12 Oktober 2022, 16:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penulis novel Pemberontakan dan Ah Fook, Jong Chian Lai mengakui bahawa beliau lebih cenderung menulis cerita-cerita berunsurkan perpaduan. Melalui penulisannya, beliau memberikan pemerhatian yang lebih asli dan mempunyai dasar yang ketara terhadap isu perpaduan bangsa. Ujar penerima SEA Write Awards (2006) itu,

Watak-watak dalam novel dan cerpen saya selalu diisi dengan isu perpaduan. Saya juga memilih watak yang merangkumi pelbagai bangsa. Kebanyakan hasil penulisan saya tertumpu ke arah itu.

Menurutnya, untuk menulis novel yang menyimpan semangat Malaysia, perlu ada tema berkaitan integrasi, nasionalisme, patriotisme dan demokrasi. Tema tersebut ada diterapkan dalam novel Ah Fook.

Menerusi Kuliah Penyelidikan Sastera (KUPAS) baru-baru ini, beliau berkongsi perihal tersebut melalui pembentangannya bertajuk “Elemen Semangat Malaysia dalam Novel Ah Fook”.

Ah Fook memenangi hadiah utama Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH (2014) bagi kategori novel. Ceritanya panjang dan meliputi zaman kemasukan perantau Cina ke Tanah Melayu, zaman pendudukan Jepun di Asia Tenggara, zaman kemerdekaan Tanah Melayu, zaman pembentukan Malaysia dengan kemasukan Sarawak dan Sabah dalam peta nasional dan seterusnya zaman pascamerdeka yang pesat membangun, berubah dan mula berintegrasi antara kaum.

Dalam Ah Fook, gambaran perpaduan dipaparkan melalui pelbagai kegiatan, aspek, aktiviti, situasi dan budaya. Ia juga merakam perubahan yang dilihat melalui mata Ah Fook, seorang pendatang Cina yang akan melahirkan anak generasi Malaysia dengan budaya yang baharu.

Sama ada daripada segi pergaulan, perkahwinan, agama, dan bahasa, matlamatnya adalah untuk memahamkan pembaca tentang konsep perpaduan yang melibatkan pelbagai bangsa. Gambaran perpaduan itu pula haruslah bertujuan memupuk masyarakat agar bersatu-padu di sebalik perbezaan kaum dan bangsa. Itulah tujuan dan matlamat novel Ah Fook.

Melalui aspek perkahwinan dan agama, progres integrasi kaum itu diperlihatkan melalui anak-anak Ah Fook. Malah sebenarnya, hampir semua pergerakan yang menuju ke arah integrasi kaum itu melibatkan anak-anaknya. Melalui aspek agama, lima daripada 15 orang anak Ah Fook masuk agama Islam.

Dalam novel tersebut, keputusan Ah Fook yang bersetuju untuk menyerahkan Mariani kepada keluarga yang beragama Islam agak mengejutkan buat pembaca. Sebelumnya, beliau menerangkan bahawa ceritanya berkisarkan pendirian dan akar budaya Ah Fook yang tidak pernah terpisah dengan budaya Cina. Katanya,

Pemikiran dan adat budaya Cina sangat kukuh dalam diri Ah Fook. Ah Fook makan nasi guna penyepit dan mangkuk kecil sejak dia lahir sehinggalah dia mati. Itu menggambarkan kesetiaannya kepada budaya Cina.

Hal itu secara tidak langsung menguatkan kenyataan bahawa pemupukan perpaduan tidak datang dengan mudah kerana hal tersebut bukan sesuatu yang boleh diterima dan ditolak mentah-mentah. Malah Ah Fook yang sudah lama tinggal di Tanah Melayu juga masih keliru dengan keadaan negara yang sangat berbeza dengan kebiasaannya di negara asal.

Sebenarnya turut dipaparkan bahawa Ah Fook sangat keras melarang anak-anaknya masuk agama Islam, atau apa yang dipanggilnya sebagai “masuk Melayu”. Tetapi atas pengalaman dan situasi, anak-anak Ah Fook akhirnya kahwin campur. Perkahwinan campur di Sarawak dan Sabah juga merupakan perkara biasa pada era tahun 1970-an yang seterusnya menjadi saksi perkembangan “semangat Malaysia”. Seterusnya melalui aspek pergaulan disampaikan melalui anak-anak Ah Fook sendiri yang membesar dalam masyarakat pelbagai kaum. Jong Chian Lai menerangkan,

Anak-anaknya ialah generasi baharu yang terasuh oleh persekitaran itu. Mereka sejak kecil akan bermain dengan rakan-rakan yang ibu bapa mereka daripada bangsa yang lain. Anak Ah Fook dengan pantas boleh bercakap dalam bahasa Melayu Sarawak, Iban, dan Jawa dengan fasih. Di sebalik itu, rakan-rakan anak Ah Fook juga fasih untuk bercakap dalam dialek Hakka.

Mengaitkannya dengan dunia sebenar, situasi tersebut bukanlah fiksyen semata-mata. Ujarnya, “sehingga sekarang, watak-watak dalam novel Ah Fook yang telah membesar itu masih boleh bercakap dalam bahasa Melayu, Hakka, Iban dan Jawa.”

Selain kisah anak-anaknya, turut diperlihatkan Jong Chian Lai ialah peribadi Ah Fook sendiri dengan sedikit calar-balar realiti. Ah Fook seorang yang skeptikal, tidak boleh berbahasa selain daripada bahasa Cina, dan muncul rasa prejudis atas sebab ketidakupayaannya untuk berbahasa Melayu. Sifat itu juga akhirnya menyebabkan Ah Fook lebih suka mengasingkan diri dengan masyarakat sekeliling.

Namun Jong Chian Lai menjelaskan bahawa untuk bersikap lebih adil, pembaca perlu mengambil kira kehidupan Ah Fook sendiri. Ah Fook tidak boleh berbahasa lain kerana untuk menampung sara hidup keluarganya, dia membanting tulang seharian di kilang yang semua pekerjanya ialah mereka yang berbangsa Cina. Ah Fook tidak mempunyai kesempatan yang luas untuk berbahasa Melayu, dan atas sebab tidak faham bahasa Melayu daripada jiran-jirannya, secara tidak langsung keadaan tersebut menimbulkan sifat prejudis.  Masyarakat di negara asalnya juga sangat berbeza dengan keadaan masyarakat di Sarawak dan di Tanah Melayu. Sifat perpaduan itu pada asasnya janggal di mata Ah Fook, namun dia tetap menjadi saksi kemajuan bangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.