Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, Ibnu Din Assingkiri memperkatakan tentang puisi penyair yang jarang-jarang benar diperkatakan, iaitu Ahmady Asmara. Puisi yang diperkatakan menyajikan zaman yang penuh gelora dan perlu mara.
Di era penulisan puisi ini, rakyat tertekan kerana tertindas oleh penjajah. Rakyat mengharapkan kemerdekaan dapat dicapai dan dengan pimpinan tokoh seperti Datuk Onn, harapan itu semakin nampak akan menjadi realiti.
Pada masa kini, pengkritik semakin jarang menulis tentang penyair lama sedangkan karya mereka masih sesuai dan relevan untuk dikaji teknik serta gaya penulisannya. Pemikiran dan pengalaman hidup mereka sesuai dijadikan penambah ilmu serta teladan kepada khalayak pembaca dan penggemar sastera semasa.
Majlis apresiasi dan diskusi sastera harus dipenuhi dengan memperkatakan dan membincangkan tentang karya penulis lama, kerana ibarat kata bijak pandai “tiada yang lama, tiadalah yang baharu.” Sesekali kita mundur kepada yang asal dan asas, tidak hanya untuk belajar, tetapi juga mengukur sejauh mana kita telah maju ke hadapan.
Untuk mengelakkan kehilangan rasa santai dalam apresiasi puisi, tulisan ini cuba disandarkan kepada teori resepsi pembaca dan juga pendekatan ilmu sosiolinguistik. Sebelum apresiasi dimulakan, eloklah terlebih dahulu kita berkenalan dengan penyair Ahmady Asmara.
Ahmady Asmara (1921-1963)
Nama sebenarnya ialah Ahmad bin Ismail, dan dilahirkan di Sungai Ara pada 2 Ogos 1921. Pernah mengikuti Latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris tetapi tidak menyelesaikannya kerana meminati dan menceburi bidang penulisan dan kewartawanan. Beliau menjadi pengarang dan penerbit dengan sejumlah besar penerbitan majalah dan akhbar arus perdana dari tahun 1940-an hingga hujung 1950-an.
Selain terlibat dalam bidang kewartawanan sebagai pengarang dan penerbit, beliau juga semasa hayatnya menjadi mentor kepada ramai penulis dan wartawan sehingga mereka dapat menempah nama dalam bidang tersebut. Selain itu, beliau juga menulis novel, puisi dan cerpen. Antara karya kreatifnya ialah Empat Kali Janda (1951), Nona-nona Zaman Sekarang (1951) dan Suara Sukma.
Gaya Puisi Ahmady Asmara
Bentuk puisi-puisinya terikat dengan bentuk tradisi syair, pantun dan gurindam. Seperti juga dengan kebanyakan penyair pada era ini, puisi-puisi masih belum ditulis sepenuhnya dalam bentuk sajak yang bebas.
Puisi-puisi yang terikat dengan gaya tradisi ini sedap dibaca/dideklamasi dan didengar dek kerana permainan rima hujung berpola syair, iaitu a,a,a,a atau pantun dengan pola a,b;a,b dan pola gurindam iaitu aa.
Puisi-puisi yang ada mainan rima ini juga sesuai dijadikan puisi untuk persembahan deklamasi kerana bunyinya yang sedap didengar dan tidak ada penggunaan gaya bahasa rumit serta tulisannya tidak taksa. Selain itu, kita juga dapat membezakan antara pantun sebenar dengan puisi yang terikat pantun kerana setiap baris merupakan maksud dan ketiadaan pembayang pada baris pertama dan kedua.
Apresiasi Puisi Oh Pemimpin!!!
Oh Pemimpin!!!
PERSEMBAHAN KEPADA DATUK ONN
Di ketika umat Melayu terbangun
mendengar seruan Datuk Onn
umpama tagar mendayu
menyeru kepada umat Melayu.
Tanah pusaka ibu pertiwi
bumiputera hendak mengetahui
adakah ibu akan dicemar
adakah bangsa asing hendak melamar.
Ke bangunan pemimpin yang perwira
itulah Datuk Onn terketara
ayuhai pemimpin utama
umat Melayu ingin saksama.
Pimpinlah kami dengan gagah
sampai kembali nama yang gah
bilalah! Dengan cekang
bumiputera ada di belakang.
Ambillah gerakan penganjur bestari
membela bangsa di seluruh negeri
bagaimana pemimpin di dalam dunia
bekerja ke jurusan bahagia.
Pulau Pinang
(Majlis, 18 Jun 1946)
Puisi yang ditulis 76 tahun yang lalu ini terikat dengan pola gurindam menjadikannya dua rangkap gurindam dalam satu bait. Puisi ini merupakan sejenis puisi oda yang didedikasikan kepada pemimpin masyarakat di era tersebut, iaitu Datuk Onn.
