Oleh Asrar Ab Latif
25 September 2022, 17:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Selepas Malam Citra Puisi Esei mewarnai tirai semangat sastera semalam, pada hari ini berlangsungnya forum intelektual yang membicarakan tentang “Masa Depan Puisi Esei”. Bertempat di Dewan Seminar Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, forum ini antaranya membariskan ahli panel dari tiga buah negara yang merupakan barisan tokoh ternama yang telah mencipta nama besar dalam dunia sastera.

Ibu Fatin Hamama

Ibu Fatin Hamama dari Indonesia yang menjawab persoalan “Masa Depan Puisi Esei”, mengupas semula latar belakang genre tersebut dari kaca mata Denny JA yang merupakan pengasas genre tersebut.

Denny JA mempunyai data yang begitu banyak dan jelas tentang bagaimana genre ini bermula. Kesemua data ini amat perlu difahami dan dipelajari oleh masyarakat. Antaranya termasuklah satu daripada puisi esei oleh Denny JA yang bertajuk “Seorang Tenaga Kerja Wanita di Saudi” yang menceritakan bagaimana seorang jiwa yang membela diri sendiri daripada diperkosa oleh majikannya. Banyak peristiwa berlaku di sekeliling masyarakat, lalu terdetik satu idea bagaimana beliau ingin menyampaikan kepada masyarakat

Ujar Fatin Hamama lagi, “setiap pembaca puisi berhak untuk memilih karya yang ingin dibaca, namun bagaimanakah puisi esei yang dibaca menimbulkan kontroversi? Hampir kebanyakan tokoh membantah selepas terbitnya sebuah buku berjudul 33 Tokoh Sastra Paling Berpengaruhyang merupakan tulisan Denny JA. Meskipun begitu, ramai yang tidak menolak puisi esei untuk dikehadapankan, namun mereka hanya membantah buku tersebut. Ekoran itu, puisi esei yang juga terkenal di Thailand, Brunei, Indonesia dan negara ASEAN yang lain, rata-ratanya membawa mesej antidiskriminasi dalam kebanyakan pengkaryanya.

Profesor Madya Dr. Ibrahim Ampuan Tengah

Sementara itu, wakil dari Brunei yang merupakan tokoh sastera ternama di negara tersebut, iaitu Profesor Madya Dr. Ibrahim Ampuan Tengah menjelaskan bahawa tidak ada sebarang masalah jika genre puisi esei ingin diterima dengan melihat kepada perbandingan makna dan tujuan masa lalu dan kini. Asasnya menurut beliau, dinamakan sebagai puisi esei kerana genre tersebut tidak menghilangkan kreativiti pengkaryanya. Denny JA misalnya, merupakan pembawa pemikir baharu kerana kreativiti yang dimilikinya.

Para pemikir jangan pernah berhenti dalam menghasilkan sesuatu yang baharu. Jangan terlalu terikat pada peringkat permulaan perjalanan puisi esei ini kerana jika hal itu yang berlaku, maka akan mengehadkan kreativiti yang ada dalam pemikiran karyawan. Semua orang perlu memahami bahawa puisi esei merupakan sebuah genre yang sangat menarik kerana tujuannya adalah untuk menceritakan satu peristiwa dalam kehidupan manusia

 

Encik Hasmin Azroy Abdullah

Bagi Ketua Penerangan BAHASA, Encik Hasmin Azroy Abdullah, beliau sepakat dengan para panel sebelumnya yang mengembangkan  idea untuk memartbatkan puisi esei. Beliau turut mencadangkan agar puisi esei dapat dinilai secara eksplisit untuk memastikan genre ini dapat bertahan di samping perlu adanya promosi yang digiatkan seperti penganjuran pelbagai forum dan festival lain yang dapat mengangkat puisi esei.

 

Dalam usaha untuk meletakkan masa depan yang cerah untuk puisi esei, kita perlu melihat kepada kekuatan yang ada pada genre ini. Genre ini meletakkan pemikiran terhadap sesuatu peristiwa, luahan  protes dan ketidaksetujuan kepada sesuatu topik dan itulah yang menjadi relevan untuk puisi esei terus bertahan. Bagaimana kita ingin menceritakan kegembiraan kita supaya orang tidak mual dan bosan? Kita tidak akan mendapat  jawapannya melalui puisi esei kerana sifat puisi esei lebih daripada soal kegembiraan dan perasaan

 

Bapak Jonminofri Nazri

Forum ini diakhiri dengan pandangan Bapak Jonminofri Nazri dari Indonesia yang berpendapat bahawa wujud perbezaan yang ketara antara robot dengan manusia. Meskipun begitu, menurutnya walau sehebat mana pun robot yang mencipta inovasi namun dalam mencipta puisi manusia tetap mendahului.

Cara puisi esei Denny JA yang merebak sangat aktif itu telah menarik minat pembaca kerana bahasanya yang ringan serta mempunyai persoalan dan konflik yang cukup sempurna. Tema penulisan puisi esei inilah yang menjadi kekuatan Denny JA dalam karya pertamanya tentang antidiskriminasi. Inilah nilai yang tidak dilihat oleh orang biasa, namun jelas diteliti oleh jurnalis. Secara alaminya, manusia suka kepada perkara yang baharu maka puisi esei yang dikira baharu dalam masyarakat akan perlahan-lahan diterima

Forum yang dihadiri ole para ilmuan, budayawan dan penggiat sastera dari dalam dan luar negara ini telah dikendalikan oleh Nories Illiani dari BAHASA sebagai moderator.

Kredit Foto: Mohd Hafizee Affiq bin Japar

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.