Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRamzah Dambul meneliti kembali polemik peribahasa antara “pagar” dengan “pegar” dengan beberapa analisis saintifik yang umum.
Oleh itu, kewujudan peribahasa yang meletakkan ‘pagar’ sebagai pelaku atau pengkhianat kepada padi menimbulkan sedikit kejanggalan jika diteliti dari konteks sejarah agro. Kenapa?
Peribahasa Melayu merupakan pancaran hikmah yang menunjukkan kebitaraan kolektif masyarakat silam. Pesona bahasa ini selalunya mencerminkan pemerhatian tajam terhadap alam sekeliling yang kemudian ditamsilkan dengan simpang siur kehidupan manusia.
Ada satu peribahasa yang sedang rancak diperdebatkan oleh para penggiat sastera dan bahasa, iaitu “Harapkan pagar, pagar makan padi”. Variasi alternatif baharu yang cuba diketengahkan dalam polemik ini ialah “Harapkan pegar, pegar makan padi”.
Peribahasa ini diungkap untuk menggambarkan situasi pengkhianatan oleh satu pihak tertentu yang sepatutnya menjadi pelindung. Dalam kata mudah, kita mengharap seseorang sebagai rakan sekutu, tetapi sebaliknya orang tersebut menjadi lawan seteru.
Banyak perbincangan, sama ada secara ilmiah atau kasual, menegaskan bahawa peribahasa asal merupakan pilihan paling tepat. Namun begitu, saya mahu hujahkan tiga justifikasi dari segi sejarah agro tradisi, nuansa bahasa susastera lama dan kearifan tempatan—sebagai justifikasi kenapa “pegar” lebih munasabah daripada “pagar”.
Pertama sekali, dari segi sejarah amalan pertanian dalam kalangan masyarakat lama di Nusantara. Sangat penting untuk kita memahami bahawa sistem dan struktur pertanian dalam era tradisi sangat berbeza daripada sistem moden.
Di perkampungan-perkampungan era tradisional, lazimnya tanah sawah tidak berpagar. Hal ini bagi memudahkan urusan kerana kebanyakan tanah dicirikan oleh pemilikan berbentuk warisan sepunya beberapa ahli dalam satu keluarga yang sama. Selain itu, tanah terbuka tanpa pagar ini juga didukung oleh pegangan sosiobudaya yang menganggap komuniti sebagai pelindung kolektif tanah sekampung.
Sehingga sekarang pun, warisan ini masih boleh dicerap di beberapa perkampungan luar bandar. Tanah-tanah milik persendirian terhampar saujana tanpa pagar-pagar yang memisahkan. Konsep ini sama ada berteraskan kepada pemilikan warisan adik-beradik, atau semangat kejiranan yang saling percaya-mempercayai.
Oleh itu, kewujudan peribahasa yang meletakkan “pagar” sebagai pelaku atau pengkhianat kepada padi menimbulkan sedikit kejanggalan jika diteliti dari konteks sejarah agro. Kenapa? Kerana penggunaan pagar bagi melindungi tanah sawah bukanlah sesuatu yang lazim, apatah lagi jika merujuk zaman tradisi ketika mana peribahasa Melayu mula dihasilkan.
Hujah kedua berasaskan nuansa linguistik yang mewarnai susastera Melayu. Secara umum, ekspresi peribahasa Melayu lama selalunya menyadur bentuk pembayang dalam pantun tradisional. Kedua-duanya cenderung kepada penggunaan bahasa literal, bukan ungkapan yang abstrak apabila menghubungkan tamsilan alam dengan tingkah kelakuan manusia.
“Syurga di telapak kaki ibu” barangkali merupakan satu anomali, kerana ungkapan ini bukanlah tamsilan alam kepada perilaku manusia. Ungkapan ini sekadar menyatakan simbolik kedudukan darjat dan markat kehormatan seorang ibu. Ia bukan perlambangan antara tabii alam dengan kehidupan manusia.
Peribahasa yang betul-betul berbentuk tamsilan selalunya konkrit, berpijak pada pemerhatian harian yang boleh dicerap dengan deria fizikal. Contohnya, peribahasa seperti “Bagai menatang minyak yang penuh”, “Bagai aur dengan tebing” dan “Seperti api dalam sekam”. Semua peribahasa ini menggambarkan situasi yang dapat dilihat dan dirasai secara nyata.