Judulnya Oh Pemimpin!!! dengan tiga tanda seru yang merupakan pemilihan tanda baca sesuai untuk mewakilkan makna seruan dan rayuan kepada pemimpin yang merupakan harapan kepada rakyat. Di era penulisan puisi ini, rakyat tertekan kerana tertindas oleh penjajah. Rakyat mengharapkan kemerdekaan dapat dicapai dan dengan pimpinan tokoh seperti Datuk Onn, harapan itu semakin nampak akan menjadi realiti.
Di bawah judul puisi ini ditulis dedikasi dalam tulisan huruf besar, iaitu “PERSEMBAHAN KEPADA DATUK ONN”. Sekali lagi penyair menggunakan tipografi bagi mewakilkan makna. Penggunaan huruf besar amat jarang dilakukan dalam puisi kerana mewakili sesuatu penekanan atau kemarahan. Dalam puisi ini, ia menekankan peri pentingnya amanat dalam puisi ini disampaikan kepada tokoh tersebut.
Bait pertamanya berbunyi:
Di ketika umat Melayu terbangun
mendengar seruan Datuk Onn
umpama tagar mendayu
menyeru kepada umat Melayu.
Bait tersebut memakai gaya bahasa simili “umpama tagar mendayu” terhadap seruan Datuk Onn. Tagar ialah guruh atau guntur sebagai simbolik kepada kelantangan. Tagar mendayu pula merupakan gambaran oksimoron bahawa seruan itu tidak sampai berteriak dalam amarah.
Dalam bait ini juga pembaca mendapat gambaran tentang karisma dan kepimpinan Datuk Onn yang tegas namun dalam pada masa yang sama beliau ialah orator dan pemimpin yang mempunyai nilai kepimpinan yang baik.
Bait kedua pula berbunyi:
Tanah pusaka ibu pertiwi
bumiputera hendak mengetahui
adakah ibu akan dicemar
adakah bangsa asing hendak melamar.
Persoalan dalam bait ketiga ini digunakan untuk membakar semangat juang dan patriotik pembaca. Pertanyaan ini merupakan sejenis kebijakan “bujukan psikologi” yang terselit dalam bait kedua ini. Persoalan “adakah ibu akan tercemar” membawa dua konotasi makna dan kedua-duanya begitu mencabar anak Melayu.
Ibu yang pertama ialah ibu pertiwi, manakala ibu yang kedua ialah para ibu, termasuklah ibu pembaca sendiri serta wanita yang lain. Pilihan diksi ‘cemar’ yang dirangkai bersama-sama telah membentuk frasa terpenting dalam bait ini. Frasa ini merupakan pencetus semangat juang dan patriotik pembaca.
Baris keempat pula sebagai pelengkap kepada semangat yang membuak-buak, ditambah pula dengan pertanyaan, “adakah bangsa asing hendak melamar” yang lebih menambahkan luka yang sedia pedih. Pembaca dihadapkan dengan perasaan sedih bercampur marah lantaran gandingan kata ‘ibu – cemar – lamar’.
Lihat pula bait ketiga:
Ke bangunan pemimpin yang perwira
itulah Datuk Onn terketara
ayuhai pemimpin utama
umat Melayu ingin saksama.
Saya berpendapat “ke bangunan” dalam baris pertama dalam konteks keseluruhan bait, bermaksud “bangunnya pemimpin yang perwira.” Dalam bait ini terpacul harapan rakyat yang sekian lama berada dalam penindasan untuk dipimpin oleh pemimpin daripada anak watan yang adil (dalam frasa umat Melayu ingin saksama tersebut).
Harapan tersebut disandarkan kepada Datuk Onn yang digelar pemimpin utama kerana kredibiliti dan kepimpinannya nampak ketara di mata penulis dan masyarakat yang diwakili dalam tulisannya – “itulah Datuk Onn terketara”.
Bait seterusnya pula:
Pimpinlah kami dengan gagah
sampai kembali nama yang gah
bilalah! Dengan cekang
bumiputera ada di belakang.
Dalam bait ini, penyair mewakili masyarakatnya menyeru pemimpin harapan mereka untuk memimpin dengan gagah dan berani mengembalikan nama bangsa yang gah dahulu. Perkataan “bilalah!” dalam konteks makna keseluruhan bait bagi saya ialah “belalah!” dengan cekang, iaitu seruan yang berupa harapan besar agar nasib rakyat dapat dibela dengan sekuat mungkin.
