Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPuisi “Anak Jiran Tionghua” karya Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang seharusnya dibaca, dihayati dan diinsafi oleh segenap lapisan masyarakat berbilang bangsa. SUB MOTAC memberikan pandangan dan saranan demikian melalui Ucap Utama pada Festival Puisi Malaysia 2024.
‘Anak Jiran Tionghua’ seharusnya dibaca, dihayati dan diinsafi oleh segenap lapisan masyarakat di negara tercinta ini, sepanjang zaman.
Setiausaha Bahagian (SUB) Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni Budaya (MOTAC) mengajak segenap lapisan masyarakat majmuk di negara ini menghayati puisi “Anak Jiran Tionghua” yang dikarang oleh Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang, sejak berpuluh-puluh tahun dahulu.
YBrs. Puan Wan Azilawati Wan Mahmood yang merupakan SUB MOTAC (Dasar Kebudayaan), menyarankan demikian melalui kertas kerja beliau bertajuk “Sastera dan Kesenian Asas Penyatuan Kaum” sebagai Ucap Utama pada seminar dalam Festival Puisi Malaysia 2024.
Pandangannya yang merupakan antara isi saranan penting beliau dalam Ucap Utama tersebut diwakilkan melalui Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Bahagian Dasar Kebudayaan) MOTAC, YBrs. Encik Jayappragas Muthuveeroo, semasa berlangsung seminar seiringan dengan festival tersebut.
Dalam kertas kerjanya, SUB MOTAC ini menegaskan bahawa “Anak Jiran Tionghua” seharusnya dibaca, dihayati dan diinsafi oleh segenap lapisan masyarakat di negara tercinta ini, sepanjang zaman.
…..Anak Jiran Tionghua
…..Begitu kecil ia berdiri di tepi pagar
…..kilat matanya memanggil Iskandar
…..siapa lalu siapa berkaca
…..melihat keduanya bergurau senda.
…..Anak Tionghua kelahirannya di sini
…..di bumi hijau ladang-ladang getah dan padi
…..ia bisa bercerita untuk siapa saja
…..di sini tanahnya dan ibunya bersemadi.
…..Lihat mereka sedang berebutan pistol mainan
…..he, jangan berkelahi
…..ah, anak-anak dengan caranya murni
…..berkelahi untuk nanti bermain kembali.
…..Lihat mereka tertawa riang
…..Ah Chew tak punya gigi sebatang
…..Iskandar mengesat hingus ke baju
…..sekarang mereka menunggu aiskrim lalu.
…..Bumi tercinta resapkan wahyumu
…..jantung mereka adalah langitmu
…..darah mereka adalah sungaimu
…..nafas mereka adalah udaramu.
Tegas beliau, Usman Awang merupakan salah seorang penyair dan sasterawan agung di tanah air yang sejak berpuluh tahun dahulu lagi sudah begitu peka, melalui peranan puisi dan kesusasteraan, untuk menggarap kesedaran bahawa penduduk atau masyarakat berbilang kaum di tanah air ini harus menjiwai, mengamalkan dan mengutamakan kesepakatan dalam hidup.
Perpecahan masyarakat seperti yang sudah beribu-ribu tahun diperingatkan oleh orang tua-tua, sebagaimana pedoman dalam warisan peribahasa Melayu, misalnya: (1) seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing, (2) jong pecah, maka yu juga yang kenyang, (3) alpa negeri alah perang, sia-sia tumbuh hutan, tidak akan berguna apa-apa, walau sebesar debu pun.
Justeru, perpecahan akan mengakibatkan kehancuran yang dahsyat dalam kehidupan masyarakat dan seterusnya membawa kepada keruntuhan negara yang tidak akan mudah untuk dibina dan dibangunkan semula.
Oleh itu, puisi “Anak Jiran Tionghua” wajar dihayati oleh segenap lapisan masyarakat kerana puisi yang cukup indah dan halus makna ini mengandungi kebijaksanaan pada pesan untuk disedari dan diinsafi.
Antaranya, puisi indah yang menyentuh jiwa ini sarat dengan kesedaran mendalam tentang kasih sayang, tolenrasi, kemesraan, keakraban, perpaduan, muhibah, penyatuan, dan keutuhan. Puisi ini mengandungi nasihat dan pesanan untuk diambil iktibar bagi kesedaran dan pedoman hidup sepanjang zaman.
Oleh yang demikian, signifikan besar puisi ini dapat bersejajar dengan amalan keutuhan hidup masyarakat, apatah lagi sebagai masyarakat majmuk: Bersatu teguh, bercerai roboh, Bersekutu bertambah mutu dan Bagai aur dengan tebing, sebagai saling memerlukan dan tolong-menolong antara satu dengan lain.
Lantaran dalam hidup ini, segala beban akan menjadi mudah, jika berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Seterusnya, membawa kepada kesepakatan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Dengan demikian, tiada masalah untuk bukit sama didaki, lembah sama dituruni. Oleh itu, bulat air kerana pembuluh, bulat kata oleh muafakat dan sama juga bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Puisi ‘Anak Jiran Tionghua’ seharusnya diketahui secara meluas dalam segenap lapisan masyarakat majmuk …
Itu sebabnya, orang tua-tua berkias ibarat, hidup sebagai sebatang buluh mudah patah. Tetapi, jika serumpun, ribut pun tidak mudah untuk menumbangkan.
Jelas SUB MOTAC ini lagi, semua itu menjadi mudah dalam hidup ini, jika
disedari di mana rumput dipijak, di situ langit dijunjung. Justeru, hidup bermasyarakat dengan penuh kasih sayang, kemesraan, menghormati, bertolak ansur, dan bersatu padu dalam satu bentuk penyatuan akan mengutuhkan masyarakat dan negara.
Perpaduan, tolak ansur, kesepakatan, dan kesatuan inilah yang dapat merealisasikan keindahan, kerukunan dan kesempurnaan penyatuan hidup masyarakat berpadu sebagai serumpun bak serai, sesusun bak sirih.
SUB MOTAC itu turut menjelaskan, “Anak Jiran Tionghua” sebuah puisi yang menepati hal yang disebutkan oleh Kennedy dan Gioia (1994), sebagai puisi yang menghasilkan nikmat bacaan selepas dibaca, namun tetap boleh dikagumi dan terus dibaca walau selepas 100 tahun.
Mengakhiri saranannya, beliau mengujarkan bahawa puisi “Anak Jiran Tionghua” seharusnya diketahui secara meluas dalam segenap lapisan masyarakat majmuk, dan dihayati atau dijiwai secara bersama.
Festival gemilang ini, di samping diwarna-warnikan dengan pelbagai persembahan manifestasi puisi melalui puisi tradisional, deklamasi, lagu puisi, lagu rakyat, lagu asli, dikir barat, gabungan muzikal pelbagai alat muzik tradisional daripada kalangan masyarakat majmuk, sketsa, serta turut berlangsung bersama sesi pembentangan kertas kerja.
Festival puisi yang menarik dan meriah ini berlangsung sepanjang dua hari, meliputi sebelah siang dan malam, di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 12 – 13 Oktober, dianjurkan bersama oleh Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA), MOTAC dan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama padu UMK.
_________________________
Ilham Budiman menetap di Pantai Timur.