruh Alam dalam Sebutir Debu yang unik.

“Tiba-tiba sahaja, penerbit sendiri nak lukis ilustrasi kulit. Bila dah siap, confuse pula nak letak judul buku macam mana, tapi nasib penerbit bertungkus-lumus mengedit ilustrasi sampai siap sempurna,” katanya.

Proses reka bentuk yang teliti dan kreatif ini dikongsikan oleh penerbitnya, Rasydan Fitri dalam untaian Twitternya.

Acara petang tadi turut disertai oleh Dr. Zul Azlin yang juga melancarkan kumpulan cerpen pertamanya di bawah Kata-Pilar Books, Bayang Sudah Pandai Mengejek. Acara ini turut memberikan peluang kepada kedua-dua penulis untuk membicarakan buku mereka, di samping membacakan sedikit petikan daripada buku masing-masing dan beramah mesra dengan khalayak peserta.

Datuk Dr. Zurinah Hassan (tengah) diapit penuh mesra oleh (dari kiri) Rasydan Fitri, Saharil Hasrin Sanin, Zul Azlin, dan Fahd Razy.

Kredit Foto: Rasydan Fitri dan Zul Azlin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.