Oleh Fadli al-Akiti
25 November 2022, 21:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

George Town – Bidang psikiatri merupakan antara cabang dalam bidang perubatan yang menjadi pililhan karya pengarang kontemporari. Karya yang paling terkenal mungkin novel Hujan Pagi yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara (SN) Datuk Seri A. Samad Said. Malaysia agak bertuah apabila tahun ini, muncul kumpulan cerpen Bayang Sudah Pandai Mengejek yang dihasilkan oleh seorang doktor pakar psikiatri, Dr. Zul Azlin Razali atau lebih dikenali dengan nama penanya, Zul Azlin.

Kumpulan cerpen terbitan Kata-Pilar Books ini dilancarkan petang tadi dengan kerjasama George Town Literary Festival, temasya sastera antarabangsa yang diadakan pada 24–27 November 2022 di serata George Town, bandar raya Pulau Pinang. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh SN Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Bayang Sudah Pandai Mengejek menghimpunkan 14 cerpen dengan pelbagai watak dan identiti dalam mendepani “bayang-bayang” mereka. Dalam hal ini, Zul Azlin memanfaatkan kepakaran bidang psikiatri yang diceburinya ke dalam fiksyen, menerokai dunia jiwa dan psike manusia yang aneh, misteri, mendebarkan, malah mengujakan.

Ketika ditemui penulisnya, Zul Azlin menyatakan bahawa cabaran terbesar beliau sebenarnya kekangan masa.

“Saya mengimpikan menjadi penulis sepenuh masa tapi itu hampir mustahil terjadi kerana sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup sebagai penulis semata-mata. Lagipun, saya masih cintakan kerja saya sebagai doktor psikiatri,” katanya.

Dr. Zul Azlin yang mendapat pentauliahan sebagai doktor psikiatri dari Universiti Kebangsaan Malaysia, sudah pernah menghasilkan penulisan dalam pelbagai media. Antaranya termasuk buku himpunan catatan doktor pakar dalam Aku Dijangkiti Kehidupan: Cerita-cerita Pesakit dan Perawat Psikiatri (Kata-Pilar, 2020), siri kisah benar rawatan pesakit, Himpunan Kes yang Tak Terlupakan (Kata-Pilar), dan esei ilmiah dalam Medical Wisdom & Ar-Riqyah Ash-Shar’iyyah (UIM, 2018). Beliau turut menghasilkan novel saspens dengan Buku Fixi, MAJNUN.

Beliau turut berharap, dengan terhasilnya kumpulan cerpen ini, menjadi medan ujian dan “interaksi” beliau bersama-sama khalayak.

“Saya sangat suka jika banyak ulasan yang diberikan untuk sesuatu buku. Ulasan positif mahupun negatif dapat saya jadikan motivasi untuk menjadi lebih baik,” ujarnya. Bagi beliau, pengisahan alam perubatan psikiatri melalui kaedah fiksyen kreatif ini dapat merakyatkan isu kesihatan mental yang berlaku di Malaysia sekarang, dengan cara yang tidak begitu didaktik.

Dengan suasana Malaysia Baharu sekarang, beliau turut berharap agar dunia sastera Malaysia lebih inklusif, dengan karya sastera pelbagai bahasa turut diraikan. Beliau turut berharap agar karya para penulis kontemporari lebih berani dan lebih banyak karya dari luar negara diterjemahkan.

Tambahnya lagi, “Saya ingin sangat melihat kedudukan penulis sastera kita ditinggikan lagi martabatnya dengan adanya lebih banyak sayembara dan hadiah yang berprestij dilaksanakan. Bagi saya, untuk meng’glamor’kan lagi para penulis, sastera kita seharusnya lebih seksi.”

Kredit Foto: Rasydan Fitri dan Zul Azlin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.