Oleh Rosli K. Matari
29 November 2022, 06:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hari ini genap 21 tahun, Allahyarham Sasterawan Negara Dato’ Dr. Usman Awang (12 Julai 1929 – 29 November 2001) berpulang ke rahmatullah. Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari mengarang puisi belasungkawa, khas mengenangkan Allahyarham.

Rekwim 29 November 2001
        – Usman Awang

Kukenang
Tulang-tulang Berserakan,
Sahabat-sahabat yang pergi, yang hilang
Di celah-celah abu, debu sejarah.

Penjajah pulang
Meninggalkan tanah air, berkecaian
Luluh-lantak zaman belakang
Bagai kaca pecah.

Tidak mudah mencantum, membaiki
Negara koyak rabak ini.
Semua itu kuikuti
Sejak dari darah, tulang, dan api.

Kuhulur bakti
Walau dengan pena, puisi
Majalah, dan akhbar
Kerana negara harus diisi jiwa besar.

Kamu generasi muda, tidak hidup pada zaman
Mogok Utusan
Demikian, aku dan semua sahabat
Dipaksa menjadi alat.

Tetapi,
Kami menentang dengan suara api
Berkhemah teguh, walau 39 hari lapar
Demi kebebasan sebuah akhbar.

Akhbar itu lidah rakyat,
Bukan untuk topeng bapak politik
Yang selalu menjadi maling, khianat
Di sebalik umpan, licik.

Akhir –
Ya, benar kami kalah
Tetapi, kelak, semua itu zahir
Untuk direnung, belajarlah daripada sejarah.

Politik itu besar kuasa
Lebih menang,
Berhati-hatilah, telitikan dusta
Nyalakan hati, lawan, walau kau jadi arang.

Sastera, akhbar, majalah
Semua itu lidah
Suara berani,
Bergegar, walau sebaris luka puisi.

Kukarang Duri dan Api
Agar bangsa, negara sedar
Jangan menyala sekali lagi
Hangus, sia-sia terbakar.

Masa lalu sudah jauh
Jagalah negara, jangan runtuh.
Kita sudah lama merdeka
Dan, aku pun sudah tua.

Kuingat,
Ke Makam Bonda.
Nanti akhir pena, hujung dakwat
Di sanalah aku juga.

Walau aku pergi,
Aku pergi dengan cinta puisi
Kesusasteraan itu abadi
Sebagai merpati putih, jelajahilah dunia ini.

Sumber Foto: Bahagian Multimedia DBP

_________________________

Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima S.E.A. Write Award (Malaysia) 2021.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.