19 September 2022, 13:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, Dr. Wan Hasmah Wan Teh menyajikan kepentingan sajak-sajak awal Sasterawan Negara Usman Awang yang membangkitkan semangat nasionalisme rakyat.

Usman Awang sebagai penyair tidak pernah lupa pada peranannya sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai peranan tertentu, walaupun negara telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Seterusnya, Usman memperlihatkan peribadi dan fikiran tentang kedamaian melalui sajak bertajuk “Damai” (1955) yang ditulis untuk memperingati tahun 1948:

Damai

(Sepuluh Tahun Setelah 1948)

Di mana benua yang mencintainya,
Di mana udara yang merangkulnya,
Lagunya beralun, mesra kasihnya,
Di putih salju, atau di padang tandus,
Di hitam kulit, atau di putih wajah.

Cinta jadi jernih, sejernih kasih Tuhan.

Matikanlah genderang perang,
Lagu maut yang bernada setan!
Ia telah membunuh anak-anak kita,
Ia telah melebur nilai-nilai budaya!

Cinta jadi jernih, sejernih kasih Tuhan.

Lagukanlah damai di pernafasan jiwa,
Nyanyikan di kuping bayi yang lahir,
Dengungkan ke puncak Menara,
Di mana bersidang jeneral dan peta.

Cinta jadi jernih, sejernih kasih Tuhan.

Ah, betapa indahnya bulan berkembang,
Tersebar nikmatnya ke tasik terbentang;
Ke sanalah tujuan kita sekarang,
Itulah haluan beta mengarang.

1955

(Usman Awang, 1995:20)

Sajak ini memperlihatkan perasaan dan fikiran Usman tentang keamanan dan kedamaian yang menjadi dambaan setiap manusia. Menerusi sajak ini, Usman mengimbas kembali kenangan yang pernah dilaluinya pada tahun 1948 sewaktu Tanah Melayu diisytiharkan darurat. Pada tahun tersebut, Usman masih berkhidmat sebagai anggota polis yang bertugas di Melaka dan beliau terlibat dalam peristiwa penangkapan beramai-ramai yang terdiri daripada guru, pekedai dan pekerja lainnya (Usman, 1995:xiv). Usman Awang mengaku terkesan sekali dengan peristiwa tersebut dan mula memahami keadaan politik, penangkapan, tindakan polis dan hal lain yang bersangkutan. Semua pengalaman tersebut diluahkan dalam sajak ini.

Pada rangkap pertama, Usman memperlihatkan situasi bahawa “damai” menjadi dambaan setiap manusia di seluruh pelosok dunia tanpa mengira warna kulit. Damai disimbolkan melalui perkataan ‘Cinta’ pada baris “Cinta jadi jernih, sejernih kasih Tuhan.” Baris ini diulang berselang-seli pada setiap rangkap sebanyak tiga kali bagi memberikan fokus dan membulatkan pemusatan pembaca kepada isu, persoalan dan tema yang hendak didedahkan atau untuk menegaskan maksud penyair (Alwi, 1983:143).

Usman melukiskan gambaran perang yang telah membunuh anak-anak dan menghancurkan nilai budaya pada rangkap kedua dengan menyatakan kebenciannya pada peperangan menerusi baris-baris “Matikanlah genderang perang/Lagu maut yang bernada setan!” Kebencian itu ditampilkan dengan memberikan perbandingan metafora pada bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh peperangan yang disebut sebagai “Lagu maut bernada setan”. Pada rangkap terakhir, Usman menampilkan satu suasana dan imej tenang dengan gambaran bulan pada waktu malam dan cahayanya tersebar ke tasik. Suatu imej dengan cahaya yang mendamaikan, dan imej itu menjadi tujuan semua manusia termasuk penyair sendiri.

Seterusnya, Usman Awang sebagai penyair tidak pernah lupa pada peranannya sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai peranan tertentu, walaupun negara telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Pada awal penglibatannya dalam dunia penulisan kreatif, Usman dikategorikan sebagai penyair yang giat meluahkan rasa cinta terhadap tanah air melalui puisinya, terutamanya sajak yang ditulis sebelum merdeka. Seluruh pengalaman yang dilalui menjadikan Usman sebagai penyair yang dapat melontarkan getar rasa tentang suasana sebelum merdeka dan menjelang merdeka. Walau bagaimanapun, tugasnya sebagai penyair tidak berhenti selepas kemerdekaan negara dicapai, malah beliau mula membangkitkan rasa dan tanggungjawab pada negara menerusi sajak bertajuk “Angkatan ‘50” yang ditulis setelah 10 tahun tertubuhnya Angkatan Sasterawan 1950 (ASAS 50) di Singapura seperti yang berikut:

Angkatan ‘50

(Sepuluh Tahun Sudah Berdetik)

Satu batu tanda kita bangunkan di sini,
Nama lima puluh berdetik dengan hati dan bakti,
Meski belum cukup dan segala meminta lagi,
(Degup jantung ini siapa dapat mematikan,
Kita sekadar masih lagi mengisi memadatkan)

Nama lima puluh memang kebulatan satu sempena,
Di mana tegaknya dan tidak akan runtuh-runtuh lagi,
Tapi kita tidak bisa tertambat pada zaman ini,
Cita kita hidup seluruh menyeluruh,
Puluhan tahun lagi ia tidak bisa lumpuh.

