Oleh Muhaimin Sulam
13 Ogos 2024, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Muhaimin Sulam memberikan peringatan terhadap hala tuju yang perlu dipraktikkan untuk pembangunan sastera kebangsaan yang seterusnya.

Selain nama-nama besar seperti barisan Sasterawan Negara, karya-karya penulis muda masih jauh tertinggal untuk diterjemahkan. Kita perlukan anjakan baharu dalam perkembangan bahasa dan sastera kebangsaan.

Mungkin kenyataan kali ini satu pandangan yang pesimistik, melukakan dan memualkan. Mungkin juga sedikit provokatif.

Sekian lamanya saya melihat kesusasteraan sebagai suatu dunia yang berada dalam dunianya sendiri. Berlingkar dalam kelompoknya yang sama. Daerahnya tidak dapat melangkaui dunia yang lebih luas. Dalam dunia tanpa sempadan, masih wujud halangan dan cabaran yang mengikat sastera kebangsaan untuk berkembang seiring dengan peredaran zaman.

Sastera kebangsaan tidak boleh selama-lamanya berdiri sebagai tugu estetika yang beku. Sastera yang berada di bawah tempurung dan tidak membawa bangsa ini untuk melangkau jauh. Apatah lagi untuk terbang tinggi menggapai bintang di langit biru.

Dalam konteks antarabangsa, karya sastera kebangsaan yang diterjemahkan masih belum memadai. Selain nama-nama besar seperti barisan Sasterawan Negara, karya-karya penulis muda masih jauh tertinggal untuk diterjemahkan. Kita perlukan anjakan baharu dalam perkembangan bahasa dan sastera kebangsaan.

Sebenarnya, bahasa dan sastera mempunyai hubungan simbiosis dan sering, diungkapkan “bagai ombak dan pantai”. Oleh sebab itu, bahasa sama sekali tidak dapat dipisahkan pembinaannya daripada kegiatan kesusasteraan.

Perkembangan peradaban telah mengubah wilayah makna sastera menjadi suatu kuasa yang membentuk kebudayaan bangsanya. Sastera tidak hanya berdiri sekadar karya, tetapi melangkaui ruang yang lebih luas lagi.

Sastera dalam makna yang lebih liberal ialah sebuah karya yang memiliki keindahan, sama ada dalam bentuk tulisan ataupun lisan. Al-Quran itu sendiri ialah sebuah limpahan sastera. Pada ayat wahyu pertama, istilah “baca”, “kalam” dan “tulis” merupakan teras pada kewujudan kesusasteraan itu sendiri.

Dalam sastera, kita diajak untuk menemui pelbagai kisah tentang manusia dan alam. Ada isi kandungannya yang membincangkan soal sejarah, sezaman dan masa hadapan. Sastera mengajar manusia berbicara, sama ada melalui mata pena atau lidah dengan penuh adab, indah dan tepat. Sastera menggerakkan kesedaran dan pemikiran masyarakat, sehingga berpotensi untuk melakukan tajdid (reformasi).

Sastera dan kesusasteraan dapat diungkapkan melalui bahasa. Bahasa menjadi pengantar dalam melahirkan idea kepada khalayaknya. Dalam konteks negara kita, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan, simbol jiwa bangsa kita.

Pandangan yang menganggap bahawa karya sastera dan bahasa tidak boleh dinilai dengan ringgit wajar difikirkan semula. Ini satu mitos yang membelenggu pemikiran para penulis untuk berada pada kerangka yang memenjarakan kreativiti sendiri.

Mitos ini menjadikan kerja-kerja bahasa dan sastera sebagai kerja sosial yang tidak mempunyai nilai keuntungan wang ringgit. Oleh itu, sesetengah birokrat bahasa yang culas dan tidak berdaya saing sering berlindung di bawah bayangan mitos ini. Akibatnya, perkembangan bahasa dan sastera tidak seiring dengan perkembangan bidang-bidang lain.

Tugas memecahkan mata rantai mitos ini berat. Hal ini menjadi lebih mudah sekiranya konsep gotong-royong semua pihak dapat dilaksanakan. Pelibatan masyarakat sivil melalui persatuan perlu ditingkatkan dengan penyertaan pelbagai segmen masyarakat.

Sastera kebangsaan mesti melewati garis warna kulit dan agama.

