4 Oktober 2022, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bengkel Pemurnian Manuskrip Puisi Fasa II yang berlangsung pada 1 hingga 2 Oktober 2022 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya memperoleh 16 manuskrip kumpulan puisi. Bengkel fasa II itu sebenarnya lanjutan daripada bengkel fasa I yang berlangsung pada 25 hingga 26 Jun 2022, juga di DBP Cawangan Sabah. Bengkel fasa I dan fasa II yang diadakan selama dua hari telah dibimbing oleh dua pakar sastera dalam genre puisi, iaitu Dr. Mohamad Shahidan dan Zaen Kasturi.

Sesi bedah karya antara penulis dengan Zaen Kasturi.

Yang menariknya, bengkel yang diadakan khusus untuk membimbing penulis menghasilkan puisi ini digerakkan berdasarkan teori semiotik. Dalam bengkel fasa I, para penulis terlebih dahulu didedahkan tentang teori semiotik dan penggunaan teori tersebut dalam penciptaan puisi. Seterusnya dalam bengkel fasa II, pembimbing dan peserta bengkel sama-sama melakukan pemurnian puisi melalui sesi kritikan dan bedah puisi berdasarkan manuskrip yang telah diterima sebelum berlangsungnya bengkel berkenaan. Pembimbing bengkel secara khusus memberikan komen dan pandangan terhadap puisi yang dihasilkan oleh para penulis yang telah menyertai bengkel fasa I.

Sesi bedah karya antara penulis dengan Dr. Mohamad Shahidan.

Dalam sesi kritikan dan bedah puisi itu, masing-masing penulis berhadapan secara bersemuka dengan pembimbing untuk mendengar sendiri apakah kelemahan puisi mereka dan apakah yang harus dilakukan untuk memurnikan dan memantapkan puisi yang dilihat belum mencapai tahap puisi yang mantap dan menepati ciri puisi yang seharusnya dicipta menggunakan kata-kata yang ringkas dan padat serta menggambarkan suatu perlambangan.

 

Indah dan menariknya puisi itu terletak pada kata-kata yang digunakan oleh penulis dalam mencipta puisinya. Elakkan perkataan yang berganda, berulang dan frasa yang tiada unsur estetika kerana semua itu akan menjadikan puisi tidak berseni dan menarik,

demikian kata Dr. Mohamad Shahidan semasa memberikan ulasan secara menyeluruh tentang puisi yang dihasilkan oleh peserta bengkel. Tambah beliau, ada penulis yang berjaya mencipta puisi yang cukup baik, namun masih ada yang tidak mencapai tahap puisi seperti yang dikehendaki oleh pembimbing, terutama dalam mengaplikasikan teori semiotik dalam penghasilan puisi.

Setelah selesai sesi bersemuka secara peribadi dengan pembimbing, penulis membuat penambahbaikan puisi yang telah dikenal pasti apa kelemahannya. Dalam bengkel ini juga, setiap penulis ditetapkan menghasilkan 70 puisi dan dikehendaki menyerahkan manuskrip yang lengkap dengan prakata dan biodata penulis setelah bengkel berakhir.

Dalam ucapan alu-aluannya semasa majlis penutup bengkel ini, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar menzahirkan rasa cukup gembira dengan kejayaan bengkel ini setelah melalui dua fasa bengkel. Beliau mengucapkan syabas atas komitmen para penulis kerana dengan kegigihan dan semangat mahu berkarya, sebanyak 16 manuskrip puisi telah berjaya diperoleh.

Perolehan 16 manuskrip puisi melalui bengkel ini saya anggap suatu sejarah dalam aktiviti perbengkelan mencari manuskrip. Saya berharap manuskrip ini dapat dipercepat proses penerbitannya, seterusnya kita akan merancang untuk mengadakan pelancaran buku puisi ini pada tahun hadapan,

demikian harapan Puan Aminah yang turut berterima kasih kepada Encik Norawi Haji Kata selaku Presiden Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS) yang mencetuskan idea untuk mengadakan bengkel ini.

Bengkel ini juga mendapat sokongan yang padu daripada Pengarah Penerbitan DBP, Haji Razali Che Mat. Dalam ucapannya sempena majlis penutupan bengkel, beliau cukup berbangga dengan hasil bengkel yang berjaya mengumpulkan 16 manuskrip kumpulan puisi.

Ini suatu sejarah. Namun begitu, saya amat berharap akan mendapat kerjasama daripada penulis dalam hal pemasaran buku puisi ini nanti. Saya percaya penulis tahu bagaimana cara untuk menjual buku masing-masing. Kita juga akan membuat bicara karya buku puisi ini, namun pendekatannya haruslah berbeza, iaitu dengan cara mewujudkan polemik. Tujuannya supaya buku puisi ini diketahui kewujudannya di pasaran dan secara tidak langsung peminat puisi akan membeli buku puisi ini,

demikian saranan Haji Razali Che Mat yang berkongsi idea bagaimana untuk memastikan buku puisi terjual dan tidak hanya tersimpan di dalam stor.

Penyerahan 16 manuskrip kumpulan puisi kepada Pengarah Penerbitan.

Bengkel ini diadakan atas inisiatif Persatuan Bahasa dan Budaya Sabah dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah. Yang turut hadir dalam majlis penutup bengkel ialah Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Nurul Julia Alani Henry, dua orang Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Encik Rusdi Awang dan Puan Jennitah Noordin serta pengurus projek Noorzanani Haji Kata dan Rayner J. Francis. Para peserta bengkel yang kebanyakannya ahli PSBS memberikan komitmen yang cukup baik sehingga masing-masing berjaya menyiapkan manuskrip kumpulan puisi berdasarkan teori semiotik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.