Peribahasa “pagar makan padi” jika diambil secara literal tidak munasabah. Kenapa? Kerana pagar ialah objek yang tidak bernyawa. Tentulah tidak logik pagar mampu melakukan tindakan seperti “makan”. Frasa tersebut satu bentuk personifikasi, iaitu gaya bahasa yang sangat jarang digunakan sebagai pembayang pantun dan juga ungkapan peribahasa lama.
Dalam konteks ini, merujuk pegar (yang merupakan haiwan) adalah lebih munasabah. Tindakannya memakan padi juga merupakan satu perkara nyata, dan bukannya metafora. Hal ini menjadikan ungkapan “pegar makan padi” lebih selari dengan ragam dan gaya peribahasa Melayu tradisional yang bersifat langsung dan berpaksikan realiti fizikal.
Dalam beberapa rekod etnografi dan amalan agraria tradisional, pegar dilepaskan di sawah bagi membantu mengurangkan populasi serangga yang merosakkan tanaman.
Hujah ketiga dianalisis dari sudut kearifan tradisional dalam bidang sains pertanian. Pegar, iaitu sejenis burung yang tergolong dalam keluarga ayam hutan, memang dikenali sebagai pemakan bijirin dan serangga kecil. Hal ini membolehkan pegar digunakan sebagai ejen kawalan biologi untuk menangani serangan binatang perosak. Dalam beberapa rekod etnografi dan amalan agraria tradisional, pegar dilepaskan di sawah bagi membantu mengurangkan populasi serangga yang merosakkan tanaman.
Maksudnya, dalam kalangan petani tradisi, pegar pernah dijadikan penjaga padi kerana kebolehannya memakan serangga. Akan tetapi, apabila padi mula menguning, pegar yang awalnya diharap menjaga sawah mula menjadi ancaman, kerana ia turut memakan padi masak. Inilah satu pengamatan masa lalu yang memungkinkan lahirnya peribahasa tersebut — “Harapkan pegar, pegar makan padi”.
Berbeza dengan itik yang lebih jinak dan tidak begitu lincah, pegar mempunyai kelebihan untuk terbang rendah dan melompat-lompat. Hal ini membolehkan pegar memakan biji-biji padi yang terjuntai. Maka wujudlah ironi dalam pengalaman petani: sesuatu yang diharap untuk menjaga, akhirnya bertukar menjadi perosak.
Pemerhatian ini berkemungkinan lebih besar mencetuskan peribahasa “Harapkan pegar, pegar makan padi”. Ia lahir bukan sebagai kiasan sastera, tetapi sebagai refleksi langsung daripada realiti dunia sekeliling—sesuatu yang tipikal dalam pemikiran peribahasa masyarakat agraria Melayu.
Kesimpulannya, perdebatan antara “pagar” dengan “pegar” bukanlah sekadar soal ejaan atau variasi sebutan. Hal ini menyentuh persoalan epistemologi peribahasa itu sendiri—bagaimana peribahasa terbentuk, daripada pengalaman siapa, dan atas dasar pengamatan apa.
Hujah sejarah agro kurang menyokong kewujudan pagar sebagai amalan biasa pertanian tradisi. Hujah linguistik menegaskan bahawa bentuk literal lebih dominan dalam peribahasa Melayu, dan hujah kearifan tempatan menunjukkan pegar memang pernah menjadi sebahagian daripada sistem kawalan biologi sawah padi.
Justeru, tiada salahnya kita mencabar dan menilai semula peribahasa sedia ada, kemudian mempertimbangkan bentuk alternatif—“Harapkan pegar, pegar makan padi”. Jelas sekali terdapat hujah-hujah yang logik untuk menyokong andaian ini. Harus disedari bahawa warisan susastera lisan lazimnya lahir daripada deria akal, rasa dan mata orang-orang dahulu yang tajam membaca kewujudan realistik alam di sekeliling mereka.
_________________________
Ramzah Dambul (Prof. Madya Datuk Ts. Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017).