Perkataan “cekang” dipilih untuk kesesuaian rima dan juga mewakili makna yang sesuai dengan latar penyair iaitu memakai lesen puitik (LP) gaya dialek Pulau Pinang. Ada ketikanya penyair perlu kembali mengungkap dialeknya dalam memaknai dengan lebih tepat perasaan terhadap momen karya ditulis. Baris terakhir pula memberi jaminan bahawa anak watan akan sentiasa ada untuk menyokong Datuk Onn.
Lihat pula bait terakhir/penutup puisi:
Ambillah gerakan penganjur bestari
membela bangsa di seluruh negeri
bagaimana pemimpin di dalam dunia
bekerja ke jurusan bahagia.
Pesanan berserta harapan rakyat pada era sebelum merdeka terungkap dalam bait penutup ini iaitu supaya Datuk Onn dapat sepakat dalam gerakan penyatuan menuju kemerdekaan tanah air. Ini tertulis sebagai “membela bangsa di seluruh negeri.” Dalam bait penutup ini juga ada pesanan agar Datuk Onn mencontohi tokoh pemimpin dunia di negara lain dalam perjuangan mereka.
Pada pendapat saya, puisi ini menyerlahkan kebijakan penyair dalam memilih diksi yang sesuai untuk meniup semangat perjuangan merdeka dalam kalangan pembaca. Cara penyair menyampaikan puisi dalam bentuk oda adalah unik dan istimewa ibarat serampang dua mata. Dalam meluahkan harapan kepada pemimpin, penyair juga membawa persoalan penting yang menjentik rasa tanggungjawab agar rakyat turut berjuang bersama-sama dalam memastikan ibu pertiwi tidak selamanya dijajah.
Apresiasi Puisi Hidup
Hidup
Hidup-hidup selalu dipuja
pasti hidup rakyat dan raja
hidup di dalam apa sahaja
hidup bersemangat si besi waja.
Hidup marilah hidup mulia
hidup secara dituntut manusia
meninggikan taraf bangsa berjaya
hidup segenap Melayu raya.
Umat Melayu zaman sekarang
berani menuntut berterus-terang
tiada reda menerima pencurang
dari kaum penjajah yang garang.
Segala corak yang akan diwarnakan
mestilah persetujuan rakyat diutamakan
kerana soal negara dipentingkan
kewajipan rakyat membelakan.
Biar hilang jiwa yang asas
asalkan jangan hilang bangsa
atau tergadai tanah dan nusa
kepada penjajah terserah kuasa.
Hidup Melayu hidup semangat
semangat Hang Tuah keluarkan bangat
semangat pembela wajib diingat
inilah semua seyogia diingat.
(Majlis, 4 Julai 1946)
Puisi ini berbentuk terikat syair dan masih dengan rasa semangat perjuangan kemerdekaan seperti puisi Oh Pemimpin!!!. Namun, nada puisi ini lebih romantis bercampur patriotik. Ajakan perjuangan kali ini lebih lembut dan membujuk.
Bait pertama (puisi ini yang juga ditulis 76 tahun lalu) membuka latar kehidupan yang didambakan oleh rakyat iaitu pemerintahan beraja seperti di era sebelum penjajahan.
Lihat bait pertama:
Hidup-hidup selalu dipuja
pasti hidup rakyat dan raja
hidup di dalam apa sahaja
hidup bersemangat si besi waja.
Di baris ketiga, “hidup di dalam apa sahaja” membawa janji dan kesanggupan untuk hidup dalam kesusahan demi memulihkan negara bangsa daripada penjajahan. Rakyat sentiasa akan taat kepada raja dan kesatuan rakyat dan raja mengikut kepercayaan penyair akan menjadi kesatuan yang kental seumpama besi waja.
Lihat pula bait kedua:
Hidup marilah hidup mulia
hidup secara dituntut manusia
meninggikan taraf bangsa berjaya
hidup segenap Melayu raya.
Di sini penyair mengajak khalayak pembaca (rakyat) menjalani hidup dengan bertamadun selayaknya seperti kehidupan manusia yang dituntut oleh agama dan kemanusiaan itu sendiri. Dengan cara hidup bertamadun, manusia dapat mencapai ilmu pengetahuan dan seterusnya dapat meninggikan taraf bangsa sebagai bangsa yang berjaya dan menjadi bangsa yang besar (Melayu Raya).
Lihat pula bait ketiga:
Umat Melayu zaman sekarang
berani menuntut berterus-terang
tiada reda menerima pencurang
dari kaum penjajah yang garang.
Semangat kebangsaan berkobar-kobar terlihat dalam setiap baris. Penyair dengan bangga mengungkapkan bahawa bangsa Melayu pada zaman itu sudah berani berterus-terang. Keadaan ini berbeza pada zaman dahulu kerana pada masa itu orang Melayu sering kali menyembunyikan perasaan sebenar dan tidak terlalu suka berterus-terang kerana dididik agar menjaga hati orang lain.