(Pada zaman ini dengan tenaga berganda-ganda,
Meski kerja tidak pada sehari cuma)

 Siapa rakyat, siapa penyair, tidak beza pada kita,
Hidup tidak hanya teriakan tangisan semata,
Bila bicara nama rakyat bukan sekadar menjerat-jerat,
Bumi dan udara kuatnya mengguruh memberi kudrat.

Sepuluh tahun berdetik angkatan lima puluh,
Hidup baru secoret sudah kita tempuh,
Sedetik suara bisu tidak bererti sudah lumpuh!

1960

(Usman Awang, 1995:33)

Sajak ini ditulis untuk mengingatkan anggota Angkatan 50’ bahawa tugas mereka terhadap masyarakat belum selesai dan perlu dipenuhi dengan baik. Usman menegaskan bahawa anggota Angkatan 50’ perlu membuat suatu perubahan untuk mencapai semua matlamat yang disenaraikan dalam pertubuhan tersebut melalui baris “Tapi kita tidak bisa tertambat pada zaman ini/Cita kita hidup seluruh menyeluruh”. Usman menguatkan pernyataannya tentang tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh semua orang, tidak kira penyair atau rakyat biasa. Tanggungjawab terhadap rakyat dan negara ialah tanggungjawab yang harus dipikul secara bersama, walaupun setelah negara mencapai kemerdekaan.

Melalui sajak ini, Usman berpesan dan mengingatkan bahawa semua pengalaman kehidupan yang mereka lalui itu hanyalah secebis, dan mereka perlu bersedia untuk cabaran yang lebih besar menerusi baris “Hidup baru secoret sudah kita tempuh/Sedetik suara bisu tidak bererti sudah lumpuh!” Baris akhir ini sekali gus mengingatkan, walaupun Angkatan 50’ pada tahun 1960 tidak serancak seperti sebelumnya, namun hal itu bukan bermaksud semangat perjuangan dalam menyumbang “Seni untuk Masyarakat” juga turut terkubur. Keprihatinan penyair terhadap rakyat dan rasa tanggungjawab dalam mendidik masyarakat melalui seni tetap dipertahankan oleh Usman dalam sajak di atas.

Selain itu, selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, beberapa dasar telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Antaranya, termasuk bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan dan bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi selama 10 tahun selepas tarikh kemerdekaan (Ali Ahmad, 1984:98). Pergolakan tentang hak istimewa orang Melayu dan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan semakin tidak terkawal disebabkan oleh sikap sambil lewa para pemimpin yang tidak tegas terhadap Dasar Pelajaran Kebangsaan. Menurut Ali Ahmad, bangsa Melayu pada ketika itu menerima baik pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua sekolah di Malaysia. Dasar ini dianggap bukan sahaja berguna untuk perpaduan kaum, tetapi juga penting bagi menentukan masa depan yang lebih baik untuk bangsa Melayu di tanah airnya sendiri (1984:102–102). Sikap sambil lewa pemimpin negara ini menimbulkan protes bagi bangsa Melayu dan tergambar dalam sajak Usman Awang bertajuk “Keranda 152” (1967) seperti yang berikut:

Keranda 152

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

 Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu

1967

(Usman Awang, 1995:48)

Bahasa ialah salah satu daripada elemen penting dalam tema nasionalisme kerana bahasa merupakan satu identiti atau pengenalan diri bagi sesuatu bangsa dan budaya. Dalam konteks ini, bahasa Melayu ialah identiti penting bagi bangsa Melayu dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 152 Bahasa Kebangsaan. Setelah 10 tahun Malaysia merdeka dari tahun 1957, bahasa Melayu akan menjadi bahasa rasmi yang tunggal setelah tahun 1967 (Ali Ahmad, 1984:101). Pelbagai langkah telah diambil oleh Kerajaan Perikatan untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu dengan menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka bagi melengkapkannya sebagai bahasa pentadbiran negara (1984:101).

Walau bagaimanapun, usaha memperkasakan bahasa Melayu menjadi sia-sia apabila semakin banyak sekolah Inggeris dibina. Ibu bapa kurang percaya pada sijil dari sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sehingga orang Melayu yang berkemampuan juga turut menghantar anak mereka ke sekolah Inggeris (Ali Ahmad, 1984:102). Pergolakan terus berlaku daripada isu bahasa sehingga isu hak istimewa orang Melayu. Timbul suara-suara tidak puas hati daripada kaum Tionghua yang mempersoalkan pembinaan MARA dan pemberian lesen khas kepada orang Melayu untuk menjalankan perniagaan sebagai dasar pilih kasih kepada satu golongan masyarakat sahaja (Ali Ahmad, 1984:103). Walhal keadaan ini telah termaktub dalam Fasal 153, Perlembagaan Malaysia.

