Oleh Firdaus Mul
10 Julai 2023, 12:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Orang Melayu Sarawak ada bahasanya sendiri, iaitu bahasa Melayu Sarawak. Namun bahasa Melayu Sarawak tidaklah jauh bezanya dengan bahasa Melayu baku atau bahasa Melayu yang dituturkan di negeri tertentu di Semenanjung Tanah Melayu”, ujar Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi dalam siri rancangan “Bicara Karyawan: Ungkapan Berkias Orang Melayu Sarawak”.

Buku Ungkapan Berkias Orang Melayu Sarawak (DBP, 2022) merupakan pendokumentasian yang dilakukan beliau terhadap himpunan peribahasa yang dituturkan oleh orang Melayu Sarawak. Baginya, jika kerja pendokumentasian ini tidak dilakukan, maka khazanah berharga tersebut akan hilang ditelan zaman.

Proses pendokumentasian tersebut telah bermula seawal beliau menjalankan kajian di peringkat pengajian Doktor Falsafah (Ph.D) Beliau memilih peribahasa sebagai bidang yang menjadi tumpuan kajian.

Menurutnya, sepanjang proses pendokumentasian dilakukan, terdapat beberapa kaedah dan pendekatan yang digunakan. Antaranya ialah hasil dapatan diperolehi daripada sumber tertentu yang berautoriti, yakni terdiri daripada individu selaku informan, buku dan cerita-cerita rakyat. Jelasnya,

“Pertamanya, saya melihat buku-buku yang mempunyai kaitan dengan hal tersebut. Disebabkan tidak berapa banyak dapatan dalam buku, maka saya menggunakan pendekatan lain, iaitu membuat kajian lapangan. Selain itu, saya juga menggunakan informan. Informan tersebut mempunyai latar belakang yang mengetahui hal-hal berkaitan ini”

Selain itu, beliau juga turut menegaskan bahawa alam persekitaran menjadi sumber ilham untuk masyarakat Melayu menghasilkan ungkapan peribahasa, termasuklah orang Melayu Sarawak. Beliau melihat tindakan masyarakat dalam mengaitkan sumber alam dengan perilaku manusia merupakan suatu kebijaksanaan yang dimiliki oleh masyarakat.

Selanjutnya, beliau sempat menyatakan hasrat agar akan ada banyak lagi pengkaji yang meneruskan kajian berkaitan dengan peribahasa orang Melayu Sarawak. Beliau juga berharap agar Ungkapan Berkias Orang Melayu Sarawak dapat menjadi rujukan dan memberikan inspirasi kepada pembaca untuk mengkaji perihal orang Melayu Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.