13 September 2022, 08:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, Dr. Wan Hasmah Wan Teh menyajikan kepentingan sajak-sajak awal Sasterawan Negara Usman Awang yang membangkitkan semangat nasionalisme rakyat.

Dalam banyak nama penyair yang disebutkan, pengkaji memilih untuk memberikan fokus pada sajak-sajak Usman Awang kerana beliau ialah penyair yang paling banyak menghasilkan sajak bertemakan nasionalisme …

Secara umum, nasionalisme bermaksud satu pemikiran, tindakan dan perasaan cinta akan negara dan bangsa sendiri. Elemen penting yang terkandung dalam nasionalisme ialah patriotisme, iaitu perasaan cinta kepada tanah air. Menurut Hans Kohn, nasionalisme merupakan gerakan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih terbuka, mendapatkan kebahagiaan perseorangan, menjamin kemerdekaan, dan membebaskan akal dan fikiran (1984:11). Jika dilihat dari segi sejarah, fahaman tentang nasionalisme ini berasal dari Eropah Barat pada abad ke-18 hingga ke-19 dan tersebar di seluruh Eropah pada abad ke-20, yang kemudiannya berkembang luas ke seluruh dunia. Walau bagaimanapun, semangat nasionalisme tidak sama pada setiap negara dan zaman kerana semangat ini berkait rapat dengan peristiwa sejarah, politik dan susunan masyarakat di tempatnya, serta pengaruh-pengaruh lain di sekelilingnya, seperti bahasa, keturunan, agama, dan adat istiadat (Hans Kohn, 1984:13).

Menurut Wan Hashim Wan Teh (dlm. M. A. Fawzi, 1987:183), terdapat dua takrifan berbeza tentang perkataan ‘nasionalisme’. Pertama, nasionalisme boleh ditakrifkan sebagai satu kesedaran dalam kelompok manusia yang mempunyai persamaan dari segi ras, agama, bangsa, dan negara. Misalnya dalam kes Malaysia, semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu mulai kuat pada tahun 1946 dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang ditubuhkan untuk menentang Malayan Union. Kedua, nasionalisme ialah satu kesedaran yang menyatukan sekumpulan manusia yang tinggal dalam satu batasan politik yang sama dan tidak harus mempunyai persamaan dari segi ras, agama, bahasa, dan budaya. Kesedaran ini mengutamakan rasa cinta dan kesetiaan yang mendalam terhadap tanah air, sehingga sanggup berkorban nyawa untuk negara.

Secara lebih khusus, nasionalisme meliputi perasaan bangsa, bahasa, budaya, dan konsep negara bangsa (nation state) yang berkaitan dengan kewarganegaraan. Kacowicz mendefinisikan negara bangsa seperti petikan yang berikut:

The ‘nation state’, therefore, means a state whose inhabitants consider themselves to be a nation. It is geographically bounded legal entity under a single and recognized government, the population of which psychologically consider themselves to be related, through historical, linguistic, racial or other links.

                                                                                                            (Kacowicz, 1998)

Penjelasan Kacowicz ini sebenarnya sangat berkait rapat dengan konsep dan semangat nasionalisme yang telah diterangkan di atas, bahawa manusia yang berada dalam sesebuah negara yang sah secara undang-undang, berkongsi satu perasaan kebangsaan pada negara tersebut atas dasar sejarah, bahasa, bangsa, dan lain-lain. Dalam konteks penjajahan di Asia Tenggara, nasionalisme secara khusus bermaksud satu kesedaran yang membangkitkan semangat dengan tujuan mendapatkan kebebasan dan kemerdekaan daripada dijajah oleh kuasa luar (Cheah Boon Kheng, 1971:19).

