Oleh Suyuthi Yusuf
22 Oktober 2022, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Seminar Sastera Borneo yang bertemakan “Pemerkasaan Pelancongan Melalui Pelancongan Strategik” telah diadakan di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada 21 hingga 23 Oktober 2022. Seminar ini dijalankan secara berfokus dengan merangkumi skop tertentu berdasarkan keperluan mencipta atau membina nilai sastera sebagai ikon pelancongan.

Dalam sesi pembentangan kedua yang dipengerusikan oleh Encik Nasir Hamid (DBP Cawangan Sarawak), para ahli panel membicarakan tentang karya sastera yang bertemakan pelancongan. Ahli panel pertama, iaitu Prof. Dr. Chairil Effendy (Majelis Adat Budaya Melayu Kalimantan Barat) yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Sastera Borneo dan Pariwisata: Potensi Pariwisata di Kalimantan Barat” membicarakan tentang konsep pariwisata (pelancongan) yang semakin kompleks dan rumit. Beliau menjelaskan bahawa dahulunya, pelancongan merupakan suatu kegiatan dan aktiviti yang mungkin tujuannya untuk pergi ke sesebuah tempat sahaja sama ada untuk melihat alam atau mengenal masyarakat setempat. Kini, unsur sastera boleh dijadikan sebagai komponen utama dalam konsep pelancongan.

Prof. Dr. Chairil Effendy (Majelis Adat Budaya Melayu Kalimantan Barat) sedang membentangkan kertas kerjanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa di Nusantara, tradisi lisan boleh berperanan penting dalam menyemarakkan kegiatan pelancongan. Ujarnya,

Konsep pariwisata sastera di nusantara itu harus sangat mempertimbangkan kehadiran tradisi lisan, kerana tradisi lisan itulah yang terpenting daripada sastera kita.

Jelasnya lagi, peralatan dan barang yang berbentuk fizikal boleh dijadikan sebagai produk kebudayaan dalam pelancongan. Contoh peralatan yamg digunakan dalam penulisan seperti alat tulis dan meja boleh dijadikan produk kebudayaan dan menarik pelancong.

Dalam tradisi lisan misalnya, gendang dan alat muzik yang dimainkan ketika kegiatan tradisi atau sastera lisan boleh ditunjukkan kepada pelancong.

Selain itu, beliau juga memperkatakan tentang tempat tertentu yang berkait rapat dengan tradisi lisan yang boleh dijadikan sebagai destinasi pelancongan. Antara tempat yang dinyatakan oleh beliau ialah Danau Toba dan Tangkuban Perahu di Indonesia.

Pembentang kedua, iaitu Dr. Abang Patdeli Abang Muhi (Mantan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP) pula membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Pelancongan Sastera: Suatu Pengenalan”. Dalam permulaan bicaranya, beliau menjelaskan bahawa apabila bercakap tentang konsep pelancongan sastera, harus diberikan pengertian tentang sosiologi sastera yang berkaitan dengan sastera dan masyarakat. Dengan mengerti betapa eratnya hubungan karya sastera dengan masyarakat, maka konsep pelancongan sastera menjadi mudah untuk dipraktikkan. Beliau memberikan contoh bagaimana di London terdapat kumpulan teater khas di tempat yang khusus yang sering mementaskan naskhah-naskhah Shakespeare untuk tatapan masyarakat setempat dan pelancong.

Dr. Abang Patdeli Abang Muhi (Mantan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP) sedang memperkatakan tentang sastera dan pelancongan.

Hal ini menunjukkan bahawa pelancongan sastera itu ialah pelancongan yang berasaskan karya dan produk sastera, tokoh sastera, dan kegiatan sastera sebagai tarikan pelancong. Beliau juga menyatakan novel Loagan Bunut karya Dahiri Sani merupakan salah sebuah karya sastera yang boleh menjadi tarikan pelancong jika diterjemahkan ke dalam konsep pelancongan. Jelasnya lagi,

Antara tindakan yang boleh diambil bagi menyemarakkan kegiatan pelancongan sastera ialah memperbanyak karya berunsur pelancongan dengan mengadakan sayembara puisi, novel, cerpen, dan skrip drama. Selain itu, boleh diwujudkan juga muzium sastera dan bahasa yang menceritakan tentang perkembangan bahasa dan sastera di Sarawak. Sastera rakyat atau sastera sukuan juga boleh diperkenalkan menjadi mata kuliah Kesusasteraan Borneo di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pembentang ketiga, iaitu Puan Azmah Nordin (Sasterawan Negeri Sabah) pula dalam pembentangannya menjelaskan tentang konsep sastera pelancongan. Beliau menjelaskan bahawa sastera bukanlah hanya sebagai suatu bentuk seni semata-mata, tetapi berkaitan dengan segala bentuk kehidupan, dan perkara ini termasuklah pelancongan. Menurutnya, peranan kesusasteraan sebagai ragam pelancongan di Malaysia kurang diperkatakan.

Puan Azmah Nordin (Sasterawan Negeri Sabah) sedang membicarakan tentang karya sastera yang boleh dijadikan sebagai produk pelancongan.

Selain itu, beliau juga menyatakan beberapa karya sastera yang boleh diangkat sebagai produk pelancongan. Antaranya ialah novel Bagaton karya Amil Jaya dan novel Balqis karya Ruhaini Matdarin. Jika karya-karya ini diterjemahkan ke dalam konsep pelancongan, maka hal tersebut mampu memberikan ledakan luar biasa buat masyarakat setempat. Seterusnya, beliau juga menyarankan agar tokoh sasterawan tertentu seperti Jong Chian Lai diangkat sebagai tokoh sasterawan pelancongan. Tokoh ini boleh menjadi titik tumpu pelancongan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.