Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSri Aman – Rombongan yang diketuai oleh En. Ja’afar Hamdan dari Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) telah berkunjung ke Residen Sri Aman, baru-baru ini.
Kunjungan ini merupakan jaringan kerjasama yang telah lama dibina namun setelah negara berdepan dengan pandemik COVID-19 banyak aktiviti yang dirancang telah tergendala.
Rombangan telah disambut mesra oleh Puan Rita Raeesa Ros iaitu wakil Residen Sri Aman mengalu-alukan kehadiran DBPCS seterusnya menyatakan hasrat memberi komitmen sepenuhnya dalam merancakkan serta memeriahkan pelbagai program yang akan dilaksanakan kelak.
Pelbagai agenda telah dibincangkan dalam kunjungan tersebut terutamanya program yang dapat membantu keperluan pihak Residen dalam mendukung sasaran Kerajaan Sarawak menjadi wilayah maju menjelang tahun 2030 melibatkan penggunaan bahasa kebangsaan yang meliputi aktiviti bahasa dan sastera.
Selain itu, rombongan turut memaklumkan tentang program dan khidmat kebahasaan dan kesusasteraan yang disediakan oleh DBP dan boleh dimanfaatkan oleh kakitangan pihak Residen mahupun masyarakat luar seperti Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
Antara program yang boleh dilaksanakan termasuklah penulisan dokumen rasmi dan penulisan karya kreatif yang akan dibimbing oleh penceramah yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.