Selain itu, nasionalisme menurut Abdul Latif (1998:1) ialah satu kesedaran yang menumpukan perhatian bagi menentukan nasib sendiri, bangsa dan negara untuk mencapai kebebasan, kesejahteraan dan memupuk keperibadian yang unggul. Kesedaran ini lazimnya timbul daripada tekanan dan pengaruh penjajah sehingga anak watan menjadi lemah dari segi ekonomi, sosial, politik, dan budaya. Secara keseluruhannya, nasionalisme bertujuan untuk membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing. Namun begitu, pengertian nasionalisme dalam konteks selepas merdeka pula lebih kepada perjuangan bagi mempertahankan maruah dan mempertinggi martabat serta kedaulatan negara.

Terdapat pelbagai cara yang digunakan untuk menaikkan semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk sesebuah negara yang dijajah. Ada yang mengangkat senjata menghalau penjajah dan ada juga yang melakukan perbincangan dan meluahkan semangat tersebut melalui tulisan. Di Malaysia khususnya, semangat nasionalisme mulai terasa pada sekitar tahun 1940-an, iaitu sebelum merdeka hingga tahun 1970-an selepas merdeka. Kebanyakan suara dan semangat nasionalisme disampaikan melalui sajak oleh beberapa penyair terkenal ASAS 50, seperti Sasterawan Negara (SN) Usman Awang, Masuri S.N, SN A. Samad Said, SN Keris Mas, Asraf, A.S. Amin, Jimmy Asmara, dan Noor S.I. Dalam banyak nama penyair yang disebutkan, pengkaji memilih untuk memberikan fokus pada sajak-sajak Usman Awang kerana beliau ialah penyair yang paling banyak menghasilkan sajak bertemakan nasionalisme pada masa itu, iaitu sebanyak 38 buah sajak, diikuti oleh Masuri S.N di tempat kedua dengan 22 buah sajak (Maman, 2001:234).

Definisi sajak atau puisi dijelaskan oleh Za’ba sebagai karangan berangkap yang khas digunakan untuk meluahkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah. Sebagai karangan berangkap, puisi disusun dengan bahagian berkerat-kerat dan di antara sekerat dengan sekerat, biasanya mempunyai jodoh bunyi atau rentak atau isi yang memakai timbangan atau sukatan tertentu (dlm. Dharmawijaya, 1998:5). Definisi Za’ba ini cenderung memberikan penekanan pada struktur fizikal puisi, iaitu mempunyai rangkap, berkerat-kerat atau berbaris-baris, berjodoh bunyi, dan mempunyai jumlah suku kata pada setiap baris melalui timbangan atau sukatan tertentu. Selain itu, definisi Za’ba juga mementingkan “fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah”. Hal ini diertikan oleh Dharmawijaya sebagai puisi yang turut dijadikan sebagai alat untuk menyampaikan isi atau tema yang mendalam serta penuh kebenaran untuk semua zaman dan terjelma melalui bahasa yang segar dan penuh kehalusan (1998:7).

Bahasa ialah satu alat yang sangat penting dalam sesebuah puisi. Tanpa bahasa yang baik, sesebuah puisi itu gagal menyampaikan fikiran dan pesannya kepada khalayak. Bertepatan dengan pendapat S.T. Coleridge yang paling terkenal iaitu “poetry is the best word in their best order”. Pengertian “kata-kata terbaik” ini mempunyai lima penjelasan, menurut Dharmawijaya (1998:11) seperti yang berikut:

  1. Kata-kata tersebut mempunyai nilai rasa dan nilai erti yang seimbang.
  2. Setiap kata yang telah dipilih tidak mungkin ditukar ganti dengan kata-kata lain, walaupun sama ertinya. Demikian juga pada susunan baris dan kedudukan kata dalam baris.
  3. Menggerakkan daya asosiasi, perkaitan atau pertalian fikiran dengan fikiran yang lain.
  4. Menghidupkan imej, seperti penglihatan dan pendengaran.
  5. Mempunyai daya evokasi, iaitu membangkitkan perasaan dan pemikiran.

