Oleh Asrar Ab Latif
25 September 2022, 21:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu “Seni dan komersial selalu tiada pertembungan. Seni inginkan sesuatu yang ideal, manakala komersial pula sangat praktikal dan material,” demikian ucap Encik Syed Mohd. Zakir atau lebih dikenali sebagai S.M Zakir dalam forum bertajuk “Nilai Seni dan Komersial” bersempena dengan Festival Puisi Esei Antarabangsa 2022.

S.M Zakir

Dalam usaha mengkomersialkan puisi katanya, ada pihak yang mencadangkan agar nilai dan komersial genre itu bergabung untuk mempertingkat satu pakej, iaitu komersial dan seni pada selebriti.

“Dalam industri,  puisi esei kelihatan seperti modal untuk menjenamakan industri, iaitu mendapatkan apa-apa yang kita inginkan untuk memainkan peranan yang penting dalam soal komersial”

Ulas beliau lagi, sudut pandang industri pada hari ini juga hanya memandang seni sahaja. Oleh itu, kita perlu melihat kepada nilainya dalam dunia komersial kerana promosi memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan produk di mana hal itu jelas berkaitan dengan ragam generasi sekarang, yang menyaksikan bahawa mereka sudah mempunyai sasaran  karya penulis yang mereka gemari.

Bapak Agus R. Sarjono

Bapak Agus R. Sarjono dari Indonesia pula menjelaskan bahawa golongan bukan penyair perlu mengambil bahagian dalam genre ini kerana temanya adalah berkait rapat dengan kesakitan sosial. Sebagai contohnya, dalam puisi esei, banyak memacu kesakitan sosial sama ada yang berlaku pada masa kini dan pada masa lalu. Katanya, terlalu banyak luka sosial yang tidak didedahkan oleh berita dan media sosial. Namun begitu kata beliau, apabila puisi esei dikarang, hal itu telah mendedahkan semua sejarah dan luka seperti puisi esei Cinta oleh Denny JA. Terdapat tiga unsur puisi esei yang diutarakan oleh Bapak Agus, iaitu unsur cerita (naratologi), unsur konteks, iaitu catatan kaki, dan akhir sekali unsur ideologi dalam puisi esei. Beliau turut mengakui bahawa tidak ada puisi yang natural. Paling tidak, mesti akan ada kecenderungan berunsurkan romantik, komedi dan sebagainya.

Dr. Jakaria Dasan

Dr. Jakaria Dasan, Pensyarah Universiti Malaysia Sabah pula berpandangan bahawa bakat terbahagi kepada dua, iaitu bakat biasa dan bakat alami. Kedua-dua bakat ini perlu ditingkatkan untuk dikomersial dalam penghasilan puisi esei. Bagaimanakah untuk meningkatkan puisi esei? Menurutnya, kita harus melihat siapakah sasaran pembacanya? Kita perlu sedar bahawa kita berhadapan dengan generasi baharu yang hidup dengan kecanggihan teknologi.

“Untuk mendapatkan sokongan yang lebih tinggi, kita mencadangkan agar puisi esei digunakan pada peringkat universiti agar sastera terus mendapat nilai dalam masyarakat”

Sementara itu, Encik Zainal Abidin Suhaili @ Abizai, menggesa semua pihak agar meraikan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan sastera selagi mana usaha itu membawa kepada sesuatu yang positif. Namun begitu, beliau turut melontarkan persoalan penting tentang berapa lamakah puisi esei akan bertahan dalam dunia sastera?

Encik Zainal Abidin Suhaili @ Abizai

“kita melihat sesuatu produk, apabila ada penjual, harus ada  pembelinya. Oleh itu, penulis perlu meletakkan dasar untuk memudahkan pemahaman pembaca. Antara dua sebab mengapa puisi tidak difahami termasuklah kerana pembaca tidak mempunyai ilmu pengetahuan dalam sastera dan penyair pula hanya memahaminya mengikut pemahaman sendiri”

Sementara itu, Puan Siti Aisyah Mad Saad pula berpandangan bahawa puisi esei yang sifatnya dilengkapkan dengan nota kaki pasti akan membawa anjakan akademik dalam dunia puisi. Maka itu katanya, penulis perlu untuk terus mendalami ilmu pengetahuan.

Puan Siti Aisyah Mad Saad

“Dalam puisi esei, apabila ada nota kaki, maka terisilah kekosongan. Hal ini, ditambah lagi apabila puisi esei juga dapat dilihat sebagai dokumentasi, iaitu kesahihan dalam puisi esei akan menjadikan genre ini lebih difahami dan menjadi rujukan juga pada masa akan datang.

Forum ini yang dihadiri oleh para ilmuan, budayawan dan penggiat sastera dari dalam dan luar negara telah dikendalikan oleh Datin Haliza Matali dari BAHASA sebagai moderator.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.