Oleh Aninah Janang
23 September 2022, 23:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Festival PEA 2022 berlangsung pada 23 September 2022 hingga 25 September 2022, di Kota Kinabalu, Sabah.

Kota Kinabalu – “Puisi esei sememangnya sesuatu yang baharu bagi kita, namun tidak mustahil puisi esei dapat dikembangkan ke peringkat antarabangsa,” ujar Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

“Tidak mustahil puisi esei mampu ke peringkat antarabangsa” – Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Beliau yang menyampaikan Ucapan Sambutan 1 bersempena dengan Festival Puisi Esei Antarabangsa 2022, di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah,  yakin bahawa istilah puisi esei mampu untuk berkembang dengan baik kerana yang dimaksudkan dengan puisi esei adalah adanya rujukan dan sandaran dalam mengetengahkan sesuatu idea. Usaha ini tambahnya, merupakan satu eksperimen dan percubaan yang baik dalam meningkatkan genre puisi di negara ini.

Puisi ini mungkin dicetuskan di rantau kita. Di Indonesa, puisi esei sudah berkembang dan di Malaysia, kita bermula di Sabah. Tahniah diucapkan kepada Sabah kerana berusaha mengangkat eksperimen baharu dalam cabang puisi, iaitu puisi esei. Usaha ini pastinya  akan menyemarakkan dunia puisi di peringkat antarabangsa sekali gus mengangkat tamadun kita dan tamadun sejagat umumnya

Sementara itu, Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Datuk Jasni Matlani menjelaskan bahawa Festival Puisi Esei Antarabangsa 2022 atau lebih dikenali sebagai Festival PEA 2022 merupakan sebahagian daripada usaha BAHASA dalam memperkasa bidang sastera dan seni budaya di Sabah, Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

“Puisi esei akan memberikan kita ilmu berbahasa dan ilmu pengetahuan” – Datuk Jasni Matlani.

Menurut Datuk Jasni Matlani, mungkin ada yang akan bertanya, mengapa harus melaksakan Festival PEA 2022?

“Dalam puisi esei kita akan mendapat dua dalam satu, iaitu yang pertama, keindahan berbahasa dalam puisi dan yang kedua, ilmu pengetahuan dalam puisi.  Dalam puisi esei ada nota kaki atau catatan supaya puisi yang dihasilkan ada kebolehpercayaan karya yang tinggi dan boleh dikaji. Selama ini kita menulis puisi mungkin hanya sebagai khayalan, hobi, atau mengisi masa lapang, tetapi dalam puisi esei kita berkarya dengan tujuan dan matlamat yang jelas, iaitu untuk kemanusiaan dan kemakmuran sejagat. Maknanya, kita menulis dengan matlamat,” jelas Datuk Jasni Matlani dalam ucapan alu-aluannya bersempena dengan Majlis Perasmian Festival PEA 2022.

Festival PEA 2022 merupakan kesinambungan pelbagai program sastera yang lain yang diadakan pada setiap tahun di Sabah. Program ini diadakan di beberapa buah lokasi di Kota Kinabalu, iaitu pada 23 September 2022 hingga 25 September 2022. Pada tahun 2022, Festival PEA mengangkat tema “Maju Jaya demi Kemanusiaan dan Kemakmuran Sejagat”.

Kredit Foto: Mohd Hafizee Affiq bin Japar

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.