Dengan capaian ilmu yang lebih luas, kini orang Melayu lebih terbuka dalam berkomunikasi dan menyatakan isi hati. Mereka semakin berani mengatakan benar dan salah serta menegur secara terbuka kepada penjajah yang dinamakan sebagai “pencurang” dan “kaum penjajah yang garang.”
Bait yang keempat pula berbunyi begini:
Segala corak yang akan diwarnakan
mestilah persetujuan rakyat diutamakan
kerana soal negara dipentingkan
kewajipan rakyat membelakan.
Simbolik corak dan warna merupakan tamsilan hala tuju negara bangsa yang bakal dibentuk pasca merdeka. Hala tuju ini akan dibuat setelah mengambil kira kehendak rakyat seperti yang ditulis pada baris kedua. Pesan penyair, soal pentadbiran negara itu sama penting dengan pembelaan terhadap kehidupan rakyat agar lebih baik.
Bait kelima pula berbunyi sebegini:
Biar hilang jiwa yang asas
asalkan jangan hilang bangsa
atau tergadai tanah dan nusa
kepada penjajah terserah kuasa.
Dalam bait ini nada puisi sedikit romantis dan membujuk dengan ciri kemelayuan dalam puisi tradisi melalui pendekatan diksi “biar – asalkan”. Pada era ini, puisi bukan sahaja terikat dengan karya tradisi malah pemikiran dan pengucapan puisi juga terikat dengan cara puisi tradisi. Gaya ini lebih disenangi oleh penulis dan pembaca pada zaman sebelum merdeka ini.
Pada baris pertama, penyair menjelaskan ajakan menyanggupi kehilangan perkara asas dalam kehidupan seperti harta dan sebagainya asalkan bangsa Melayu tidak hilang jati dirinya. Bangsa yang kuat akan bangkit melawan penjajahan dan kembali mengambil tanah dan nusa ini daripada genggaman penjajah.
Bait penutup puisi ini:
Hidup Melayu hidup semangat
semangat Hang Tuah keluarkan bangat
semangat pembela wajib diingat
inilah semua seyogia diingat.
Puisi ini disudahi dengan peringatan dalam nada yang mesra tentang semangat Melayu yang diilhamkan daripada semangat Hang Tuah. Peri pentingnya semangat Hang Tuah dikeluarkan segera (bangat) kerana masanya sudah sampai untuk bangkit berjuang menuntut kemerdekaan.
Penyair menggunakan gaya bahasa pengulangan/repetisi untuk menekankan kepentingan ditiupkan semangat kepada bangsa yang sekian lama ditekan dan dihimpit oleh penjajah yang silih berganti. Frasa “semangat pembela wajib diingat” ini menyatakan setiap rakyat merupakan pembela kepada bangsanya; setiap rakyat ialah Hang Tuah!
Pada pendapat saya, puisi ini berjaya melakukan tugasnya sebagai suatu bentuk komunikasi puitik yang berkesan kepada pembaca. Penyair bijak memainkan sentimen bangsa dalam menaikkan semangat perjuangan menuntut kemerdekaan. Walaupun dengan nada yang lembut dan agak romantis, penyair berjaya menaikkan semangat juang dan patriotisme melalui karyanya.
Setelah mengapresiasi dua buah karya Ahmady Asmara, saya dapati penyair bijak memilih diksi yang tepat dalam mengungkapkan apa-apa yang ingin disampaikan kepada pembaca. Tidak salah lagi bahawa penyair ini ialah patriot sebenar yang memulakan letusan semangat juang rakyat menuntut kemerdekaan melalui cetusan ilham dalam bentuk puisi bersifat patriotik. Dari letusan semangat melalui pembacaan dan penghayatan puisi beliau, saya yakin ramailah yang bersemangat untuk bangkit berjuang pada zaman itu. Pejuang kemerdekaan tidak hanya mengangkat senjata, ada yang gigih berjuang dengan mengangkat pena!
_________________________
Ibnu Din Assingkiri berasal dari Singkir Laut, Kedah. Lulusan Sarjana Muda Pengajian Inggeris dari UNITEM. Telah menghasilkan dua kumpulan cerpen terbitan ITBM dan UUM Press, tiga kumpulan puisi terbitan eSastera, ITBM, swa terbit serta 30 antologi pelbagai genre terbitan di Malaysia dan Indonesia. Turut terlibat sebagai editor dan penyelenggara empat antologi puisi dan senaskhah kumpulan cerpen. Karya eceran terbit sebanyak 56 kali sejak tahun 2014 dalam pelbagai media cetak tempatan.