Oleh Teo Lee Ken
12 Disember 2022, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Teo Lee Ken memandang perlunya kesegaran mencipta dialog baharu berkenaan wacana kebudayaan, kesusasteraan dan kebahasaan dalam memacu rohani masyarakat dan jiwa bernegara. 

Sastera dan bahasa, contohnya, penting untuk mendalamkan wacana tentang politik dan pembangunan tatakelola negara. Kedua-dua unsur ini kemudiannya dapat menjadi asas untuk agenda membina tatanan sosial masyarakat yang lebih makmur dan adil.

Perbualan penting tentang budaya sudah lama tidak diendahkan, khususnya dalam gelanggang politik dan pembangunan negara. Lapangan bicara politik hari ini kebanyakannya didorong oleh parti dan ahli politik.

Barangkali keadaan sebegini biasa berlangsung, cuma apabila ahli dan parti politik menguasai daerah kebudayaan, maka ia cenderung terjurus kepada hal ehwal politik pilihan raya dan percaturan kuasa. Kadang-kala wacana politik juga ingin dibataskan kepada politik formal semata-mata atau apa yang dipanggil Rustam Sani sebagai “realpolitik’. Wacana tersebut jarang dipandu ke persimpangan persoalan politik dan budaya yang lebih besar dalam konteks pembangunan masyarakat.

Sastera dan bahasa, contohnya, penting untuk mendalamkan wacana tentang politik dan pembangunan tatakelola negara. Kedua-dua unsur ini kemudiannya dapat menjadi asas untuk agenda membina tatanan sosial masyarakat yang lebih makmur dan adil.

Dalam perbincangannya tentang bahasa dan politik, George Orwell pernah mengungkapkan bahawa “if thought corrupts language, language can also corrupt thought.” Orwell mengingatkan bahawa gelagat komunikasi dan penulisan mempunyai imbangannya yang tersendiri terhadap cara kita berfikir dan bertindak. Tentunya, amalan politik yang sedia ada hari ini terbit daripada sekolah atau arus pemikiran yang diikuti.

George Orwell (1903-1950) pernah menghasilkan novel yang terkenal iaitu Nineteen Eighty-Four dan Animal Farm.

Oleh itu, keterikatan antara kebudayaan, politik dan pembangunan bukan sesuatu hal yang baharu dalam negara kita. Penulis seperti Keris Mas, Usman Awang, Masuri S.N. dan A. Samad Said pada era 1950-an dan 1960-an mengajukan bahasa dan sastera sebagai wahana mendirikan bangsa yang besar dan merdeka.

Karya-karya Usman Awang sebagai contohnya merentasi gelanggang budaya, politik, kritikan sosial dan persoalan negara. Seruan idealisme kemanusiaan beliau ibarat leitmotif yang berterusan dalam tulisannya. Dalam puisi Jiwa Hamba kita dapat lihat pelbagai unsur ini:

Kalau hidup ingin merdeka
Tiada tercapai hanya berkata
Ke muka maju sekata, maju kita
Melemparkan jauh jiwa hamba
 
Ingatkan kembali kata sakti
Dari bahang kesedaran berapi
Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka.

Sasterawan Negara Usman Awang (1929-2001) banyak menghasilkan puisi yang sarat dengan tema kemanusiaan dan perjuangan melawan penindasan.

Perjalanan bahasa sebagai alat pembebasan dan perpaduan tidak mudah. Usman pernah menyatakan bahawa “penggunaan bahasa bangsa yang terjajah, itu bahasa Melayu, dipandang rendah. Malah ada kehinaan yang dipalitkan ke wajahnya. Bahasa itu hanya untuk budak pejabat, polis dan tentera serta orang kampung. Bahasa itu digunakan hanya oleh tuan kepada hamba.”

Kelakuan meniru dan menggunakan budaya atau bahasa bangsa yang lebih “tinggi” merupakan fenomena yang umum berlangsung dalam masyarakat yang pernah dijajah.

Syed Hussein Alatas pernah menghuraikan ciri imitasi ini sebagai minda terjajah (captive mind), yakni ketidakupayaan sesebuah masyarakat yang dijajah untuk berfikiran mandiri dan kritikal. Mereka melihat budaya penjajah sebagai kelakuan ‘bertamadun’ yang perlu diraih, dan ada kalanya sehingga memandang rendah terhadap budaya sendiri atau tempatan sebagai rendah, sama ada secara sedar atau tidak sedar. Dalam konteks ini juga, puisi Jiwa Hamba Usman membawa makna yang sama.

Syed Hussein Alatas (1928-2007) menulis Mitos Peribumi Malas untuk mendobrak kembali pemikiran kolonial terhadap masyarakat tempatan.

Namun, bahasa secara intinya tidak dapat dikekang. Bahasa merupakan alat perlawanan dan perpaduan. Usman Awang dan teman-temannya sedar hakikat ini, dan bersama-sama membawa arus budaya yang cergas. Puisi-puisinya seperti Sahabatku, Kambing Hitam, dan Kehilangan Nama antaranya bertujuan untuk hal tersebut. Tidak ada pemisahan antara budaya, politik, dan pembangunan masyarakat. Hanya pada sekitar tahun 1980-an dan seterusnya kita perhatikan perkembangan dalam lapangan masing-masing ini diasingkan. Saat bermulanya perpecahan ini, wacana politik dan negara banyak dikemudi oleh komuniti ahli dan parti politik.

Perkembangan yang berterusan sedemikian tidak sihat untuk kematangan nasional negara. Malaysia merupakan sebuah projek politik. Seperti mana semua projek bernegara, ia memerlukan suntikan unsur jiwa dan rohani, seni budaya dan etika/moral.

Wacana budaya dan bahasa khususnya perlu ditempatkan semula dalam gelanggang politik untuk menyumbang kepada peningkatan tahap perbahasan isu. Bahayanya jika kita biarkan berlaku apa yang dikatakan sebagai kerosakan bahasa dan pembinaan negara akibat daripada korupsi pemikiran. Bak kata penulis besar Indonesia, Pramoedya Ananta Toer tentang bahasa dan manusia:

Keindahan itu terletak pada kemanusiaan, yaitu perjuangan untuk kemanusiaan, pembebasan terhadap penindasan. Jadi keindahan itu terletak pada kemurniaan kemanusiaan, bukan dalam mengutak-atik bahasa.

Kredit Foto: Stephen Pedersen/Unsplash

_________________________

Teo Lee Ken merupakan penulis bebas. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.