Oleh Aninah Janang
25 September 2022, 23:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Setelah tiga hari berlangsungnya Festival Puisi Esei Antarabangsa 2022 (Festival PEA 2022); setelah lebih daripada 20 tokoh ilmuan bahasa, sastera dan budaya berkongsi pentas melontarkan idea untuk mencantum pemikiran dan membina laluan terbaik merentas negara tetangga dengan matlamat serumpun  untuk membawa puisi esei ke pentas antarabangsa; setelah puluhan deklamasi puisi dipersembahkan dari Hotel Promenade ke Sekolah Indonesia Kota Kinabalu dan berakhir di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah; dan setelah warna-warni pelbagai persembahan dari Malaysia, Brunei dan Indonesa menghangatkan Festival PEA 2022; pada malam ini, berlabuhlah tirai Festival PEA 2022.

Penulis yang turut serta dalam Festival PEA 2022 melihat, apa-apa pun yang berjaya digali daripada Festival PEA 2022, ini pastinya tidak akan menjadi festival yang pertama dan terakhir untuk puisi esei di Sabah dan Malaysia amnya. Melihat akan komitmen yang diletakkan oleh rakan negara jiran Indonesia dan Brunei, ternyata dalam menyebarluaskan puisi esei ke tahap yang sepatutnya, semuanya sepakat untuk berdiri teguh bersama-sama menjadikan puisi esei sebagai genre baharu yang mempunyai kekuatan tersendiri. Soal bagaimana puisi esei ini harus diletakkan kayu pengukurnya, hal itu tidak seharusnya memisahkan antara usaha dengan keyakinan pada kedudukan apakah seharusnya puisi esei ini ditempatkan. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Puisi esei sudah bertebaran di negara jiran dan kita seharusnya jangan terlalu jauh ditinggalkan. Maka hal itulah yang diperjuangkan oleh Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) yang menyedari bahawa puisi esei harus diberikan tempat di negara ini dengan meraikan genre tersebut untuk disambut oleh sesiapa sahaja yang meyakini bahawa keindahan bahasa seharusnya dilengkapi dengan pakej berupa ilmu pengetahuan.

Festival PEA 2022, melabuhkan tirainya selepas penganjuran yang gilang-gemilang selama tiga hari.

Resolusi Festival PEA 2022

Datuk Jasni Matlani

“Puisi esei bukanlah satu genre yang lama, saya akui genre ini masih baharu. Ada pro dan kontranya. Walau bagaimanapun, kita tetap melaksanakan program ini atas keyakinan bahawa program ini membawa manfaat kepada banyak pihak. Kita boleh membawa program puisi esei ke sekolah dengan penganjuran pelbagai pertandingan atau bengkel untuk menarik minat para pelajar agar lebih mendalami mata pelajaran Sejarah misalnya, yang tidak mustahil penyampaian pengajarannya akan lebih menarik dengan puisi esei,” ucap Presiden BAHASA, Datuk Jasni Matlani ketika berucap dalam Majlis Festival PEA 2022.

Hasil daripada pengajuran Festival PEA 2022, beliau turut membentangkan Resolusi Festival PEA 2022 kepada hadirin yang hadir ke majlis tersebut. Antara resolusi tersebut termasuklah:

  1. Puisi esei mesti dimasukkan dalam kajian para pelajar universiti awam mahu pun universiti swasta di negara ini.
  2. Puisi esei mestilah disebarluaskan tanpa melihat hanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sahaja yang menjadi “ibu” atau “bapa” kepada puisi esei, tetapi harus melibatkan agensi kerajaan yang lain di negara ini.
  3. Puisi esei mesti mencari satu formula supaya genre ini semakin berkembang dan menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.
  4. BAHASA atau pelbagai agensi kerajaan boleh dan mesti mengajurkan pelbagai program seperti sayembara, program, bengkel, dan apresiasi puisi esei secara berterusan supaya puisi esei akan terus diminati dan terus berkembang dalam konteks masyarakat di negara kita.

“Dengan Resolusi Festival PEA 2022, diharapkan festival seumpanya dapat diteruskan pada masa akan datang agar genre puisi esei ini dapat menjadi genre baharu yang melembaga dan mendunia bukan sahaja di negeri Sabah, tetapi di seluruh nusantara dan tidak mustahil ke peringkat global,” ucap Datuk Jasni Matlani.

Dalam Ucapan Sambutan Satu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Puan Tah Nia Haji Jaman, pula menjelaskan bahawa beliau amat berminat untuk melihat bagaimana puisi esei dapat dimanfaatkan di peringkat sekolah.  “Sepanjang Festival PEA 2022 berlangsung, dua buah sekolah terlibat secara langsung dengan program yang telah dirancang. Saya percaya, pada masa akan datang lebih banyak pelajar akan dilibatkan termasuklah tenaga pengajar menerusi aktiviti seperti yang terkandung dalam Festival PEA 2022,” ujarnya yang percaya bahawa usaha memperkasa sastera itu akan tetap relevan dengan pelibatan dan hubungan yang baik antara penulis dan pihak yang berkaitan.

Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran

Sementara itu, dalam Ucapan Sambutan Dua oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, beliau menegaskan bahawa DBP amat menyokong usaha mengangkat puisi esei menerusi penganjuran Festival PEA 2022 dan penganjurannya pada masa akan datang.

DBP sentiasa menyokong usaha inovasi, khususnya dalam memasyarakatkan sastera. Oleh itu, pelbagai program perlu diadakan untuk menarik minat masyarakat untuk terus menerima sastera sebagai satu perkara yang penting dalam membina sahsiah dan pembangunan modal insan seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Sabah sebentar tadi

 

Encik Mohd Yusri Mohd Yusof

Menerusi Ucapan Perasmian Penangguhan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Encik Mohd Yusri Mohd Yusof, beliau menjelaskan bahawa penganjuran Festival PEA 2022 telah menampakkan hasil awalnya dengan resolusi yang telah digariskan oleh BAHASA. Hal ini menjadi bukti bahawa kesungguhan semua pihak dengan pelibatan negara jiran, Indonesia dan Brunei dalam menjayakan pengajuran Festival PEA 2022 sememangnya melayakkan program ini untuk diteruskan pada tahun depan dengan sokongan padu daripada MOTAC.

“Kita melihat sambutannya, signifikanya dan pelibatan banyak pihak termasuklah rakan dari negara serantau, maka itu MOTAC pada tahun depan akan mempertimbangkan dan memberikan keutaman untuk terus memberikan geran dalam penganjuran Festival PEA,” ujarnya yang ingin melihat usaha berterusan dalam memperkasakan sastera khsusunya puisi esei.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.