Menerusi sajak “Keranda 152”, Usman meniupkan protes terhadap sikap pemimpin negara dan kementerian seperti Parlimen. Seruan ditujukan kepada “Anak Melayu” dengan menggambarkan situasi tersebut sebagai benar-benar mencabar kesabaran bangsa Melayu dengan menghadirkan kata perbandingan yang melampau atau disebut sebagai hiperbola (Alwi, 1983:142). Perbandingan itu menunjukkan amarah yang keterlaluan, dikuatkan melalui kata-kata “Panas dadamu membakar baju/Kita arak keranda 152/Ke tanah perkuburannya Parlimen”. Perkataan “Keranda 152” ialah bahasa konotatif yang mengandungi simbol yang membandingkan Perkara 152 dengan keranda kematian. Pilihan perkataan ‘keranda’ sangat bertepatan dengan situasi yang berlaku pada tahun tersebut dan ‘Parlimen’ digambarkan sebagai “tanah perkuburan” bagi Perkara 152. Dalam hal ini, protes ditujukan kepada Parlimen kerana institusi pentadbiran itu tidak memainkan peranannya serta tidak menepati hal yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Usman menghadirkan satu suasana bahawa impian dan harapan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tunggal pada tahun 1967 akan terkubur begitu sahaja.

Suara protes Usman terkesan sangat kuat dalam sajak ini dan protes itu bukan hanya mengandungi suara penyair tetapi juga mewakili seluruh suara orang Melayu. Sejajar dengan protes tersebut, rangkap akhir puisi ini mengajak anak Melayu untuk bertindak dan berarak ke Parlimen sebagai menyatakan protes secara besar-besaran dan mengingatkan bahawa protes ini perlu dibuat sebelum bahasa Melayu terus hilang melalui kata-kata “Sebelum lidahmu jadi bisu”.

Tema nasionalisme menjadi tema yang digemari oleh ramai penyair dalam ASAS 50 dan Usman Awang ialah salah seorang penyair yang paling banyak menulis mengenainya. Nasionalisme lukisan Usman tidak hanya berpusat pada perjuangan tanah air semata-mata, tetapi juga meliputi pesanan untuk persatuan, kesan peperangan dan bahasa. Justeru, semangat nasionalisme penting dididik dan diterapkan dalam hati dan jiwa pembaca menerusi karya kreatif, khususnya puisi. Sejajar dengan pandangan S.T. Coleridge bahawa puisi ialah kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik, iaitu suatu bentuk pengucapan bahasa yang tersusun secara padat serta mengungkapkan pengalaman intelektual dan mampu membangkitkan perasaan. Dalam konteks ini, melalui tulisan seperti puisi bertemakan nasionalisme, penyair mampu meningkatkan rasa cinta terhadap negara dan bangsa dalam kalangan pembacanya.

RUJUKAN

Abdul Latiff Abu Bakar dan Othman Puteh, 2000. Globalisme dan Patriotisme dalam Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Kamal Abdullah, 1989. Gejala Esei dan Kritikan Puisi Melayu Moden 1955-1986. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ali Ahmad, 1984. Tema Sajak-sajak Melayu 1933-1969. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Alwi Salim, 1983. Puisi Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Arnold, Mathew, 1964. Speaking Poetry. London: Dennis Debson.

Cheah Boon Kheng, 1971. “Adakah Malaysia Mempunyai Gerakan Kebangsaan?”. Kertas kerja dalam Seminar Sejarah Malaysia. Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 23–25 September 1971.

Dharmawijaya, 1998. Dunia Puisi dalam Penelitian dan Pengajaran. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Hans Kohn, 1984. Nasionalisme: Arti dan Sejarahnya. Jakarta: Erlangga.

Kacowicz, Arie M., 1998. “Regionalization, Globalization, and Nationalism: Convergent, Divergent, or Overlapping?” , https://www3.nd.edu/~kellogg/publications/workingpapers/WPS/262.pdf (dicapai pada 10 Ogos 2017).

Fawzi Mohd. Basri, 1987. Isu-isu Perpaduan Nasional: Cabaran, Pencapaian dan Masa Depan. Jitra: Universiti Utara Malaysia.

Maman S. Mahayana, 2001. Akar Melayu: Sistem Sastra dan Konflik Ideologi di Indonesia dan Malaysia. Magelang: Penerbit Yayasan Indonesiatera.

Usman Awang, Dinsman (peny.), 1995. Koleksi Terpilih Sasterawan Negara Usman Awang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Baca Bahagian Pertama Reaksi |

Semangat Nasionalisme dalam Puisi Sasterawan Negara Usman Awang (Bhg. 1)

_________________________

Dr. Wan Hasmah Wan Teh ialah pensyarah Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pualau Pinang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.