Oleh Suyuthi Yusuf
20 Oktober 2022, 07:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim (IQ) Malaysia mengadakan program Malam Puisi dan Irama “Berintegriti Perangi Rasuah” di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, malam tadi. Program tersebut diadakan bertujuan untuk memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan integriti dan membasmi rasuah di samping menyemarakkan kegiatan kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan.

Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim (IQ) Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Institut al-Qayyim telah diasaskan oleh Mufti Perlis Sahibus Samahah Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA) dan Datuk Ustaz Abdul Rasyid Idris. Nama Al-Qayyim diambil bersempena dengan nama seorang tokoh agama Islam yang terkenal, iaitu Ibnu Qayyim al-Jauziyyah yang lahir pada tahun 691H dan meninggal dunia pada 751H.

Pertubuhan tersebut aktif menganjurkan pelbagai aktiviti dakwah, kemasyarakatan dan kemanusiaan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu, IQ Malaysia juga telah menubuhkan Sekolah Menengah Tahfiz Al Qayyim (Smart IQ) yang mengadaptasikan sistem pengajian pondok moden dan tahfiz bertempat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Kini, IQ Malaysia telah memiliki lapan cawangan di peringkat negeri.

Tetamu kehormat dalam program ini, iaitu Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dalam ucapannya menyatakan secara tegas tentang betapa pentingnya menjaga integriti dan mencegah rasuah. Ujarnya,

Menteri Kanan Pendidikan, YBhg. Datuk Dr. Radzi Jidin sedang menyampaikan ucapannya.

Apabila menyebut sahaja tentang integriti, ramai yang berfikir kaitannya dengan rasuah. Sebenarnya konsep integriti tersebut mempunyai kaitan dan pengertian yang lebih luas. Penyelewengan kuasa contohnya juga mempunyai kaitan rapat dengan integriti.

Selain itu, beliau juga menjelaskan konsep “integriti bukan komoditi” yang bermaksud bahawa integriti bukannya sesuatu yang boleh diperdagangkan begitu sahaja. Jika integriti ini tidak dipupuk sejak awal kehidupan, maka rasuah dan perkara yang seumpama dengannya boleh menyebabkan keruntuhan sesebuah tamadun atau bangsa.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam permulaan ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim kerana sedia bekerjasama dengan DBP dalam menganjurkan program ini.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan sedang memberikan ucapan alu-aluan.

Program pada malam ini sangat bermakna dalam konteks pembangunan fikrah, bersih daripada rasuah, pupuk semangat integriti dan bebas rasuah dalam kalangan masyarakat.

Beliau juga secara langsung merakamkan puji-pujian terhadap anak muda yang hadir pada program tersebut dalam menghayati dan meneruskan perjuangan integriti dan memerangi rasuah. Beliau juga sempat membaca gurindam bertajuk “Pekerti Mulia”.

Antara para hadirin yang hadir.

Malam baca puisi tersebut juga diserikan dengan bacaan puisi oleh beberapa orang tokoh terkenal, penyair, dan sasterawan negara. Antaranya ialah Sahibus Samahah Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Kapten (B) Prof. Emeritus Datuk Dr. Hashim Yaacob, Sasterawan Negara Anwar Ridhwan, Datin Seri Haryani Harun, Zaen Kasturi, Dr. Shamsudin Othman, Encik Marzelan Md Jusoh, Harlym Leo, Puan Maslinah Yusof, Dr. Zainatul Shuhaida, Aina Wafi, Dr. Mohd Azrul dan Encik Abd. Razak Muthalib.

Zaen Kasturi sedang mendeklamasikan puisi.
Sahibus Samahah Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin sedang mendeklamasikan puisinya sendiri bertajuk “Rasuah Pemusnah Tanah yang Indah”.
Dr. Shamsudin Othman sedang membacakan puisi.
Sasterawan Negara Anwar Ridhwan.

Selain itu, program tersebut juga dimeriahkan dengan persembahan lagu nasyid dan alunan zikir oleh penyanyi nasyid terkenal, Halim Ahmad dan persembahan kebudayaan oleh Kumpulan Budaya Institut Pendidikan Guru.

Penyanyi nasyid terkenal, Halim Ahmad sedang memberikan persembahan nyanyian lagunya.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.