Selain itu, Arnold (1964:18) juga berpendapat bahawa puisi ialah satu kritikan tentang kehidupan yang berpegang teguh pada kejujuran. Kritikan terhadap kehidupan ini perlu mempunyai ciri-ciri kritikan yang membina dan bukanlah merupakan luahan emosi yang bersifat dendam, serta disampaikan secara sederhana dan puitis.

Oleh hal yang demikian, Dharmawijaya menyimpulkan bahawa puisi ialah bentuk karya sastera yang mengungkapkan fikiran dan perasaan penyair secara imaginatif, dan disusun dengan kekuatan bahasa yang mampu menggambarkan sesuatu secara mendalam. Setiap diksi dan rangkai kata yang digunakan oleh penyair perlu mampu memberikan “erti yang kaya”, serta mengandungi konotasi dan denotasi (1998:12). Dharmawijaya percaya bahawa puisi merupakan pengungkapan perasaan dan pemikiran yang terlahir sebagai satu kesatuan daripada beberapa unsur yang berbeza dan tidak boleh dipisahkan. Unsur yang berbeza ini ialah tema, suasana, imej, simbol, irama, dan gaya bahasa (1998:13). Namun begitu dalam analisis puisi, unsur-unsur yang berbeza dalam sebuah puisi seharusnya sesuai, serasi dan seimbang antara satu unsur dengan satu unsur yang lain bagi memberikan kesan yang baik kepada pembaca.

Menyelami Sajak Nasionalisme Usman

Usman menyeru agar bangsanya mempunyai kesedaran sebagai bangsa berdaulat dan bermaruah.

Sasterawan Negara Usman Awang ialah penyair besar yang sering membawa tema semangat cinta akan negara atau nasionalisme dalam sajak-sajaknya. Semangat ini wujud dalam jiwa seseorang melalui pengalaman dan didikan yang dilalui dalam kehidupannya. Dalam kes ini, besar kemungkinan tema nasionalisme menjadi pilihan dan kegemaran Usman kerana beliau pernah berkhidmat sebagai anggota polis ketika Inggeris kembali memerintah semula Tanah Melayu pada tahun 1946 (Usman Awang, 1995:xiv). Sajak bertajuk “Jiwa Hamba” (1949) merupakan sebuah sajak yang menggambarkan perasaan yang hebat tentang bangsa, khususnya orang Melayu.

Jiwa Hamba

Termenung seketika sunyi sejenak,
Kosong di jiwa tiada penghuni,
Hidup terasa diperbudak-budak,
Hanya suara melambung tinggi.

Berpusing roda beralihlah masa,
Pelbagai neka hidup di bumi,
Selagi hidup berjiwa hamba,
Pasti tetap terjajah abadi,

Kalau hidup ingin merdeka,
Tiada tercapai hanya berkata,
Ke muka maju sekata, maju kita,
Melemparkan jauh jiwa hamba.

Ingatkan kembali kata sakti
Dari bahang kesedaran berapi:
‘Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka’.

1949

(Usman Awang, 1995:4)

Melalui sajak ini, Usman menyeru agar bangsanya mempunyai kesedaran sebagai bangsa berdaulat dan bermaruah. Beliau secara sedar sengaja memasukkan nada peringatan bahawa jika mereka tetap bersikap seperti orang yang ber“jiwa hamba”, akan selama-lamanya “Pasti tetap terjajah abadi”.

Sajak ini menampilkan satu semangat dan mengajak pembacanya melakukan satu perubahan yang besar dalam hidup mereka. Usman secara peribadi terkenal sebagai seorang yang berperibadi lembut dan bahasa yang selalu dipilih dalam semua sajaknya juga sangat teliti, baik dan puitis. Menerusi sajak ini, beliau menyuarakan hasrat untuk merdeka dan kemerdekaan itu tidak akan tercapai jika mereka tidak bertindak untuk membebaskan diri daripada menjadi bangsa terjajah. Pada rangkap terakhir, suara semangat pada sajak ini lebih terkesan melalui baris “Di atas robohan Kota Melaka, Kita dirikan jiwa merdeka”.