Kita telah lama didodoi oleh mitos keistimewaan melalui biasiswa, subsidi dan segala bentuk jalan singkat demi menuju puncak jaya. Tanpa menafikan mitos ada kalanya memberikan semangat dan tenaga untuk maju ke hadapan.

Dalam banyak sektor, bahasa kebangsaan dipinggirkan. Ironinya, hal ini dilakukan oleh tangan-tangan orang kita sendiri, yang kononnya bahasa kebangsaan tidak dapat menampung keperluan zaman.

Perselingkuhan antara birokrat bahasa yang korup, kartel jahat dengan pemimpin nasionalisme dangkal membantutkan perkembangan sastera kebangsaan. Sastera kebangsaan mesti melewati garis warna kulit dan agama. Hal ini bukan suatu hal yang retorik.

Suka saya merujuk karangan Sasterawan Negara Usman Awang. Tema karyanya tema kemanusiaan yang disalut rapi dengan budi dan budaya Melayu sejati.

Putera kelahiran Kuala Sedili itu dalam pidatonya, “Suara Kemanusiaan Seorang Pengarang” bersempena penganugerahan Sasterawan Negaranya (1983) menyarankan agar penulis semua kaum terlebih dahulu memecahkan tembok perkauman masing-masing.

Katanya, “dari sinilah, udara baharu akan berhembus dan bunga sastera Malaysia menguntum dengan kelopak seribu satu warna.”

Usman Awang telah membuktikan kata-katanya dalam hidupnya. Beliau tidak hidup dalam kepompong kaumnya sahaja.

Inilah cabaran dalaman yang kita hadapi dalam usaha membawa tahap nasionalisme yang sesuai pada iklim politik kita. Bukan lagi nasionalisme dangkal yang sarat dengan nafas perkauman.

Pelaksanaan dasar dan pendekatan yang salah terhadap bahasa kebangsaan memberikan kesan domino kepada sektor lain secara lebih meluas. Kesan paling hampir adalah terhadap perkembangan sastera kebangsaan.

Sastera kebangsaan mempunyai peranan penting dalam usaha membentuk rupa wajah kebangsaan. Falsafah pembentukan negara ialah roh dan jiwa bangsanya. Warganya perlu ditanamkan dengan semangat kebangsaan. Nasionalisme perlu disemarakkan kembali dengan idea-idea dan pembinaan naratif bangsa – melalui kesusasteraan.

Apabila menyedari bahawa kita juga menghadapi tentangan yang menggugah identiti dan kebebasan kita, nasionalisme yang dibangunkan kembali itu harus dikukuhkan.

Di sebalik semangat nasionalisme, harus dipastikan yang kita tidak terbawa-bawa sehingga buta tentang pertanggungjawaban kemanusiaan. Kita mesti bebas daripada “belenggu nasionalisme yang dangkal”.

Etos “nasionalisme dangkal” yang terlalu lama membelenggu sesebuah negara didukung pula oleh para intelektual yang berkepentingan dan kepimpinan diktator yang telah membuka jalan luas kepada autoritarianisme, cauvinisme kaum dan kelas. Akhirnya, penulis bersifat elit dan eksklusif dalam tempurungnya sendiri.

Perkembangan industri dunia yang menjadikan budaya dan identiti bangsa sebagai modal yang menjana ekonomi perlu difikirkan pelaksanaannya di negara kita. Harus diingat, industri budaya bukan sekadar mewujudkan kuasa tetapi membina identiti dan naratif persepsi yang jauh lebih berkesan.

Contoh terbaik ialah Hollywood dan K-Pop yang menjadikan budaya mereka sebagai produk yang berfungsi menjana kuasa ekonomi dan juga propaganda yang menembusi pasaran antarabangsa.

Pasaran produk budaya kita boleh diteroka dan dicipta. Tentu sekali hal ini bukanlah tugas utama penulis atau sasterawan yang mempunyai kekangan tertentu untuk melaksanakannya. Inilah bidang ahli perniagaan yang perlu penulis dan sasterawan bina rangkaian dengan mereka, demi meluaskan wilayah. Inilah gotong-royong untuk menjadikan sastera modal yang menguntungkan dan mampu membina bangsa Malaysia yang dipandang tinggi seantero dunia.

Kredit Foto: Sies Kranen/Unsplash

_________________________

Muhaimin Sulam (Dr.) ialah Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau penulis buku Akar Bangsa: Budaya Naratif dan Identiti (2019) dan memoir Aku Melayu di Kota Inggeris (2013).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.