22 September 2022, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Sastera tradisonal membantu masyarakat moden untuk memahami dan mempelajari bagaimana masyarakat sebelumnya berfungsi. Selain sastera sejarah yang jelas merakam peristiwa sejarah tertentu, teks lain seperti hikayat, sastera agama malah teks undang-undang juga perlu diteliti dengan mendalam.

Dr. Hazizie Sulkafle, pensyarah di Jabatan Sejarah dan Tamadun UIAM mengkaji teks yang tergolong dalam genre tersebut. Beliau yang memang memfokuskan kajian perihal ketatanegaraan Melayu itu menegaskan,

Perlunya mengambil kira sastera dalam pelbagai genre; sama ada sastera sejarah, hikayat, sastera kitab dan teks undang-undang untuk membuat kajian tentang ketatanegaraan Melayu dengan menyeluruh.

Wacana ketatanegaraan Melayu dalam “Siri Syarahan Susastera: Pengantar Ilmu Ketatanegaraan Melayu” di Toko Buku Pujangga Baru, Petaling Jaya, menampilkan beliau sebagai pembicara. Wacana tersebut memerihalkan peri penting sastera tradisional dalam usaha penyelidikan tamadun dan sejarah.

Pada awalnya, beliau menjelaskan dahulu etimologi istilah ketatanegaraan yang sebenarnya berasal daripada perkataan ‘tata’ dan ‘negara’. Umumnya, ketatanegaraan berkaitan dengan susun atur negara atau tamadun, aturan pemerintahan daripada aspek teknikal, teori, idea dan sebagainya.

Beliau menjelaskan lagi bahawa terdapat hubung kait yang rapat antara karya sastera tradisional dengan pemerintahan Melayu. Beliau memetik kenyataan Jelani Harun dalam tulisannya iaitu ‘Idealisme Keadilan Undang-Undang: Karya Ketatanegaraan sebagai Respons Intelektual terhadap Undang-Undang Adat Melayu’:

Karya sastera ketatanegaraan Melayu melengkapi undang-undang Melayu sebenarnya.

Jelas beliau lagi,

Teks undang-undang sifatnya ‘kering’. Dengan adanya karya ketatanegaraan Melayu, akan ada suara rohani dan intelektual dalam pemikiran yang mempengaruhi gaya kehidupan masyarakat tamadun lama untuk mengimbangi ‘kekeringan’ teks undang-undang.

Karya sastera ketatanegaraan seperti Tajul Salatin dan Bustan al-Salatin menyebut tentang tugas dan peranan pemimpin negara. Teks lain seperti Thamarat al-Muhimmah pula menerangkan dengan lebih jelas perihal pembahagian kuasa dan bidang pemimpin. Selain itu, beliau juga menyebut buku Ilmu Ketatanegaraan Melayu Raja Ali Haji oleh Khalif Muammar merupakan kajian yang paling terkini dan terperinci berkenaan teks Thamarat al-Muhimmah. Jelas beliau lagi,

Tajul Salatin dan Bustan al-Salatin tidak merangkumkan secara spesifik tentang struktur kerajaan sesebuah kesultananan. Oleh itu, penting juga untuk mengkaji teks undang-undang lain seperti Undang-Undang 99 Perak dan Hukum Kanun Pahang.

Karya sastera tradisional bergenre sejarah juga berperanan penting dalam memahami konteks ketatanegaraan Melayu. Sulalatus Salatin dan Tuhfat al-Nafis merupakan antara karya besar dan utama yang tergolong dalam genre tersebut. Melalui rakaman sejarah, karya tersebut juga mengandungi konteks dan perihal ketatanegaraan Melayu. Contohnya adalah dalam menerangkan letak duduk konsep musyawarah dalam sidang kesultanan Melayu dan kegiatan nasihat-menasihati antara para pembesar dengan sultan.

Selain itu, hikayat juga menyimpan idea dan ‘rupa’ ketatanegaraan Melayu. Selain berunsur fiksyen dan bersifat hiburan, hikayat juga berdiri sebagai teks yang menyampaikan pengajaran selain terdapatnya unsur sindiran. Segala nasihat dan kebijaksanaan masyarakat Melayu dalam berfalsafah, berkata-kata dan berkias dalam  kehidupan seharian mempunyai konteksnya yang tersirat.

Selain itu, beliau juga menyentuh tentang kurangnya hasil kajian terhadap sastera kitab atau teks agama yang mempunyai kaitan dengan ketatanegaraan Melayu.

Adakah teks agama kita hanya menyentuh aspek fiqah dan ibadah sahaja, dan tidak ada langsung menyentuh aspek ketatanegaraan atau politik?.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.