Kota Melaka merupakan satu lambang kesultanan dan kebesaran kota bangsa Melayu yang hebat suatu ketika dahulu. Melaka jatuh akibat kelalaian dan kezaliman Sultan Melayu yang terakhir dan serangan kuasa asing seperti Portugis. Dengan mengambil iktibar daripada jatuhnya simbol keagungan Melayu ini, maka Usman menyeru agar pembaca menguatkan jati diri dan merdeka daripada terus dijajah, sama ada daripada kuasa luar mahupun daripada pemerintahan tempatan yang zalim dan menindas seperti dalam kisah sejarah Kesultanan Melayu Melaka.

Seterusnya dalam puisi “Tanah Air” (1956), Usman memperlihatkan perasaannya pada tanah air yang telah menjadi saksi pada segala-gala yang telah menimpa warganya.

Tanah Air
(Menjelang Kemerdekaan)

Engkau, Tanah air, pemilik perut yang berbudi,
Penampung hujan penyedut sinar matari,
lahirlah anak-anakmu dari semaian-semaian petani.

Engkau, ibu murni, dengan jasa abadi,
Berdetik di denyut nafas kami,
Kerana kita adalah satu dan sama dipunyai.

Telah kau rasa segala seperti kami,
Dalam kengerian perang dadamu dibongkar besi,
Di mana-mana wajahmu tidak pernah mati.

Tapi begitu sejarah hidup zaman berzaman,
Yang pernah merangkul pahlawan kemerdekaan,
Mereka sujud dalam kaku memohon perlindungan.

Bukankah dengan kasih dan harapan,
Kau tenggelamkan mereka dalam dakapan,
Di mana bunga ganti nisan bertaburan?

Negara baru di atas rongga jantungmu,
Akan tegak bertapak dalam kebebasan,
Cinta antara kita wahyu dari Tuhan.

1956

(Usman Awang, 1995:25)

Sajak ini sarat dengan aliran romantisisme, sama seperti sajak “Jiwa Hamba”. Usman amat teliti memilih diksi dalam sajaknya. Sajak ini bersifat sentimental dan mampu menghidupkan perasaan sebak dan hiba kepada pembaca menjelang hari kemerdekaan negara. Usman mengimbas kembali keperitan perjuangan yang dialami oleh tanah airnya melalui gaya bahasa personifikasi, iaitu pengorangan: memberikan sifat seperti manusia kepada benda yang bukan manusia (Alwi, 1983:139). Dalam konteks ini, Usman menulis sajak ini dan ditujukan khas kepada tanah airnya pada tahun 1956, setahun sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Pembaca dapat merasakan penyair sedang berdialog dengan tanah airnya sambil mengenang segala jasa dan pengorbanan tanah air tersebut pada waktu peperangan.

Dengan memberikan sifat seorang “ibu murni” yang telah berjasa, penyair menyifatkan ada suatu pertalian yang kuat antara penyair dengan tanah itu sendiri “Kerana kita adalah satu dan sama dipunyai.” Seperti kasih dan sayang seseorang ibu, Usman menggambarkan situasi tanah yang menjadi tempat yang nyaman untuk para pejuang yang tewas (mati) ketika mempertahankan negara dalam peperangan. Selain itu, Usman menghadirkan suasana peritnya peperangan dan tanah airnya yang digambarkan sebagai bersama-sama merasai keadaan itu “Dalam kengerian perang dadamu dibongkar besi”. Di satu sisi, pembaca dapat mengesan bahawa sajak ini ditulis untuk menyatakan rasa terima kasih kepada tanah air dan pada rangkap terakhir, penyair menyuarakan hasratnya agar kemerdekaan yang bakal tiba itu menjadi medan yang menguatkan lagi rasa cinta pada tanah airnya.

Baca Bahagian Kedua Reaksi |

Semangat Nasionalisme dalam Puisi Sasterawan Negara Usman Awang (Bhg. 2)

_________________________

Dr. Wan Hasmah Wan Teh ialah pensyarah Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pualau Pinang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.